Pages

Sunday, May 2, 2010

Oki kecundangkan tujuh ribu wanita






MARI saya jawab terus pertanyaan "Siapa gadis manis bertudung ini?". Dia ialah bunga yang sedang berkembang dan nama penuhnya Oki Setiana Dewi.
Gadis 21 tahun kelahiran Batam, Indonesia ini mempunyai kekuatan tersendiri apabila dapat mengaburi 7,000 wanita lain di mata produksi dan pengarah sewaktu audisi pencarian watak Anna Althafunnisa, anak kiyai yang merupakan tunjang kepada filem Ketika Cinta Bertasbih.
Bukan calang-calang kerana filem ini juga dapat mengutip jumlah penonton seramai tiga juta untuk filem pertama dan hampir dua juta penonton untuk filem sekuelnya.
Maka faktor X milik Oki itu menjadi satu eksplorasi yang menarik untuk diterokai.
Filem yang diadaptasi daripada novel Habiburrahman El Shirazy itu belum menjenguk Malaysia. Tetapi novel dengan tajuk yang sama sudah mula mengetuk hati ramai peminat novel bercirikan aliran Islam.
Langkah pertamanya merupakan titik perubahan major. Mulanya berbuah keraguan untuk mencuba nasib bergelar orang seni apalagi seorang anak wayang. Atas dorongan kawan-kawan sekuliahnya, dia nekad mencuba uji bakat.
"Dulu saya hanya Oki seorang siswazah. Tetapi hidup saya berubah," kenangnya akan keterbukaan diri untuk mencuba audisi Ketika Cinta Bertasbih (KCB), filem fenomena yang berjaya membawa angin sendalu yang akhirnya membuat ramai tak keruan mahu menonton filem arahan Chaerol Umam tersebut
Proses audisi yang berperingkat hingga menyaksikan 36 orang sebagai peserta akhir bukanlah satu proses yang biasa.
PERNAH punya persepsi skeptikal terhadap dunia seni, pandangan itu berubah apabila Oki membawa watak Anna. Ujar Oki, media filem mempunyai pengaruh yang besar untuk tujuan dakwah.


Dakwah
Malah, di situlah tempat pengumpulan ilmu buat Oki sekali gus menukarkan statusnya sebagai selebriti setelah berjaya mendukung watak Anna, seorang pelajar Universiti Al-Azhar di Mesir yang berhadapan dengan polemik cinta si hero bernama Khairul Azzam.
"Terpilih untuk berlakon dalam KCB adalah hikmah besar buat saya. Saya dapat mengunjungi tempat-tempat yang menarik, kenal ramai orang serta memperbanyakkan ilmu serta wawasan.
"Lebih penting, saya dapat bertemu manusia hebat yang membuatkan diri saya terpacu untuk terus berprestasi," ujarnya yang menginjakkan dirinya daripada kehidupan heterodoks.
"Selama berada dalam proses audisi saya belajar pelbagai perkara. Keperibadian dinilai, begitu juga ketulenan memakai tudung. Saya disuruh membaca al-Quran dan sewaktu saringan akhir, saya dan peserta lain mendapat banyak ilmu.
"Saya belajar tahajjud, tafsir malah banyak material diberikan kepada kami. Sampai satu tahap, kami merasakan ini bukan lagi pertandingan. Kami bersyukur dengan kesempatan ini.
"Fikir kami, siapa pun dipilih untuk berlakon itu adalah persoalan Allah untuk meletakkan kami di posisi depan atau belakang," jujurnya yang sempat bercuti khas selama satu semester untuk membawa Anna dalam jasadnya.
Anak Seni
Memutar semula sejarah perjalanan seninya, dia merasakan tempatnya kini sudah ditentukan oleh Yang Maha Esa. Bergelar anak seni bukan mudah.
Malah, ada lontaran fikiran yang kurang baik atas pekerjaan yang memperjuangkan bakat dan taktikal diri itu.
"Saya juga pernah berfikiran yang sama. Tetapi kini saya optimis dengan menerapkan bahawa berdakwah juga boleh dilakukan lewat filem. Media filem membawa pengaruh yang besar malah luar biasa terhadap masyarakat.
"Orang luar mendengar, melihat dan belajar dengan deria mereka. Takdir hidup saya, Azzawajjalla meletakkan posisinya di sini," ujarnya yang tidak lepas-lepas mengucapkan syukur.
"Sewaktu saya mengadakan jelajah promosi untuk filem ini di 25 buah kota sambil membuat program bual bicara, ada yang datang bertemu saya dan menyatakan keinginan untuk bertudung seperti saya," luahnya yang kini sibuk dalam proses penggambaran siri Ketika Cinta Bertasbih sebanyak 50 episod.
Dalam cara yang halus dia membayangkan estetika bergelar anak seni. Perjalanannya sebagai khalifah yang mempunyai cara tersendiri untuk berdakwah. Juga sebuah ingatan buat dirinya sebagai insan yang mudah alpa.
"Semasa penggambaran selama 35 hari di Kaherah, saya sempat melihat kehidupan di sana.

