Pages

Saturday, May 8, 2010

Inovasi jenama popular Jepun




KIRI: Salah satu rekaan unik yang menarik perhatian pengunjung.


PERNAHKAH anda melihat radio generasi awal produk Sony Corporation keluaran tahun 1958? Direka oleh Kozo Yamamoto dan dikenali dengan versi Sony TR-160 produk tersebut menjadi rebutan di pasaran ketika itu.
Kejayaan tersebut disusuli oleh Sony dengan menghasilkan televisyen mudah bawa pertama di dunia, Sony TV8-301 sebesar saiz bola sepak. Ia direka oleh Sou Shimada pada tahun 1960.
Selain rekaan, pemikiran pereka dari negara Matahari Terbit itu juga jauh ke hadapan apabila membangunkan periuk nasi elektrik pertamanya pada tahun 1955.
Memandangkan beras merupakan makanan ruji utama penduduknya sama seperti masyarakat lain di kebanyakan negara Asia, periuk elektrik RC-10 keluaran Toshiba pantas memasuki pasaran ketika itu.
KANAN: Koleksi topi keledar keselamatan yang berwarna-warni turut dipamerkan.


Reka cipta merentas masa dan unik itu antara 105 hasil cipta pereka-pereka tersohor Jepun yang dipamerkan pada pameran Japanese Design Today 100 yang sedang berlangsung sehingga akhir bulan ini di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.
Pameran khas yang julung-julung kali dibawakan khas ke USM oleh penganjur utama iaitu Japan Foundation dengan kerjasama MGTF dan Pusat Pengajian Seni (PPS) USM. Pameran itu menampilkan contoh reka bentuk ciptaan bermula era awal 1950-an hingga kini.
Antara yang menarik untuk dilihat dalam pameran yang bermula sejak April lalu itu ialah reka bentuk produk berjenama popular keluaran Jepun seperti skuter elektrik, komputer riba, televisyen, telefon bimbit dan produk kecantikan.

ATAS: Laci meja mudah alih yang kreatif.


x
Ia termasuk 13 produk awal reka cipta selepas Perang Dunia Kedua iaitu ketika Jepun menuju sebagai sebuah negara maju seperti motosikal Super Cub C100 keluaran Honda, kereta tiga roda Mazda K360 dan kamera lensa tunggal Nikon F ciptaan Yusaku Kamekura.
Pada majlis perasmiannya baru-baru ini, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar, Profesor Omar Osman berkata, pameran seumpama itu memberi peluang kepada masyarakat di negara ini khususnya warga USM melihat dengan lebih dekat ciri-ciri reka bentuk produk Jepun yang kreatif.
Katanya, banyak perkara yang dapat dipelajari melalui pameran koleksi-koleksi tersebut termasuk gambaran terhadap kehidupan, impian dan harapan masyarakat Jepun yang diselitkan dalam produk-produk mereka.

PRODUK jenama Jepun bukan saja kreatif bahkan melambangkan harapan dan impian mereka.


"Rekaan-rekaan yang dipamerkan menampilkan pelbagai keunikan dan ia memberi kesan secara langsung terhadap amalan dan budaya unik masyarakat Jepun," katanya.
Majlis perasmian itu turut dihadiri oleh Pengarah Japan FoundationKuala Lumpur, Akihiko Murata dan Konsulat Jeneral Jepun di Pulau Pinang, Tetsuo Kai.
Omar menambah, pameran tersebut turut menjadi medan untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan negara Matahari Terbit itu, sekali gus menyediakan platform untuk USM memperluas jaringannya di peringkat global untuk kepentingan pembangunan ilmu.
"Para pelajar juga perlu mengambil peluang keemasan ini mengenali dan menerapkan nilai-nilai positif yang diilhamkan oleh masyarakat Jepun untuk turut serta mencipta sesuatu yang moden, elegan dan berkualiti untuk masa depan," katanya.

No comments:

Post a Comment