Pages

Friday, June 11, 2010

Minda: Melahirkan ramai Kuok dan Krishnan

BARU-baru ini, majalah Forbes Asia menyenaraikan 40 individu terkaya Malaysia. Selain Syed Mokhtar Al Bukhary dan Azman Hashim yang terkenal dengan pencapaian bisnes membanggakan, kini terdapat tokoh baru seperti Kamarudin Meranun, Shahril dan Shahriman Shamsudin, Mokhzani Mahathir, Nazir Razak dan Abdul Hamed Sapawi.
Sejak beberapa tahun, senarai ini didahului dua individu iaitu Robert Kuok (dengan nilai aset RM39 bilion) dan Ananda Krishnan (RM26.3 bilion). Nilai harta mereka berdua hampir 40 peratus daripada jumlah keseluruhan kekayaan 40 individu dalam senarai itu. Ia juga lebih 20 kali ganda purata nilai harta milik 38 orang dalam senarai yang sama. Nilai kekayaan semua 40 bilionair terbabit berjumlah RM171.2 bilion, bersamaan 25.2 peratus nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada akhir 2009. Ini bermakna terdapat ketidakseimbangan agihan dan konsentrasi nilai harta kekayaan yang sangat ketara dan perbezaan antara 40 individu terkaya dengan warga Malaysia yang lain semakin terus melebar. Kuok dikenali usahawan disegani bukan saja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa. Berasal dari Johor Bahru, beliau berniaga sejak 1949, iaitu lebih 60 tahun dulu, menerusi syarikat milik keluarga, Kuok Brothers Limited (istilah Sdn Bhd dipakai selepas merdeka).
Syarikat milik keluarga ini bermula dengan mengimport dan mengedar beras, tepung gandum dan gula. Ia kemudian berkembang ke bidang perladangan getah dan kelapa sawit, diikuti hartanah dan perhotelan. Kini bisnes Robert Kuok meningkat mencapai tahap multinasional dengan sebahagian besar kepentingannya beroperasi dari China, Hong Kong dan Singapura. Krishnan pula mula menempa nama sebagai usahawan berjaya menerusi penglibatannya dalam bisnes petroleum. Beliau juga berjaya menerokai dan mendahului bisnes TV satelit Astro dan telekomunikasi Maxis. Melihat kepada harta kekayaan 40 individu ini, kita pasti sedar betapa jauhnya antara mereka yang berada di puncak hierarki dengan mereka yang berada di bawah. Perangkaan daripada perancangan Model Ekonomi Baru (MEB), menunjukkan 80 peratus daripada warga Malaysia berpendapatan isi rumah kurang RM3,000 sebulan.

Daripada jumlah ini, 40 peratus mencatatkan pendapatan isi rumah kurang RM1,500 sebulan. Sebahagian besar mereka yang tergolong dalam kategori ‘miskin relatif’ ini tidak terlibat dalam bisnes. Kalaupun terlibat, mereka adalah peniaga dan pengusaha kecil dan sederhana atau mereka yang bekerja makan gaji dengan sektor bisnes. Mungkin reaksi pertama kita adalah tidak adilnya sistem ekonomi yang jelas memihak kepada golongan kaya. Mereka yang kaya akan bertambah kaya, sedangkan yang lain tercabar oleh kesempitan hidup. Mereka yang berada di peringkat paling bawah ‘piramid kehidupan’ ini pula terpaksa hidup ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

Sekalipun sukar diterima, hakikat ini sering saya tonjolkan dalam siri ceramah kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara sebagai motivasi agar mereka meminati bisnes dan menjadikannya kerjaya pilihan. Kerap saya menaruh harapan agar lebih ramai generasi muda berjaya mengikuti jejak langkah usahawan berjaya seperti Kuok dan Krishnan. Andai ingin kaya seperti mereka, tiada jalan lain perlu diambil selain daripada berniaga. Sejarah hidup usahawan berjaya seperti mereka harus dikaji. Usahawan seperti ini bermula dari bawah dan berjaya berkat kesungguhan mereka berkorban masa, tenaga dan usia untuk membina kehidupan sejak remaja dengan mengenepikan kesenangan dan kelapangan sementara. Sesungguhnya, usahawan biasa ramai. Namun, untuk mencari seperti Kuok dan Krishnan yang membawa impak besar terhadap pertumbuhan ekonomi negara serta mempengaruhi kehidupan ramai warga Malaysia hanya satu dalam sejuta! Kita sebenarnya harus bersyukur orang seperti mereka hadir di kalangan kita kerana mereka banyak menyumbang kepada kemakmuran negara sama ada secara langsung atau tidak langsung. Bisnes mereka mewujudkan lebih banyak peluang kerja, menambah nilai ekonomi, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi negara. Tanpa usahawan berjaya, negara akan ketinggalan dalam persaingan di pasaran dunia. Ekonomi negara akan lebih didominasi kepentingan bisnes asing, termasuk daripada kalangan korporat multinasional milik bangsa pernah menjajah kita.

Saya juga tegaskan supaya kita tidak seharusnya marah atau dengki dengan usahawan seperti Kuok dan Krishnan. Semua sifat ini akan membunuh usaha melahirkan lebih ramai usahawan berjaya seperti mereka. Bagi masyarakat Melayu, hasad dengki ini seolah-olah sebati dengan mereka. Apabila melihat orang lain berjaya, maka dilakukan pelbagai perkara untuk menjatuhkannya. Inilah sikap yang perlu kita tangani terlebih dulu jika ingin melihat bangsa dan negara terus maju. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, “Hasad dengki itu memakan kebajikan sebagaimana api memakan kayu api.” (Riwayat Abu Daud) Ringkasnya, mengapa tidak kita tiru semangat bangsa lain yang saling bantu membantu untuk lebih berjaya? Di kalangan orang Cina dan Jepun, terdapat institusi yang memainkan peranan penting dalam menyokong bisnes mereka hingga berjaya. Melayu-Muslim juga perlu mencontohi mereka dan bukan mengikut kaedah nafsu-nafsi, seperti ‘enau melepaskan pucuk masing-masing’. Kini, persoalan lebih besar yang perlu diberi perhatian dalam kita merancang pertumbuhan ekonomi seterusnya, khasnya menerusi MEB, ialah dua isu berikut: Pertama, bagaimana boleh segera kita tentukan supaya lebih ramai remaja diberi peluang untuk membina bisnes sampai ke tahap jutawan dan bilionair. Kedua, yang lebih penting ialah bagaimana melindungi kepentingan 80 peratus masyarakat berpendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan supaya mereka terbela, terpelihara kepentingan, mendapat seluas mungkin peluang memperbaharui kedudukan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup. Adakah mereka akan kekal di peringkat paling bawah piramid itu? Kalau pun bukan mereka, ruang dan peluang harus dibuka supaya anak cucu mereka yang berbakat bisnes mendapat peluang sama seperti diperoleh Kuok, Krishnan dan Syed Mokhtar. Dengan demikian, sangat penting MEB memastikan sistem ekonomi kapitalis yang cenderung memilih kasih kepada yang kaya direformasi supaya dapat turut membuka peluang dan memberi akses laluan kepada anak petani dan nelayan, anak kerani, pekerja kilang dan pelayan pejabat. Semua mereka tidak harus dihindarkan daripada prospek menjadi jutawan. Tegasnya, MEB perlu membina persekitaran supaya tiada sesiapa daripada kalangan remaja yang berbakat dan bersedia bekerja kuat dipinggirkan, cuma kerana mereka tidak mempunyai modal atau tidak mendapat akses kepada sokongan jaringan bisnes dan korporat yang didominasi golongan tertentu. Lebih penting lagi, kita perlu segera membentuk sistem institusi dan membina jaringan bisnes dan korporat Melayu-Muslim untuk membantu usahawan dan ahli perniagaan di kalangan mereka serta mempercepat proses menjayakan bisnes masing-masing untuk kepentingan bersama.
>Penulis ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation merangkap Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia.www.businessjihad.com

No comments:

Post a Comment