Pages

Sunday, June 27, 2010

Kriminal: Wajah hancur

PADA 5 Mac 2008, kira-kira jam 5 pagi, polis di Chapel Hill, Carolina Utara, Amerika Syarikat (AS) digemparkan dengan penemuan sekujur tubuh wanita yang mati ditembak bertubi-tubi di seluruh badannya, termasuk satu di kepala menggunakan senapang patah.

Hanya pada kira-kira 9 pagi hari berikutnya, ia disahkan mayat seorang penuntut Universiti Carolina Utara (UNC), Eve Marie Carson, 23 (ketika kejadian), yang sebelum itu diculik dan dirompak dua penjenayah, Demario James Atwater, 23, dan Laurence Alvin Lovette, 17.

Bedah siasat mengesahkan, Carson ditembak menggunakan pistol .25 caliber pada bahagian bahu, pipi dan tangan, tetapi tembakan yang meragut nyawa gadis ini diledakkan di kepalanya menggunakan senapang patah.

Carson yang juga penuntut cemerlang di UNC dikatakan bergelut mempertahankan dirinya ketika tembakan demi tembakan menghujani tubuh dan kepalanya. Beberapa kesan tembakan didapati menembusi tapak tangannya akibat cuba menahan tembakan.
Yang menjadi persoalan polis ketika itu, mengapa Carson dibunuh sedemikian rupa, tanpa belas kasihan dan begitu kejam sekali?

Sehari sebelum Carson ditemui mati, siasatan mendapati dia terlebih dulu diculik dua sahabat kulit hitam, Atwater dan Lovette di kediamannya berhampiran sebuah kawasan perumahan bandar Chapel Hill pada sebelah malam sebelumnya.

Motif penjenayah mulanya hanya untuk menyamun dan mendapatkan wang daripada Carson. Mereka melarikannya menggunakan kenderaan milik Carson, kereta jenis Toyota Highlander, kemudian mengambil wang mangsa melalui mesin ATM di bandar berkenaan.

Selepas memperoleh wang RM4,500 (AS$1,400) daripada Carson, penjenayah terbabit sebenarnya mahu menghantarnya ke rumah semula tetapi berlaku sengketa antara gadis berkenaan dan penjenayah itu.

Sebaik tiba di persimpangan jalan berhampiran kediaman Carson, penjenayah terbabit bertindak di luar dugaan membunuh mangsa tanpa belas kasihan.

Polis menjangkakan ia dilakukan selepas penjenayah bengang dengan sikap Carson yang mencetuskan perkelahian.

“Mereka (penjenayah) tidak berperikemanusiaan. Carson masih bernyawa ketika hanya ditembak menggunakan pistol, dan ketika itu dia mungkin merayu supaya tidak dibunuh.

“Tembakan di kepala meragut nyawa gadis ini. Giginya berkecai, rahangnya hancur dan tengkorak kepala pecah akibat tembakan itu,” kata pegawai penyiasat kes terbabit, Jim Woodall.

Bagaimanapun, perbuatan keji Atwater dan Lovette mudah dijejaki polis apabila teman wanita Atwater, Shanita Love, yang mengetahui perbuatan jenayah kekasihnya membuat laporan polis.

Atwater akhirnya ditangkap dan 24 jam selepas itu giliran Lovette pula ditahan polis. Ketika Atwater ditangkap, iPod (alat mendengar muzik) milik Carson ditemui dalam kenderaannya dan ia menjadi antara bukti kuat perbuatan jenayahnya.

Lagi pula, bukti DNA selain saksi yang kebetulan ada melihat penjenayah bersama mangsa terbabit menjadikan kes ini mudah diselesaikan dan dibawa ke mahkamah.

Pada 11 Mac 2008, Atwater dan Lovette didakwa dengan pertuduhan melakukan pembunuhan, penculikan dan merompak dengan senjata ke atas Carson.

Perilaku kejam penjenayah ini mendapat liputan meluas media ketika itu dan ramai mahu mereka dijatuhkan hukuman mati.

Malah, pada Oktober 2008, pihak berkuasa persekutuan di AS turut menyarankan kedua-dua penjenayah terbabit dijatuhkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Dalam perbicaraan di mahkamah pelbagai bukti baru dikemukakan, antaranya paparan kamera litar tertutup menunjukkan Lovette mengeluarkan wang ATM ketika dalam kenderaan dipercayai milik Carson, manakala Atwater di tempat duduk belakang kenderaan.

Perbicaraan kes ini berlanjutan hingga 24 Mei lalu dan Atwater didapati bersalah. Dia dihukum penjara seumur hidup tanpa parol.

Lovette pula terselamat daripada hukuman penjara kerana ketika jenayah dilakukan dia belum mencecah usia 18 tahun dan hanya perlu menjalani pemulihan.


INFO

NAMA SUSPEK: Demario James Atwater, 23, dan Laurence Alvin Lovette, 17
MANGSA: Eve Marie Carson
USIA: 23 tahun (ketika dibunuh)
STATUS: Bujang
KES JENAYAH: Pada Mac 2008, Carson diculik oleh Atwater dan Lovette di kediamannya di Chapel Hill, Carolina Utara, Amerika Syarikat, sebelum dirompak dan dibunuh
FAKTA KES: Carson dipaksa mengeluarkan wang di ATM menaiki kenderaan miliknya, Toyota Highlander, sebelum dibunuh dengan beberapa das tembakan di tubuh dan kepala menggunakan senapang patah. Atwater dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol manakala Lovette menjalani pemulihan kerana berusia di bawah 18

1 comment: