Pages

Wednesday, June 30, 2010

AS tangkap perisik seksi Rusia


GAMBAR yang disiarkan sebuah akhbar di Amerika Syarikat menunjukkan gaya Anna.


WASHINGTON - Seorang wanita seksi berambut merah dan empat pasangan suami isteri merupakan antara 10 suspek yang ditangkap Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) kerana menjadi pengintip Rusia di Amerika Syarikat (AS), lapor sebuah akhbar semalam.
Mereka didakwa di sebuah mahkamah AS kelmarin kerana merancang komplot pengintipan gaya era Perang Dingin terhadap AS.
Perang Dingin merujuk kepada ketegangan politik dan ketenteraan selain perang risikan antara negara bekas Kesatuan Soviet (USSR) dan Barat terutamanya AS selepas Perang Dunia Kedua dan berakhir dengan kejatuhan empayar komunis itu pada tahun 1990-an.
Wanita berkenaan, Anna Chapman, dipercayai seorang janda berusia 28 tahun dan lulusan ijazah sarjana ekonomi selain memiliki perniagaan hartanah secara dalam talian.
Anna, ditangkap di Manhattan beroperasi dengan menggunakan nama sebenar. Anna kini ditahan tanpa ikat jamin selepas pihak pendakwa raya AS menggelarnya sebagai seorang ejen terlatih dan penipu yang licik.
Dia dipercayai menggunakan hubungannya dengan golongan berprofil tinggi untuk menghantar rahsia negara AS kepada seorang pegawai pemerintah Rusia pada setiap Rabu, bermula sejak Januari lalu.
Anna dan sembilan lagi suspek didakwa menggunakan dakwat pen yang boleh hilang, radio frekuensi pendek, stenografi dan gelombang WiFi untuk menghantar mesej berkod ke Rusia, termasuk maklumat tentang senjata nuklear.
Beberapa suspek berkenaan dipercayai telah beroperasi di AS sejak lebih sedekad lalu.
Pada Sabtu lepas, seorang ejen FBI yang menyamar sebagai seorang ejen perisik Rusia bertemu dengan Anna di sebuah restoran di New York.
Menurut dokumen mahkamah, ejen FBI berkenaan kemudian berpura-pura mahu menghantar wanita jelita itu dalam misi untuk menyerahkan sebuah pasport palsu kepada seorang ejen wanita lain.
"Adakah anda bersedia untuk misi ini?" soal ejen FBI tersebut.
"Ya," jawab Anna ringkas.
Wanita seksi itu diberitahu bahawa seorang ejen Rusia lain akan menyambutnya dengan bertanya:
"Bukankah kita pernah bertemu di California pada musim panas lalu?".
Anna sepatutnya menjawab: "Tidak, rasa saya kita bertemu di Hamptons,". Sebaik sahaja dia menyerahkan pasport itu, dia perlu melekatkan sekeping setem di atas peta dinding untuk memberitahu pihak atasan bahawa misi tersebut berjaya.
Bagaimanapun, penyerahan pasport itu tidak berlaku. FBI dalam dokumen mahkamah yang difailkan tidak menerangkan mengapa pasport itu tidak bertukar tangan. Salah seorang suspek lain, Mikhail Semenko, diperangkap dengan cara serupa di sini oleh FBI pada hari yang sama.
Berbeza dengan Anna, lelaki itu menurut arahan dan dicekup selepas dia menyelesaikan misinya.
Pihak FBI turut mengintip Anna ketika dia duduk di sebuah kafe di New York dan menggunakan komputer ribanya untuk berhubung dengan seorang ejen Rusia yang bersembunyi di dalam sebuah van berdekatan.
Wanita itu juga pernah dilihat mengunjungi sebuah kedai telefon bimbit Verizon di Brooklyn, New York untuk membeli sebuah telefon bimbit dengan menggunakan nama Irine Kutsov dan alamatnya sebagai '99 Jalan Palsu'. FBI mendakwa, dia berniat menggunakan telefon bimbit itu untuk aktiviti perisikan.
Agensi penyiasatan AS itu turut menyiarkan gambar Anna memakai gaun merah di laman jaringan sosial, Facebook selain beberapa gambar dia beraksi seksi di laman sama.
Kes Anna menggemparkan AS bukan sahaja kerana wanita itu memiliki reputasi sebagai seorang jelitawan.
Dia juga dipercayai seorang ejen penting kerana pernah menyertai misi Rusia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebanyak 10 kali dan menghantar mesej kepada ejen-ejen Rusia di AS menerusi rangkaian wi-fi persendirian.
Peguam Anna, Robert Baum bagaimanapun menyatakan bahawa dakwaan-dakwaan terhadap anak guamnya sengaja diperbesar-besarkan.
Semua suspek itu didakwa kerana bertindak sebagai ejen perisik tidak rasmi untuk pihak asing dan boleh dipenjara lima tahun sekiranya didapati bersalah.
Sembilan daripada mereka pula didakwa kerana berkomplot melakukan penggubahan wang haram yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun. Antara suspek berkenaan termasuk empat pasangan suami isteri yang menjalani kehidupan tenang di pinggir bandar raya New York, di sini dan Boston.
Mereka dipercayai berkahwin bagi mengabui mata pihak berkuasa.
Sekurang-kurangnya satu pasangan itu mempunyai seorang anak hasil perkahwinan mereka.
Salah seorang perisik wanita Rusia yang ditangkap, Vicky Pelaez merupakan seorang wartawan dan pengarang akhbar berketurunan Peru. Dia pernah bekerja selama beberapa tahun untuk salah sebuah akhbar berbahasa Sepanyol paling popular di AS.
Satu kenyataan mengenai misinya menyatakan: "Anda (Pelaez) dihantar ke AS untuk perkhidmatan jangka panjang. Ijazah anda, akaun-akaun bank, kereta rumah dan sebagainya adalah bagi memenuhi satu matlamat: Jayakan misi anda iaitu mencari dan membina hubungan dengan kalangan pembuat dasar di AS dan menghantar laporan risikan ke C (Pusat Risikan Moscow.
Kenyataan misi itu seperti yang dihantar kepada suspek dari Moscow berjaya dipintas oleh FBI.
Pelaez dicekup bersama suaminya, Juan Lazaro di kediamannya di New York.
Dia dikenali di AS menerusi ruangan pendapatnya yang kerap mengkritik pemerintah negara kuasa besar itu. Anak lelakinya, Waldo Mariscal, memberitahu mahkamah bahawa ibunya tidak bersalah.
"Semua dakwaan ini palsu. Kami tidak mengenali suspek-suspek lain," katanya.
FBI mendakwa, Pelaez dan suaminya, Juan Lazaro pernah membincangkan rancangan untuk menghantar mesej berkod dengan menggunakan dakwat yang boleh hilang kepada beberapa pegawai Rusia semasa satu lagi kunjungan Pelaez ke Amerika Selatan.
Kata FBI, beberapa mesej dari ibu pejabat perkhidmatan perisikan Rusia, SVR di Moscow, mengarahkan suspek-suspek supaya membina hubungan dengan kalangan pembuat dasar di AS di samping mempelajari pelbagai topik termasuk senjata nuklear, dasar kawalan senjata AS, Iran, khabar angin melibatkan White House, peralihan kepimpinan Agensi Perisikan Pusat (CIA), pilihan raya Presiden AS, Kongres AS dan parti-parti politik di AS.
Dokumen mahkamah turut menerangkan mengenai satu sistem komunikasi canggih terbaru yang digunakan untuk perhubungan antara ejen-ejen berkenaan.
Sistem itu menggunakan komunikasi tanpa wayar berfrekuensi pendek yang dapat menghubungkan komputer riba kepada beberapa komputer riba lain.
Mereka menghantar maklumat dengan menggunakan sistem tersebut.
Seorang lagi daripada sepuluh perisik tersebut yang menggunakan nama sebenar ialah Mikhail Semenko yang diberkas di Virginia.
Dua lagi suspek, Richard Murphy dan isterinya, Cynthia Murphy ditangkap ejen-ejen FBI di kediaman mereka di Montclair, negeri New Jersey. Suspek keenam iaitu suami Pelaez, Juan Lazaro pula ditangkap bersama isterinya di kediaman mereka di New York.
Dua lagi suspek, Michael Zottoli dan Patricia Mills ditahan di rumah mereka di Arlington, negeri Virginia.
Sementara itu, dua suspek terakhir, Donald Howard Heathfield dan Tracey Lee Ann Foley ditahan di kediaman mereka di Boston.
Pengintip ke-11, Christopher R. Metsos, masih bebas dan diburu FBI.
Penangkapan 10 suspek itu memalukan Rusia dan memburukkan hubungan antara Presiden Dmitry Medvedv dengan rakan sejawatannya di AS, Barack Obama.
Dalam perkembangan berkaitan, Kedutaan Rusia di AS menyatakan, pihaknya tidak mengetahui tentang penangkapan tersebut dan masih mencari maklumat lanjut.
Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov berkata, beliau akan meminta penerangan AS berhubung dakwaan-dakwaan berkenaan. - Agensi

No comments:

Post a Comment