Pages

Monday, June 7, 2010

Durian Balik pulau



PERJALANAN selama 45 minit melalui jalan raya berbukit dari pusat bandar George Town, Pulau Pinang ke Balik Pulau dari Paya Terubong memberi pengalaman luar biasa kepada mereka yang pertama kali menjejak kaki ke negeri itu.
Pemandangan hijau menjamu mata sebaik kereta yang dipandu memasuki Jalan Tun Sardon yang bengkang-bengkok. Benar, ia anugerah yang cukup mempesonakan apabila melihat satu demi satu kawasan dusun buah-buahan terutamanya dusun duriannya.
Lebih menarik, setiap kali tiba musim durian iaitu pada awal bulan Jun hingga Julai setiap tahun, daerah itu menjadi tumpuan masyarakat setempat termasuklah pelancong asing.
Kehadiran mereka bukan semata-mata untuk menikmati raja buah yang harganya ada yang mencecah sehingga RM40 sebiji, bahkan mereka mahu menimba pengalaman meredah dusun buah-buahan.
Kepada kaki durian, makan di dusun pasti menyeronokkan. Pernahkah anda memasang impian untuk bermalam di dusun menunggu buah durian gugur sambil menikmati panorama malam dan mendengar nyanyian unggas hutan?
Reka bentuk rumah Melayu
Terletak berhampiran sungai Titi Kerawang, Vila Durian milik Chang Teik Seng, 48, merupakan antara destinasi percutian menarik khususnya buat para pencinta buah durian jika benar-benar ingin merasai nikmat sebenar raja buah itu di persekitaran yang sebenar.
Mengetengahkan konsep kampung, vila yang didirikan sejak dua bulan lalu itu mempunyai ciri-ciri kemelayuan. Ia sesuai dengan idea asal pemiliknya yang merupakan seorang pekebun durian dan biasa dengan budaya hidup masyarakat Melayu.
PENGUNJUNG boleh menikmati durian segar dengan mengutip buah yang baru gugur.


Idea untuk membina dua buah vila itu adalah ilham isteri dan empat cahaya matanya. Dusun durian itu dikenali dengan nama Bao Sheng Durian Farm.
"Memandangkan saya dibesarkan di kawasan dusun, saya telah lama mengimpikan untuk membina sebuah penginapan di tanah milik mendiang bapa untuk dikongsi dengan penggemar durian.
"Reka bentuk rumah Melayu menjadi pilihan kerana ia dekat dengan jiwa saya yang dibesarkan di kawasan kampung Melayu. "Idea ini bertepatan dengan konsep penginapan dalam dusun durian," katanya yang menghabiskan sekitar RM70,000 untuk kos pembinaan termasuk pengubahsuaian vila.
Dua buah Vila Durian yang dibina seluas 90 meter persegi itu cukup selesa kerana ia dilengkapi dengan sebuah katil, sebuah televisyen skrin rata dan bilik mandi. Teik Seing turut membina sebuah kolam mandi di tengah-tengah vila tersebut yang airnya disalurkan dari air bukit berdekatan.
Melihat Vila Durian yang dihias cantik umpama resort mewah, bayarannya cuma RM180 semalam sahaja lengkap dengan sarapan pagi untuk dua orang.
Kata anak jati Balik Pulau itu, bagi set hidangan makan tengah hari pula bayaran yang dikenakan cuma RM88 seorang.
Makanan yang disediakan pula adalah berdasarkan menu masakan Cina seperti masakan ayam kampung, sayur-sayuran dan ikan segar.
Kepada penggemar durian pula, mereka boleh makan sepuas hati di dusun ini mengikut bajet masing-masing.
Dusun tersebut menawarkan tiga kategori harga yang berbeza iaitu RM25 untuk sarapan pagi, RM35 untuk makan tengah hari dan RM45 untuk makan malam.
"Ketiga-tiga harga ini tiada beza cuma masanya sahaja. Bayar dan pelanggan boleh makan sepuas-puasnya. Tapi lebih menarik jika pilih harga sekitar senja untuk melihat pemandangan matahari terbenam sambil menikmati keenakan buah durian yang rata-rata pokoknya berusia 30 tahun ke atas.
"Kalau betul-betul ingin rasa buah durian segar, pengunjung boleh mengutip sendiri buah durian yang baru gugur," ujarnya.
Jelasnya, 200 batang pokok durian miliknya yang terdiri daripada pelbagai gred itu itu mengeluarkan hasil pada awal bulan Jun. Antaranya ialah durian jenis udang merah, labu air dan isi merah.
SABANA datang ke Malaysia semata-mata ingin menikmati raja buah Balik Pulau, Pulau Pinang.


Dusun itu juga mempunyai buah-buahan tempatan lain seperti rambutan, manggis, langsat dan pisang.
Selain bermalam dan makan durian, pengunjung berpeluang menjelajah di seluruh kawasan dusun seluas 2.6 hektar itu.
"Saya percaya, kedatangan mereka ke sini pasti memberi 1,001 pengalaman manis kerana saya akan berkongsi tip mengenali buah durian daripada cara-cara mengopek sehingga mengenalpasti kualiti buah itu.
"Ia merupakan antara khidmat yang ditawarkan di vila ini selain mempelajari kehidupan seorang pekebun," ujar Teik Seng yang rumahnya terletak di atas bukit beberapa meter dari Vila Durian itu.
Percutian kali keempat
Bagi mengawasi dusunnya dari diceroboh pencuri durian, Teik Seing memberitahu, empat ekor anjing miliknya dilepaskan pada waktu malam bagi menjaga seluruh kawasan kebun dan penghuni vila berkenaan.
Sementera itu, pengunjung dari Belanda, Sabana, 34, ketika ditemui berkata, kedatangannya setiap tahun ke Pulau Pinang adalah untuk menikmati buah-buahan tempatan dengan sepuas-puasnya.
Memandangkan buah durian tidak ada di negaranya, dia mengambil keputusan untuk bercuti selama seminggu di negara ini semata-mata menyambut kedatangan musim durian.
Merupakan percutian keempatnya ke Malaysia, ia adalah pengalaman pertama Sabana menetap di vila itu. Itupun setelah dia puas bertanya pemandu kereta sewa mengenai penginapan yang menawarkan pakej buah durian.
"Bagi saya, peluang bercuti ke sini adalah satu keputusan yang membanggakan kerana anda bukan sahaja diberi keselesaan tempat tidur tetapi menikmati buah durian sampai kenyang," katanya buah durian mempunyai rasa yang enak selain mempunyai bau yang unik.
TEIK SENG (berdiri) sentiasa memberi layanan mesra kepada pelanggan yang menikmati buah-buahan di dusunnya.


Sabana boleh menghabiskan lebih tiga biji buah durian dalam satu masa. Selain melancong katanya, pemilihan destinasi seumpama itu bertujuan untuk mempelajari cara hidup masyarakat kampung di situ terutama berkomunikasi dalam bahasa Melayu.
"Saya berminat untuk mengenali cara hidup masyarakat di sini. Malaysia sememangnya terkenal dengan sikap rakyatnya yang peramah dan kaya budi bahasa.
"Itulah faktor yang menarik saya untuk datang ke sini pada setiap tahun," jelasnya.

No comments:

Post a Comment