Pages

Thursday, June 10, 2010

Pen membaca surah





AMRAN menunjukkan kit Pen Pembaca Pintar AJV yang mampu membantu mutu bacaan dan pemahaman al-Quran.

JIKA dilihat kaedah konvensional, lidi atau bilah buluh bersaiz kecil sering digunakan untuk tujuan menunjukkan huruf-huruf atau ayat yang dibaca dalam kitab al-Quran. Namun, kebijaksanaan inovasi telah berjaya menerapkan unsur teknologi bagi tujuan tersebut.
Pen Membaca Pintar jenama AJV bukan sahaja berfungsi sebagai penunjuk ayat-ayat al-Quran. Apabila ia disentuh pada ayat, surah atau muka surat yang telah dikodkan, ia akan membacakan ayat-ayat serta terjemahan tanpa tersilap.
Pembacaan bukan sahaja menjadi lebih menarik, bahkan penggunanya dapat memperbaiki mutu bacaan melalui kaedah mendengar. Apatah lagi kalau audio itu adalah rakaman bacaan daripada imam Masjidil Haram iaitu Sheikh Ali Abdur-Rahman al Hudaify.
Menurut Pengarah Urusan AJV Electronic Devices (M) Sdn. Bhd., Amran Ahmed, aplikasi utama produk tersebut ialah membaca teks al-Quran yang dikodkan. Suara akan dikeluarkan apabila pen disentuh pada ayat yang ingin didengar.
“Semakan ke atas bacaan dan terjemahan al-Quran adalah diambil daripada Tafsir Pimpinan Al-Rahman itu dilakukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Surah-surah ini akan lebih dihayati apabila diperdengarkan dengan cara yang efektif dan mesra pengguna. Aplikasi ini sudah tentu dapat memberi ruang dan cara pembelajaran yang lebih mudah,” katanya.
Selain itu katanya, keupayaan pen itu untuk membaca apa juga teks yang telah dikodkan sudah tentu memberi impak besar dalam usaha penyelidikan dan pembelajaran.
“Keberhasilan ini jika digunakan dengan kaedah dan matlamat yang betul, akan seiring dengan hasrat negara iaitu hendak mewujudkan golongan cerdik pandai. Ini langkah awal menjadikan negara ini sebagai negara penyelidikan.
“Justeru, kita tidak lagi sekadar mengharapkan penyelidikan dari negara-negara Barat,” tambahnya.
Dalam pada itu katanya, keupayaan Pen Membaca Pintar juga dapat dipertingkatkan melalui tambahan kad memori khas yang mengandungi pilihan qari-qari lain serta tambahan bahasa-bahasa terjemahan.
“Antara ciri istimewa peranti ini ialah ruang kad memorinya yang boleh menampung kapasiti sehingga 16 gigabit yang membolehkan simpanan data-data tanpa mengganggu fungsi utamanya sebagai pembaca imej berkod.
“Ia boleh digunakan sebagai perakam suara, pemain MP3 dan mempunyai sambungan kepada fon telinga dan pot USB,” katanya.
PEN pintar ini mempunyai kapasiti memori sehingga 16 gigabit.


Jelas Amran, Pen Membaca Pintar berkenaan dijual secara pakej bersama sebuah al-Quran yang sudah dikodkan. Pengguna akan mendapati Quran berkenaan sama seperti Quran biasa yang lain.
“Ia mempunyai halaman-halaman yang dikodkan secara halus tanpa meninggalkan kesan. Selain itu, kod-kod itu juga tidak mudah hilang biarpun berlaku kerosakan kepada ayat-ayat. Penjagaan al-Quran ini sama seperti al-Quran biasa.
“Bagaimanapun, pen mestilah dijaga dengan baik dengan tidak mendedahkannya kepada air,” katanya.
Menurut Amran, Pen Membaca Pintar dijual dengan harga RM499 hingga RM699, bergantung kepada kapasiti memori. Pengguna juga akan dibekalkan dengan fon telinga, kabel USB, kompas kiblat, kad jaminan dan manual pengguna.
“Setakat ini, AJV sudah mempunyai kira-kira 500 tempahan dan menganggarkan lebih banyak pengguna akan memilih produk ini bagi tujuan pembelajaran berkesan.
“Ia menjadi gajet yang harus dimiliki oleh semua Muslim,” katanya mengenai produk yang melalui proses pembangunan selama lapan bulan dan menelan kos sebanyak RM2.5 juta.
Tambahnya, pembangunan produk berkenaan adalah untuk manfaat komuniti. Amran juga berharap produk itu menjadi pemangkin kepada usaha penyelidikan berterusan yang mampu menghasilkan produk-produk lain. Semua itu bakal mengubah kaedah pembelajaran menyeluruh bermula daripada pendidikan pra sehingga ke peringkat tertinggi.
“Ia juga mampu dikembangkan dan diserap ke semua industri termasuk pelancongan. Bayangkan, pelancong dapat menggunakannya bagi membaca buku panduan pelancong dengan terjemahan ke bahasa masing-masing,” katanya.
Sementara itu, pembangunan Pen Membaca pintar ini mendapat sokongan penuh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sebagai penyuntik dana dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).- ROSMALINA ABD. KADIR
kredit : kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment