Pages

Friday, May 14, 2010

Lombong garam terapi asma






LOMBONG garam lama di Pakistan menawarkan eksperimen terapi asma sehingga berjaya menarik ramai pesakit-pesakit dari seluruh dunia. Khewra yang disifatkan sebagai lombong garam kedua terbesar di dunia telah berkurun lamanya mengeluarkan mineral penting untuk dieksport Ia juga mempunyai masjid garam dan kereta api elektrik.
Hari ini lombong garam tersebut mengaut keuntungan melalui terapi garam yang membezakannya di antara lombong garam di Eropah Timur dan klinik sintetik di Britain.
Klinik-klinik mendakwa bahawa pesakit asma dan penghidap penyakit salur pernafasan mendapat faedah apabila menyedut partikel antibakteria garam dalam keadaan steril. Ia membantu membuang mukus dan membersihkan paru-paru.
"Kita tidak menggunakan sebarang ubat-ubatan kerana pesakit asma akan pulih melalui udara. Jadi kita menyediakan persekitaran di mana pernafasan boleh ditambah baik kepada mereka," kata Ketua Doktor Klinik Khewra, Akhlaq Bukhari.
Meskipun terdapat beberapa kajian klinikal mengatakan bahawa gua garam dilihat oleh segelintir pihak sebagai alternatif rawatan terapeutik kepada ubat-ubatan, gua garam semula jadi dan sintetik tumbuh bagaikan cendawan di seluruh dunia.

KLINIK asma di lombong garam yang menyerupai rumah tamu golongan atasan.


Ketika klinik-klinik lain menawarkan rawatan untuk bronkitis, fibrosis sista dan kadangkala jangkitan telinga, Shah berkata, klinik Khewra hanya merawat pesakit asma yang dicetuskan oleh alahan.
"Saya datang dari Kanada. Saya tidak sembuh melalui perubatan moden apabila berada di sana tetapi bertambah baik sejak mengunjungi tempat ini," kata jurutera awam dari Kanada, Naeem Shamsher.
Shamsher pernah mencuba ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor di Kanada tetapi dia hanya merasa lega seketika dan tercungap-cungap apabila berjalan jauh, saudara maranya di Pakistan mencadangkan agar dia melawat lombong Khewra.
"Hari ini saya bukan saja boleh berlari malah bermain bola sepak selepas menghabiskan masa selama tiga hari di lombong ini," kata Shamsher yang sembuh 60 peratus selepas menjalani rawatan.
Lombong garam berkenaan terletak 160 kilometer (km) ke selatan ibu negara Pakistan, Islamabad. Ia ditemui pada tahun 320 Sebelum Masehi oleh askar-askar Alexander dan dibangunkan oleh pemerintah kolonial, Britain pada tahun 1872, kata pegawai lombong tersebut.
Klinik asma yang terletak di bawah tanah lombong berkenaan menyerupai rumah tamu golongan atasan. Ia dilengkapi 12 buah katil cadar putih dan selimut merah dalam enam kabin berasingan dengan batu garam serta dinyalakan lampu.
Terdapat juga kawasan menyambut tetamu yang dihiasi lampu garam dan ruang istirehat lengkap dengan air pancut, sofa dan set televisyen.
Dinding dan bumbung klinik berkenaan diperbuat daripada garam asli. Kipas turut digunakan untuk membantu mengekalkan suhu dan kelembapan sekali gus melegakan keadaan pesakit.

RAMAI pesakit asma yang mengakui lega selepas menjalani terapi garam walaupun tiada bukti saintifik.


Kursus selama sepuluh hari di pusat terapi lombong garam, Khewra menelan belanja 5,300 rupees (RM385). Pesakit akan menghabiskan masa selama 11 jam sehari di dalam gua, manakala waktu malam dihabiskan di hospital berdekatan.
Sejak dibuka tiga tahun lalu, klinik berkenaan merawat 500 pesakit. Shah mendakwa 60 peratus pesakit mengakui berasa lega daripada simptom yang mereka hadapi dan ada yang datang dari Britain dan Arab Saudi.
Tetapi Shahid Abbas, seorang doktor yang mengendalikan Pusat Asma dan Alergi di Islamabad berkata, walaupun penghidap asma atau alergi mengalami kelegaan sementara tetapi tidak ada penyembuhan cepat untuk penyakit ini.
"Tidak ada bukti saintifik mengatakan seseorang dapat sembuh daripada asma hanya dengan bernafas di dalam lombong garam atau persekitaran tertentu," katanya.
Pengarah Urusan Perbadanan Pembangunan Mineral Pakistan (badan kerajaan yang memiliki lombong garam itu), Khaled Sajjad Khokhar, berkata, mereka akan menilai kejayaan klinik Khewra sebelum meluluskan perkembangannya kepada 100 buah katil.
Tetapi terdapat segelintir pesakit-pesakit kembali semula ke klinik tersebut dengan gembira walaupun kelegaan yang dinikmati hanya sementara.
"Hospital ini merupakan satu rahmat, ia memberikan saya kehidupan kedua. Saya tidak pernah menghadapi masalah bernafas selepas menghabiskan sepuluh hari di klinik tersebut pada tahun 2007," kata seorang pesakit Pakistan, Adnan Khan, yang mengunjungi klinik itu buat kali kedua. -AFP

No comments:

Post a Comment