Pages
▼
Sunday, May 9, 2010
Utamakan budaya suka membaca
- TAN SRI ABDULLAH AHMAD
Walaupun Allah SWT berfirman melalui surah al-Alaq pada malam Lailatul Qadar bahawa melalui al-Quran sajalah manusia boleh mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat, berapa ramai orang Islam membaca, memahami dan mengamalkan isi kalamullah itu? Kalau membaca kitab Allah berat berapa ramai pula orang, guru dan pelajar Melayu menjadikan tradisi membaca (ringan atau sebaliknya, tidak termasuk buku teks) sebagai satu kegemaran masa lapang?
Jauh hendak berkhutbah. Saya sendiri pun kurang membaca tetapi tidak ada sebab pula anda tidak gemar membaca, mendeklamasikan sajak, mengaji dan berlagu al-Quran. Bekas guru bahasa Inggeris saya di MCKK (satu penggal saja) mendiang Anthony Burgess (kemudian menjadi novelis terkenal antarabangsa dan jutawan) pernah berkata: ‘the possession of a book becomes a substitute for reading it’, tegas Walter Savage Landor dalam ‘Aristotelles and Callisthenes’ ‘what is reading but silent conversation? - membaca adalah bicara senyap!’ Tambah teman ‘speaking’ - .... setelah membaca Thomas Bailey Aldrich, ‘Leaves from a Notebook’, ‘seseorang itu dikenali siapa kawan mindanya- a man is known by the company his mind keeps!’
Dua perkara terpenting bagi kita orang Melayu (liberal, kuno, Islamis atau nasionalis) kita mesti menguasai paling kurang dua bahasa dengan baik: Bahasa ibunda dan bahasa rasmi tunggal dan bahasa Inggeris, bahasa komersial dan antarabangsa yang nilai ekonominya tinggi. Kalau mampu belajarlah bahasa ketiga: satu antaranya Mandarin, Arab, Sepanyol. Dengan menguasai bahasa Inggeris dengan baik (standard yang diterima dan diakui oleh dunia luar) bangsa kita tidak seharus terus hidup mundur dalam negara sendiri. Apa pun usaha kita meningkatkan nilai ekonomi bahasa rasmi mesti serius, jangan hanya sekadar apa yang difikir ramai kini bagai melepaskan batuk di tangga saja. Begitu juga dengan pendidikan Inggeris.
Kita miskin ilmu pengetahuan, kita daif dalam ekonomi (dan kehidupan). 1Malaysia kononnya akan membebaskan kita dari ‘kejahilan dan kemiskinan’ di abad ke 21. Itu hasrat kerajaan. Tanpa kita menyahut cabaran secara serius, tanpa kita berusaha dengan jujur matlamat kerajaan tidak akan tercapai. Izin saya huraikan apa maksud saya tentang jahiliah: cetek pengetahuan dalam agama, ilmu dunia dan kebodohan secara amnya; mereka yang terus tidak mahu berdepan dengan keadaan yang sudah berubah dan akan terus berubah. Jahil dalam erti moden, pada pendapat saya, adalah mereka yang terus tidak mengamalkan ajaran agama mereka dan tidak hidup sesuai dengan tuntutan zaman. Kemiskinan pula: setelah merdeka selama 53 tahun (pada 31 Ogos), berpuluh dasar dan rancangan yang dianggap pro-Bumiputera telah dan sedang dilaksanakan kenapa kita terus susah berbanding dengan bangsa lain? Masih lagi kais pagi makan pagi, kasi petang makan petang. Adakah kita sengaja mendaif dan menyengsarakan kita sendiri? Masa menyalahkan kerajaan dan bangsa lain sudah berlalu. Lebih baik kita cerminkan diri kita sendiri terlebih dahulu. Kita mesti mara bukan tiga langkah tetapi 10 langkah ke depan mengejar progres, ke arah memperkukuhkan perpaduan dan komitmen pada agenda nasional, pada sosial kontrak dan perlembagaan.
Adalah wajib kerajaan meneruskan usaha membasmikan kemiskinan absolut - rakyat yang hanya dapat memenuhi (pada paras terendah) makanan, pakaian (sehelai sepinggang) dan tinggal di bangsal, rumah kilat; perkampungan baru mesti diwujudkan bagi mereka yang tinggal di kawasan sesak, kotor dan mundur, bak kata ‘speaking’ pindah mereka dari ‘slum’.
