Pages

Wednesday, June 30, 2010

Bayi Tong Sampah

Bayi menggigil

SEREMBAN: “Pilunya hati saya apabila melihat keadaan bayi menggigil kesejukan, terbaring atas tong sampah dengan hanya beralas kertas surat khabar,” kata Maideen Machapu, 42, pemandu lori syarikat kontraktor pemungut sampah yang menemui seorang bayi lelaki, semalam.
Dalam kejadian jam 4.20 petang itu, bayi lelaki dipercayai baru lahir dan masih hidup ditemui terbaring atas tong sampah di ruang membuang sampah rumah di Taman Sri Pulai 3, Sikamat.

Bayi malang berpakaian lengkap itu dikatakan hampir terjatuh sebelum diangkat beberapa jiran berdekatan yang turut tersentak menyaksikan kejadian terbabit.
Maideen berkata, dia berada dalam lori dan terkejut apabila dimaklumkan Bed Prasad Sharu, 23, mengenai penemuan berkenaan.

“Saya turun dari lori untuk memeriksa dan mendapati bayi lelaki cukup sifat itu terbaring atas tong sampah dengan hanya beralas surat khabar tanpa sebarang nota atau objek lain.

“Saya seperti mahu menangis melihat bayi yang memakai baju, seluar, sarung tangan dan kaki menggigil teruk walaupun ketika itu tidak hujan,” katanya.

Menurut Maideen, dia segera memaklumkan kepada pemilik rumah berkenaan sebelum menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.
“Saya bersyukur kerana bayi malang yang dianggarkan seberat dua kilogram (kg) itu masih bernyawa dan amat kesal dengan tindakan kejam ibu bapanya yang sanggup membuangnya begitu.

“Mujur bayi itu tidak dibuang di rumah kosong kerana sampah di premis berkenaan kebiasaannya tidak dikutip dan saya tidak dapat bayangkan apa terjadi kepada bayi terbabit,” katanya.

Pemilik rumah berkenaan, Ng Ah Moy, 68, berkata, dia sedang berehat, terkejut apabila terdengar teriakan seseorang dari luar rumahnya.

“Sejurus keluar, saya dimaklumkan penemuan itu dan melihat jiran berdekatan sedang mendukung bayi malang terbabit sebelum sepasukan anggota polis tiba.

“Selain terkejut, saya yang menetap di sini sejak empat tahun lalu bersama anak dan menantu, sedih dengan kejadian ini. Kejam sungguh mereka yang tergamak membuang bayi tidak berdosa itu,” katanya.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, pihaknya menahan wanita warga asing berusia 20-an di sekitar lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

“Penahanan dilakukan hasil penelitian rakaman CCTV rumah berdekatan lokasi bayi itu dibuang,” katanya.

Bayi berkenaan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk tindakan lanjut.

Perkara itu mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Masyarakat, Datuk Zainab Nasir.


No comments:

Post a Comment