Pages

Friday, June 18, 2010

MENCARI NILAI CINTA ALLAH


Peristiwa Isra’ dan Mi’raj adalah lambang satu cinta yang sungguh agung. Baginda telah diundang bertemu Allah SWT dengan penuh cinta dan kasih sayang, setelah Baginda melalui detik-detik ujian yang paling getir dalam hidup Baginda. Mi’raj bagi umatnya adalah solat. Jika Nabi Muhammad s.a.w. mi’raj ke langit bertemu Allah SWT, pasti dalam solat yang diwajibkan kepada umat Nabi Muhammad itu mengandungi rahsia yang membawa kepada cinta Allah SWT. Rahsia di sebalik peristiwa ini dan juga solat telah menggamit hati di Black & Brown untuk menggali topik mengenai solat dan keagungan cinta Allah SWT.
Pasti ramai di antara kita yang melakukan ibadat solat, puasa, zakat, haji, membaca al-Quran dan ibadah yang lain, namun, berapa ramai antara kita mendirikan ibadah ini dengan penuh rasa cinta dan rindu kepada Allah SWT? Solat mengajar kita erti cinta. Lima kali setiap hari kita dilaungkan untuk menuju cinta Allah yang abadi. Orang yang solat itu beruntung, kerana sekiranya solatnya yang didirikan dengan penuh kecintaan maka ia akan dibalas dengan cinta yang lebih kudus dan agung. Prinsip ini dinyatakan melalui sebuah Hadis Qudsi, iaitu setiap kali seorang hamba mengingati Allah, maka Allah akan mengingatinya dalam majlis dan khalayak yang lebih baik dari apa yang ada pada manusia.
Dalam seumur hidup, seseorang yang menunaikan solat akan berdiri dalam solatnya itu  sebanyak 372,300 kali dan sujud sebanyak 744,600 kali ( dengan anggaran umur selepas baligh 60 tahun). Alangkah indahnya jika setiap kali berdiri, rukuk dan sujudnya itu  dilakukan kerana mencari cinta Allah? Sebagaimana kesukaan anak menghadap ibu, atau kecintaan seorang kekasih berhadapan dengan kekasihnya, maka begitulah kita dengan Allah SWT. Kita akan rasa terseksa jika berjauhan. Begitulah, seseorang yang mencintai Tuhannya akan terseksa apabila berjauhan dari mengingati-Nya. Solat itulah penawar rindu bagi kita yang merindui-Nya. Setiap kali kita berdiri, rukuk dan sujud umpama langkah-langkah ketika berjalan. Sehari selangkah, lama-kelamaan pasti akan sampai jua. Allah SWT amat kasih kepada hamba-hamba-Nya, lebih-lebih lagi hamba yang mencari cinta-Nya. Justeru, adalah wajar kita menjadikan cinta Allah SWT sebagai matlamat tertinggi yang ingin kita capai sepanjang hidup kita yang terlalu singkat ini. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan majulah kamu menuju Allah, wahai orang-orang yang beriman, mudah-mudahan kamu akan dirahmati.”
Prinsip cinta diajar kepada kita, melalui kisah percintaan suci antara Adam dan Hawa yang dirakamkan di dalam al-Quran dengan begitu indah. Cinta mereka akhirnya dipisahkan setelah satu insiden yang berlaku akibat bujukan Iblis. Mereka dihantar ke dunia yang rendah. Kedua-dua kekasih ini dipisahkan dengan jarak ribuan batu, masing-masing menderita bersendirian, kerinduan. Tahun demi tahun pun berlalu sepi, tanpa berita. Setelah puluhan tahun, akhirnya cinta agung mereka bertaut kembali, setelah melalui pengalaman yang menyeksakan dek bahana perpisahan. Namun, yang lebih menyeksa ialah perpisahan mereka dengan Hadrat Allah Azza Wajalla di Syurga dan ditempatkan di sebuah kehidupan yang serba jauh dan rendah yang bernama dunia.  Maka bermulalah satu episod baru cinta Adam dan Hawa. Susah senang anak Adam sepanjang zaman, dalam meniti arus kehidupan ini, hanya dengan tujuan untuk kembali mendapatkan cinta Allah SWT yang abadi yang pernah dinikmati oleh Adam dan Hawa di Syurga. Secebis kisah cinta dalam al-Quran ini, adalah suatu pelajaran yang membuktikan bahawa cinta adalah suatu perkara penting di dalam hidup manusia.

Bukti Cinta-Nya

Di dalam bacaan al-Fatihah semasa solat, kita akan bertemu dengan kalimah “Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.” Rangkap kata Pemurah dan Penyayang itu diulang dua kali, menjadi pengapit kepada ayat “Segala puji bagi Allah, Tuhan Pemelihara alam ini”. Bukankah kalimah cinta di dalam al-Fatihah yang sering diulang-ulangkan ini sudah cukup membesarkan mata hati kita mengenai hakikat bahawa Allah itu amat menyayangi diri kita?
Bukti kasih sayang dan cinta Allah ada di mana-mana.
Dia menjadikan haiwan ternakan untuk manusia makan dan tunggangan. Darinya juga dijadikan susu untuk minuman dan pelbagai gunaan.
Daratan di hamparkan untuk kemudahan kita bergerak.
Darinya tumbuh beraneka pohon, tumbuh-tumbuhan, sayuran dan bijirin. Darinya juga terbit sumber tenaga dan kewangan kepada kita.
Lautan dibentangkan untuk manusia bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang jauh.
Lautan juga menyumbangkan beraneka makanan laut yang menyegarkan danperhiasan yang mahal harganya.
Matahari memberi cahaya untuk kita hidup. Ia juga sumber tenaga dan kesihatan.
Bulan menyeimbang sistem pasang surut lautan dan kestabilan bumi.Pergerakan matahari dan bulan menjadi tanda untuk kita mengukur masa. Allah SWT menjadikan semuanya ini untuk manusia. Semua ini dijadikan-Nya untuk kita berbakti, membalas budi  dan kasih sayang-Nya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah pasti kamu gagal menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah itu benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” An-Nahl 16:18. (Sila baca ayat 3 hingga 17 surah an-Nahl dari perspektif Cinta Allah kepada hamba-Nya dan jangan malu untuk menitiskan airmata kerinduan kepada-Nya). Justeru, seorang yang beriman wajar menghormati dan mengasihi apa yang ada di alam ini sebagai bukti cintanya kepada Dia Yang Maha Pencipta.
Hidup tanpa cinta, umpama empangan yang sedang kekeringan. Manusia yang kering hatinya dari basahan cinta Allah adalah manusia yang kering, kasar, keras, sombong dan kosong hatinya. Kasar dan lunak hati kita tertakluk sebanyak mana peratus kegersangan dan jumlah cinta yang ada dalam hati. Kebanyakan manusia hari ini gersang dari menyintai Allah. Kemelut dunia yang berlaku di dunia hari ini lahir dari manusia yang tiada belas kasihan sesama manusia dan cinta kepada Tuhannya.
Cinta dan benci umpama cahaya dan gelap yang saling berlawanan. Cinta itumerubah segala kegelapan, seperti matahari dhuha yang menerangi bumi di waktu pagi. Bacalah al-Quran, tetapi kali ini dengan beralas perasaan cinta, rindu dan kasih sayang. Sujudlah dengan perasaan mencari cinta yang murni. Senyumlah dengan hati yang pengasih. Pasti solat, bacaan al-Quran, senyuman dan segala amalan yang dialas cinta itu membawa perbezaan yang amat besar pada hidup kita. Tidak hairan, jika hati yang gersang bagai empangan yang tandus kontang itu, kini dibasahi semula dengan keindahan dan keagungan cinta kepada Allah SWT.
Salah satu sifat orang beriman ialah penyayang dan amat menyintai Allah SWT. Firman Allah bermaksud: “dan orang-orang yang beriman amat menyintai Allah.”  Prinsip kasih sayang ini diajar oleh Baginda dalam beberapa Hadis sahih, seperti “Orang yang pengasih dikasihi oleh ar-Rahman. Kasihlah apa sahaja yang ada di muka bumi, kamu akan dikasihi mereka yang di langit.” Mengasihi Allah dan Rasul menjadi kriteria bagi kesempurnaan iman seseorang. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang, sehingga Allah dan Rasul lebih ia kasihi dari ibu bapa dan anaknya.” “Tidak sempurna iman seseorang sehingga aku ia kasihi melebihi dari orang lain.” Justeru, sifat seorang muslim yang benar-benar beriman itu ialah pengasih, pembelas kasihan, pemaaf dan sangat cintakan Allah dan juga Rasul.
Cinta itu adalah kuasa yang mampu menarik manusia ke arah kebenaran.Aspek keindahan cinta yang ada dalam Islam sudah cukup untuk menarik jutaan manusia agar kembali menikmati keindahan cinta Allah SWT yang agung itu. Islam tidak memerlukan keganasan, kerana keganasan membawa petaka dan menjauhkan manusia dari Allah SWT. Firman Allah SWT bermaksud: “Hanya dengan rahmat Allah kamu akan bersikap lunak terhadap mereka. Jika kamu bengis dan keras hati, pasti mereka akan melarikan diri darimu. Maka hendaklah memafkan mereka dan bermusyawarahlah dengan mereka mudah-mudahan kamu akan dirahmati.”
Di sebalik cinta kita dambakan kepada manusia sebenarnya ada rahsia cinta Allah. Kita menyayangi manusia kerana ia adalah kekasih, pasangan suami atau isteri, anak-anak, ibu bapa, saudara mara atau sahabat. Siapakah yang mencetuskan perasaan kasih dan cinta ini? Perasaan kasih dan cinta itu sebenarnya datangnya dari Allah SWT. Perasaan belas kasihan kita terhadap anak yatim, ibu tunggal, orang tua yang sakit, orang fakir miskin, orang dalam kesusahan dan kemalangan tidak lain adalah terbit dari percikan sifat kasih sayang Allah SWT kepada makhluk-Nya. Maka, sekiranya kita ingin meraih pandangan rahmat-Nya, maka kita hendaklah membantu orang-orang yang lemah dan teraniaya, kerana di situ tersisip rahsia kasih sayang Allah SWT kepada kita. Inilah rahsia yang diungkapkan oleh al-Ghazali dalam “Kimia Kebahagiaannya”. Justeru, cinta Allah SWT itulah yang  paling layak untuk kita kejar, kerana ia adalah sumber segala kecintaan dan kasih sayang sebagaimana yang disebutkan oleh al-Ghazali dalam ‘Kimia as-Saadah’nya. Kisah kasih sayang Barqa’ amat baik untuk diperhatikan. Ia meleburkan wang haji semata-mata untuk menampung perbelanjaan anak yatim yang kelaparan selama tiga hari. Dengan keikhlasannya, ratusan ribu haji umat Islam pada masa itu diterima oleh Allah SWT, sebagaimana yang diceritakan kepada kita oleh Rasulullah s.a.w. Banyak lagi kisah cinta dan kasih sayang yang agung seperti ini. Mungkin suatu hari kita termasuk di kalangan mereka yang mempraktikkan cinta agung dan meraih cinta Allah SWT itu. Firman Allah SWT bermaksud: “Sekiranya kamu membelanjakan harta seluas bumi, kamu tidak akan dapat melunakkan hati mereka, tetapi Allah sahajalah yang melembutkan di antara hati-hati mereka.”

Pencemaran Cinta

Perkataan cinta hari ini menjadi kotor kerana kita menggunakannya dengan cara salah. Cinta sudah dimurahkan dan dipermudah melalui budaya luar yang melanda masyarakat kita yang terbit dari bisikan hawa nafsu. Cinta yang asalnya murni, kini kerap kali dikait dengan cara mendapatkan kepuasan jasad. Jangan kecundangkan cinta murni suci dengan hawa nafsu. Ramai anak muda hari ini memperalatkan nafsu atas nama cinta. Tujuannya hanya untuk mengambil kesempatan. Habis madu, sepah dibuang. Mangsanya ialah anak-anak gadis yang jujur dalam mencari ‘cinta sejati’. Berhati-hatilah, kerana takrif cinta bagi lelaki ada kalanya bersalut nafsu, sementara takrif cinta wanita bagi wanita pula ialah keinginan untuk dicintai dan mendapatkan perlindungan. Pasti kedua takrif ini selamanya akan disalah ertikan. Justeru, tidak hairan hari ini ramai menjadi mangsa cinta plastik. Akibatnya ialah penyesalan yang terpaksa ditanggung oleh diri sendiri, ibu bapa dan keluarga selama-lamanya.
Cinta yang dibina berasaskan panduan Syariat boleh memelihara kemuliaan diri wanita dan menyelamatkan lelaki dari menjelma menjadi haiwan pemangsa yang rakus. Cinta yang dibina atas kecantikan, akan hilang bila kecantikan itu luntur. Cinta yang dibina atas asas ketampanan dan kekayaan akan melayang apabila ketampanan dan kekayaan itu lebur. Cinta yang berkekalan ialah yang dibina di atas asas-asas yang kekal. Yang kekal itu maknawi, bukan fizikal. Cinta yang berkekalan di bina di atas nilai agama dan akhlak yang mulia. Ciri-ciri agama dan akhlak perlu dijadikan keutamaan. Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud, “Pilihlah yang mempunyai akhlak dan agama, kamu akan berbahagia.” Lihatlah pada mereka yang sudah berumah tangga berpuluh tahun, bagaimana mereka saling cinta dan mencintai antara satu dengan lain. Cinta yang murni itu indah. Ia membawa kepada cinta Allah yang hakiki. Cinta Allah itu adalah kemuncak segala keindahan rasa yang pernah di kecapi oleh manusia. Alangkah indahnya jika umat ini balik ke pangkal jalan, setelah sesat dalam cinta palsu yang tiada kesudahan.
Rata-rata manusia telah melupakan aspek cinta dalam hubungan dia dengan Allah SWT termasuk bagi mereka yang menunaikan solat. Hablum Minannas dan Hablum Minallah adalah konsep yang berakar umbi dari perkara cinta. Perhubungan apakah yang paling rapat sesama manusia, jika tidak melalui  perhubungan cinta? Dari cinta lahirnya kasih sayang. Kasih sayang itu adalah hasil dalam menterjemahkan perasaan cinta. Kerana cinta Allah maka dia sayang dan sentiasa memberi kita rezeki walaupun tanpa diminta. Belas kasihan itu datangnya dari perasaan cinta. Kenikmatan cinta tidak boleh di beli dengan wang ringgit.
Kita mudah sangat jatuh cinta pada dunia yang bergemerlapan ini. Kita tidak dilarang untuk menimba dan menikmati kebaikan dari dunia ini. Ia adalah suatu tanggungjawab kita di bumi Allah ini. Yang salah ialah apabila kita terlalu cinta pada dunia sehingga melupakan sumber kebahagiaan yang hakiki itu. Tanggung jawab kita adalah untuk menghidupkan agama-Nya supaya kehidupan kita itu makmur.
Memang tidak dinafikan, kadang-kadang ada kesulitan dalam memahami cinta Allah sebab ia tinggi. Pasti seseorang pernah rindukan Mekah, merindui Rasulullah, merindui ibu bapa, guru, ulama yang soleh dan lain-lain yang seumpama itu bukan? Maka, kategori cinta yang seperti inilah yang menjadi anak tangga pertama menuju cinta Allah. Tidak akan ada cinta Kaabah, melainkan sebenarnya kita menyintai Pemilik Kaabah. Tidak kita cintakan Rasulullah, melainkan sebenarnya kita cintakan Allah SWT. Begitulah analogi seterusnya dalam memahami cara menuju cinta Allah SWT. Justeru, jalan menuju peningkatan cinta antara yang terpenting ialah melalui solat hamba kepada Penciptanya.
Kerana kita cinta maka kita harus membina tamadun yang berjaya. Dan tamadun ini mestilah berasaskan ajaran Islam yang diajarkan kepada kita oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. Tidak ada larangan untuk kita berjaya dan tidak ada sekatan untuk kita nikmati kejayaan kita itu. Hanya kita dilarang dari berhenti mencintai Yang Maha Esa, demi kebaikan kita juga. Justeru, ada baiknya kita memulakan langkah untuk mencari cinta Allah ini melalui solat.  Semoga kita berjaya meraih cinta Allah SWT  suatu hari nanti, sebagaimana inti sari yang terkandung di dalam doa Rasulullah s.a.w., “Ya Allah, kurniakanlah perasaan cinta kepada-Mu, dan cinta kepada orang yang mengasihi-Mu, dan apa sahaja yang membawa daku menghampiri cinta-Mu. Jadikanlah cinta-Mu itu lebih aku hargai dari air sejuk bagi orang yang kehausan.”    Wallahu A’lam.

No comments:

Post a Comment