‘Inequality’- ketidaksamaan kekayaan, ketidaksamaan kemiskinan atau dalam idiom politik, ketidaksamaan sosial antara kaum, antara daerah dan wilayah terus wujud. Kalau ini semua tidak dibendung dan diperbaiki segera terutama ‘inequality’ dalam satu bangsa, satu kelompok ia boleh membahayakan masa depan kelompok itu, boleh menghalang kebangkitannya; ‘will impede its progress’ tegas ‘speaking’.
Saya terbaca dalam International Herald Tribune (Isnin 3 Mei, muka depan) satu makalah bertajuk ‘For Indonesians, Mandarin’s the Thing - pada orang Indonesia, bahasa Mandarin satu mandat!’. Apa yang terang akibat perubahan politik dalam dan luar negara pembelajaran bahasa Mandarin di Indonesia telah dimandatkan (sekurangnya di Lamongan, Jawa) kerana pemimpin daerah ini (penduduk 1.5 juta) mahu mempersediakan rakyatnya satu rangkaian bagi menjalani bisnes dengan tanah besar China. Kalau Indonesia nampak mustahaknya menguasai Mandarin kenapa kita tidak? Mungkinkah kerana kita nampak gajah di seberang sungai tetapi tidak di tepi mata kita?
China sedang muncul sebagai sebuah kuasa besar yang akan menjadi saingan hebat pada Amerika Syarikat seperti komunis Rusia antara 1917-1989 tetapi China akan dapat bertahan lebih lama kalau tidak pun mengatasi AS daripada kuasa-kuasa lain sebelumnya. Ekonomi China kini ketiga terbesar dalam dunia, tidak lama akan jadi kedua terbesar kerana itu sekali gus nilai ekonomi bahasa Mandarin meningkat dan sedang dipelajari di seluruh dunia. Seperti saya tegas berkali-kali kalau kita gagah bahasa kita pun dengan sendiri menjadi gendang yang gah! Indonesia yang begitu anti-China satu ketika dahulu sudah berubah dan wajar. China, seperti kata Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak mengancam dunia. Presiden Suharto pada tahun 1965 telah menuduh China menyokong PKI dan peristiwa ‘gestapu’ (pembunuhan jeneral-jeneral di lubuk/telaga buaya) langsung ramai Komunis dan orang China dibunuh dan ditahan sekali gus pendidikan Cina dan kebudayaan Cina ditegah antara 1967-1998.
Penduduk Malaysia, 25 peratus adalah Cina, di Indonesia hanya 4 peratus dari lebih 230 juta rakyat maka lebih ramai Cina di Indonesia daripada kita! Apa pun kehadiran kedua-dua rakyat ini amat dominan dalam ekonomi dan sosial kedua-dua negara kerana mereka tekun bekerja dan berusaha. Matlamat mereka kekayaan sebab mereka sedar mendapat kuasa politik sukar. Seperti ditegas oleh seorang kawan dari Jakarta: ‘Siapa kuasai ekonomi, kuasai atau pengaruhi politik. Yahudi di Amerika dan di Eropah; Cina di Thailand dan Filipina...’
Teringat saya pada madah Datuk Sir Onn Jaafar, pengasas dan Presiden pertama UMNO: ‘biar mati adat jangan mati anak!’ Mengubah satu mindset satu bangsa amat sukar, Melayu terutamanya! Mungkin ada baik juga kalau kita kurangkan pergantungan keterlaluan pada tradisi tetapi tidak pula meninggalkannya langsung.
Balik kepada buku, anda ingat tak apa kata Alice dalam ‘Alice’s Adventures in Wonderland’ oleh Lewis Carroll? ‘What is the use of a book,’ fikir Alice, ‘without pictures or conversations?” Terjemahan ‘speaking’: "apa guna sebuah buku tanpa gambar dan bicara?”
Sedih, pada pandangan saya, majoriti buku kini seolah-olah ditulis dalam masa satu hari hasil pembacaan satu malam. Namun begitu lebih baik membaca daripada tidak membaca langsung.
No comments:
Post a Comment