Pages

Sunday, May 30, 2010

Wanita Kelantan jaja Australia



Suri Ibrahim menjadi Melayu pertama yang menerokai sektor pelancongan di Australia.

SURI dan suaminya, Ramlee (kiri) melayan kerabat diraja Johor, Tunku Muna Najiha Sultan Iskandar bersama suaminya yang bertandang ke rumah Suri di Sydney.


BELIAU terpaksa meninggalkan lima anaknya yang masih kecil dan jawatan bergaji lumayan demi mencapai impian untuk bekerja dan menimba pengalaman hidup di luar negara pada tahun 1999.
Memilih Australia sebagai destinasi pilihan, pemilik nama Suri Ibrahim, 41, ini tidak pernah menyesal melepaskan jawatan perancang projek di sebuah syarikat kejuruteraan di Kuala Lumpur dan bekerja sebagai jurukemas hotel ketika mula-mula menjejakkan kaki di Bumi Kanggaru itu.
“Saya pergi menyusul suami, Ramlee Ismail, 43, yang menjadi chef untuk sebuah hotel lima bintang iaitu Sails In The Desert Hotel di Wilayah Utara Australia,” katanya ketika ditemui di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Biarpun hatinya sangat merindui anak-anak yang ketika itu berumur dua hingga 12 tahun, Suri tidak pernah kalah dengan perasaannya sendiri.
Melayu pertama
Suri tidak menunggu lama untuk meneroka peluang pekerjaan yang lebih baik di sana.
“Tujuh bulan saya menjadi jurukemas hotel, saya diterima bekerja di agensi pelancongan terbesar di Australia iaitu Australia Pacific Touring (APT) yang mempunyai banyak cawangan di luar negara,” tutur graduan Sarjana Pengurusan Komunikasi dari Universiti Sydney ini.
Menariknya, Suri ialah anak Melayu pertama yang mempelopori sektor pelancongan di benua paling datar di dunia itu.
“Waktu itu tidak timbul soal suka atau tidak. Dapat saja peluang pekerjaan yang lebih memberi jaminan, saya terima.
“Pada masa itu saya fikir, saya tidak boleh buang banyak masa kerana perkara utama yang membawa saya ke Australia ialah untuk mencari keselesaan hidup buat anak-anak saya,” katanya yang kini memegang status Penduduk Tetap Australia.
Sambungnya lagi, kelima-lima anaknya yang ditinggalkan bersama kakak iparnya dibawa ke Australia selepas lapan bulan terpisah.
Bermula dengan jawatan Perunding Charter, kini selepas hampir sedekad bersama APT, laluan kerjayanya terus bersinar.

JIKA ada kelapangan, Suri dan keluarganya suka makan angin di sekitar Australia. Dari kiri: Ejoi, Ramlee, Mihran, Mizrah dan Suri.


VIP
Menghargai kenyataan bahawa beliau ialah anak Malaysia yang dididik dengan adat Timur, toleransi dan ketekunan wanita Kelantan ini mencari rezeki tidak menemukannya dengan masalah untuk mengadaptasi budaya kerja di negara itu.
“Saya ditugaskan mengurus percutian pelanggan yang terdiri daripada orang kenamaan dari Eropah dan Asia.
“Bekerja dengan para VIP membentuk saya menjadi orang yang sangat teliti demi memastikan pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan kami.
“Antara VIP yang pernah saya uruskan ialah duta besar negara-negara asing, pegawai kanan kerajaan dan pegawai tinggi konsulat asing yang berada di Australia.
“Saya juga pernah menguruskan percutian Sultan Brunei dan kerabatnya.
“Ia sesuatu yang mengujakan kerana sepanjang lima tahun di sana, itulah kali pertama saya berjumpa dengan orang Melayu,” ujarnya yang sudah lima tahun berpindah ke bandar raya Sydney.
Kini, selepas sedekad di bumi Australia, pengorbanan dan kegigihan Suri berbaloi. Baru-baru ini, beliau dilantik sebagai Pengurus Pembangunan Perniagaan APT.
Kejayaan itu menjadi lebih indah apabila Suri dan suami berpeluang melihat anak-anak membesar di depan matanya.
“Buat masa ini anak-anak masih belajar. Anak sulung, Ejoi, 21, kini menuntut di universiti, juga di Australia,” katanya.
Selain kerjaya hakikinya di sektor pelancongan, Suri dan suaminya juga dianggap sebagai ‘dapur’ oleh hampir semua komuniti Melayu di Sydney.
Suaminya, yang pada tahun lepas dianugerahkan The Best Chef in New South Wales oleh Persatuan Hotel Australia dianggap Suri sebagai tukang masak terhebat yang pernah ditemuinya.
“Manakan tidak, sepanjang perkahwinan kami, saya tidak pernah memasak.
“Saya tidak bagus di dapur dan anak-anak juga lebih selesa jika suami yang menyediakan hidangan,” katanya yang bergabung dengan suami menubuhkan syarikat katering A-Wel yang menyediakan masakan Melayu istimewa untuk Malaysia Hall of Sydney.
Menyelusuri kisah zaman kecilnya, Suri membesar tanpa kasih sayang ibu bapanya.
Perceraian antara orang tuanya itu memaksa beliau diserahkan kepada ibu saudaranya ketika baru berusia sebulan.
“Saya dibesarkan oleh ibu saudara saya dan dimanjakan seperti anaknya sendiri.
“Pada umur 13 tahun, dia meninggal dunia dan selepas itu saya tinggal bersama nenek dan ahli keluarga yang lain,” ujar anak saudara kepada pelakon Rosnah Mohd. Noor ini.
Suri menganggap Rosnah seperti ibunya sendiri walaupun jarak usia mereka hanya sepuluh tahun.
ROSNAH (belakang) ibarat ibu kandung Suri.


Rosnah
Wanita itu, katanya sangat mengambil berat tentang dirinya terutama soal pendidikan.
“Selepas tamat tingkatan lima, saya mengikut Rosnah ke Kuala Lumpur dan tinggal bersamanya. Dia jugalah yang membiayai pengajian saya di Kolej Bedford dahulu.
“Banyak perkara yang kami kongsikan bersama. Bagi saya, dia ialah ibu dan juga bapa kepada saya.
“Kerinduan kepada Rosnah dan makanan Kelantan adalah dua perkara utama yang boleh menggamit saya pulang ke Malaysia.
“Lebih-lebih lagi kalau dapat berborak panjang sambil makan ikan bakar cicah budu.
“Kalau di Sydney, boleh kecur air liur bila teringatkan masakannya,” ujar Suri sambil tersenyum memandang Rosnah di sisinya.
Melihat kecekalan dan kegigihan Suri, dalam diam Rosnah mengagumi anak saudara pertamanya itu.
“Suri sanggup tinggalkan anak-anaknya ketika mereka masih kecil. Saya sendiri tidak sanggup melakukannya. Saya tahu, dia bekerja keras untuk memberikan yang terbaik kepada keluarganya.
“Tidak sangka, dia yang dulu masih menyusu botol pada usia 13 tahun, mampu pergi sejauh ini,” kata Rosnah bangga.

No comments:

Post a Comment