AZZAM lakonan M. Cholidi Asadil Alam adalah gandingan mantap Oki dalam KCB.


"Saya lihat anak-anak muda membaca al-Quran di mana sahaja mereka berada. Sewaktu di kedai buku malah menunggu bas, mereka membaca. Satu situasi yang membuatkan saya dapat mendengar alunan al-Quran di mana-mana.
"Ini adalah pengalaman yang memacu diri saya menjadi lebih baik," ceritanya gembira meluangkan masa di Mesir untuk berjinak-jinak dengan watak Anna yang tidak dirasakan sukar untuk dikendong.
Watak Anna juga persis dirinya yang penuh dengan ketegasan. "Saya sehingga sekarang meneladani watak Anna," jujurnya.
Tidak terlepas juga dia bercerita hal dirinya disapa lelaki-lelaki berketurunan Arab yang menganggap gadis-gadis Melayu bersifat ramah serta sopan santun. Ramah yang diperkatakan itu dibalas dengan senyuman tanda perkenalan.
Selebriti
Berstatus selebriti, dia bereksplorasi dalam amanah yang dibawanya. Syukurnya dipanjatkan lagi dalam melihat perjalanan filem genre religi yang semakin banyak dibawakan di tanah airnya.
"Sejak tahun 90-an, sudah banyak filem genre agama di Indonesia. Cuma akhir-akhir ini genre agama meledak.
"Sudah resam, selepas satu filem baik itu meledak maka genre itu akan diikuti oleh penerbit filem yang lain.
"Selepas KCB, saya lihat banyak filem yang membawa mesej agama dibikin. Saya bersyukur kerana filem-filem baik ini mengalahkan genre hantu," jujurnya.
Dalam sibuk memikul watak Anna, Oki masih tetap seorang siswazah.

SEWAKTU saringan filem KCB, Oki dinilai melalui ketulenan memakai tudung dan pembacaan Al-Quran.


Ujar mahasiswi Universiti Indonesia jurusan Sastera Belanda ini, dia tertarik mengambil jurusan tersebut kerana mahu merapati sejarah Indonesia yang banyak dipengaruhi Belanda.
"Kuliah masih lancar," ujarnya. Ditanya apakah status aktres itu akan dilanjutkan untuk jangka masa panjang, dia menjawab mudah: "Kalau memang ternyata membawa kebaikan, kenapa tidak untuk diteruskan? Tapi dalam masa yang sama saya bercita-cita menjadi speaker seminar dan penulis novel."
Bualan perkenalan ini dihabiskan dengan kesyukuran lagi. Benar seperti tulisan Habiburrahman dalam novelnya: Cinta adalah kekuatan yang mampu mengubah duri menjadi mawar, mengubah cuka menjadi anggur, mengubah sedih menjadi ria, mengubah amarah menjadi ramah, mengubah musibah jadi muhibah.
Pada satu sisi lain juga, Oki ialah simbolik cinta itu.

No comments:

Post a Comment