Pages

Saturday, June 12, 2010

Perhilitan tangkap gajah liar







Orang ramai melihat anak gajah liar yang ditangkap di Kampung Tawai, Gerik,semalam. -utusan/Ain Wardahtul



GERIK 11 Jun - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak berjaya menangkap seekor gajah liar dalam satu operasi di Kampung Tawai di sini petang semalam.
Anak gajah jantan berusia setahun itu ditangkap menggunakan perangkap (bantuan) dua ekor gajah betina dewasa yang dibawa daripada Pusat Perhilitan Kampung Air Ganda dekat sini.
Ketua Operasi, Mohd. Hazlin Qozek Aladdin berkata, anak gajah tersebut adalah di antara tiga ekor gajah yang telah merosakkan pelbagai jenis tanaman penduduk kampung kebelakangan ini.
''Operasi telah dijalankan sejak 11 hari lalu. Kita menggunakan bantuan dua ekor gajah betina dewasa jinak untuk dijadikan denak memujuk dan menenangkan anak gajah jantan yang liar ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau berkata, usaha mengawal anak gajah itu pada mulanya gagal menyebabkan mereka terpaksa menembaknya menggunakan ubat bius.
''Ubat bius tidak meninggalkan kesan dan akhirnya kami terpaksa menggunakan dua ekor gajah betina dewasa yang bernama Mas dan Kala untuk memujuk anak gajah liar tersebut," katanya.
Hazlin Qozek memberitahu, Perhilitan akan meneruskan operasi menangkap gajah liar memandangkan terdapat dua ekor lagi yang masih berkeliaran di kawasan ladang dan kebun penduduk kampung.
''Sepanjang tahun ini sahaja, empat kali tangkapan dibuat di kawasan Hulu Perak. Usaha ini akan kita teruskan," katanya.
Anak gajah jantan tersebut, kata Mohd. Hazlin, akan dihantar ke pusat menjinakkan gajah liar Perak buat sementara waktu.
Sementara itu, Ketua Kampung Tawai, Wadi Dolah Ahmad, 75, mengucapkan terima kasih kepada pihak Perhilitan kerana membantu menangkap gajah liar di kampung mereka.
''Penduduk kampung tidak berupaya menghalang gajah-gajah liar daripada merosakkan tanaman kami selama ini.
''Setiap malam kami berada dalam ketakutan mendengar bunyi gajah. Begitu juga di waktu pagi apabila kami keluar menoreh," katanya.

No comments:

Post a Comment