Pages

Sunday, May 30, 2010

Motosikal ibarat isteri




SESETENGAH pemilik menganggap motosikal mereka lebih berharga daripada perempuan.


JATUH cinta dengan motosikal berkuasa tinggi sudah menjadi lumrah individu yang meminatinya.
Malah, ada yang sanggup berbelanja besar untuk mengubahsuai motosikal masing-masing. Bayangkan mereka tidak kisah berhabis sehingga RM500,000 hanya untuk 'mekap' motosikal. Ada pula yang terus terlupa soal jodoh kerana hobi itu.
Alasannya, mereka sudah pun menganggap motosikal yang dimiliki itu ibarat isteri walaupun mengetahui kenderaan itu tidak bernyawa.
Saifuddin, Ahmad Hazuan dan Nabil Afiq ialah antara individu obses terhadap motosikal yang telah diubahsuai (custom bike).
Namun, mereka berbeza dengan kumpulan motosikal chopper di Amerika Syarikat (AS) yang sering membawa persepsi negatif kerana terbabit dalam aktiviti keganasan seperti mengedar dadah, kumpulan mafia dan menjual senjata.
Bukan ganas
Saifuddin Yusof, 30, berasal dari Teluk Intan, Perak. Dia yang pernah bersekolah di sebuah sekolah agama terkenal di Perak mempunyai minat terhadap motosikal dan basikal sejak kecil lagi.
Pemilik bengkel motosikal di Wangsa Maju, Kuala Lumpur itu sanggup tidak menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di sebuah universiti tempatan, semuanya gara-gara gilakan motosikal.
Saifuddin mula mengumpul modal sejak berumur 18 tahun dengan bekerja di tapak-tapak pembinaan dan kedai kimpalan besi sebelum mempunyai bengkel sendiri dengan modal sebanyak RM30,000.
Berbicara lanjut, minatnya pada muzik dan seni menyebabkan dia terus dengan pekerjaannya sekarang.
Malah, dia dapat membina sebuah motosikal daripada struktur asas daripada rangka sehingga menjadi sebuah motosikal lengkap.
Saifuddin juga mempunyai kumpulan motosikalnya sendiri yang bernama Chikos Vatos Chopper Club yang bermaksud Kelab Motosikal Chopper Chikos Vatos yang mana Chikos itu sebenarnya sebuah perkampungan yang terdapat di Teluk Intan.
Katanya, pemilik motosikal besar sepertinya sinonim dengan imej motosikal pelik, gambar hantu dan tengkorak tetapi itu tidak menggambarkan personaliti sebenar pemiliknya.

BASIKAL jadi motosikal. Inilah hasilnya jika terlalu obses mengubahsuai sesuatu.


"Ganas dari segi pemakaian dengan gambar tengkorak dan hantu bukan bermakna saya ganas. Cuma itu yang menjadi lambang kumpulan saya.
"Kami ingin lari daripada kebiasaan dan mencurahkan idea seni melalui motosikal dan pemakaian," katanya.
Ujarnya lagi, dia tidak terpengaruh dengan kumpulan motosikal di AS yang memang terkenal dengan imej gengster.
"Kumpulan mat motor di AS juga terlibat dengan kumpulan mafia, pembunuhan dan bergaduh kerana berebut kawasan pengedaran dadah.
"Malah, ada yang membawa senjata api yang diletakkan di motosikal mereka.
"Tetapi kami di sini lebih terarah kepada aktiviti konvoi bermotosikal ke tempat menarik sehingga ke luar negara seperti Thailand dan Singapura," katanya.
Bagaimanapun, Saifuddin tidak menolak pergaulan mereka agak bebas kerana ada ahli terdiri daripada wanita selain ada yang membawa teman wanita bersama.
"Itu perkara biasa kerana saya pernah mengikuti rombongan bermotosikal ke Thailand. Aktiviti sosial yang saya buat di sana faham-faham sahajalah," katanya sambil menambah, motosikal bina khas terbahagi kepada tiga jenis iaitu bobber, chopper dan drag.
Bagi Ahmad Hazuan Hasmi yang berasal dari Chuping, Perlis, belia berumur 25 tahun itu mula berjinak-jinak dengan kumpulan motosikal selepas ayahnya membelikan sebuah motosikal jenis Modenas Jaguh kepadanya beberapa tahun lalu.
Kini, motosikal itu telah diubahsuai seperti motosikal yang digunakan tentera semasa Perang Dunia Kedua.
Hazuan juga mempunyai kumpulan motosikal yang dinamakan Pilgrimz bermaksud pengembara.
Bergaduh

PENAMPILAN ganas tidak menggambarkan kumpulan bermotosikal ini juga bersifat begitu.


Katanya, nama itu dipilih kerana dia dan kumpulannya dapat mengembara dan memperoleh pengalaman baru semasa mengikuti konvoi bermotosikal.
"Ada juga yang mengatakan kami kumpulan ganas kerana memakai baju bercorak ganas selain corak motosikal yang ekstrem tetapi itu hanya sekadar pemakaian.
"Selain itu, lencana pada baju 1% sebagai contoh amat dikenali di AS sebagai lambang kepada kumpulan motosikal gengster dan terlibat dengan aktiviti dadah dan senjata haram. Tetapi bagi saya ia dipakai sebagai perhiasan semata-mata," katanya.
Bagaimanapun, pengubahsuaian motosikal yang keterlaluan juga mengakibatkan masalah bagi Ahmad Hazuan.
"Motosikal sukar untuk lepas apabila ada sekatan jalan raya yang dibuat oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ada motosikal rakan saya yang pernah disita termasuk jenis Yamaha Virago, Drag Star Kawasaki Vulcan 100 dan Honda Shadow.
"Namun, ia sedikit sebanyak menghalang kreativiti kami. Sebaliknya di Thailand, kumpulan bermotosikal seperti kami bebas untuk membuat pengubahsuaian dan aktiviti itu menjadi sumber pelancongan negara itu," katanya.
Akibat terlalu obses terhadap motosikal, Hazuan turut terlepas memiliki teman wanita sehingga kini.
"Sayang pada motosikal itu lebih lagi daripada wanita. Motosikal itu seperti isteri kita cuma ia tidak bernyawa," katanya ketawa.
Malah, kegilaan kepada jentera itu juga menyebabkan dia pernah menunggang motosikal secara bersendirian dari Kangar, Perlis sehingga ke Hat Yai (Utara Thailand) yang mengambil masa lima hari untuk sampai.
Nabil Afiq Rustam, 24, juga lebih mementingkan motosikal berbanding mencari teman wanita.
"Jika orang secara tidak sengaja mencalarkan motosikal saya boleh jadi hampir bergaduh jawabnya.
"Namun, kami bukan gengster dan lebih terarah kepada aktiviti riadah," katanya.

1 comment:

  1. Motosikal memang lah ibarat isteri bagi kami semua, malah, ada yang ibarat isteri kedua, ketiga dan keempat...

    ReplyDelete