Pages

Sunday, May 2, 2010

Iblis kunjungi Rasulullah


Part 1 - Iblis kunjungi Rasulullah

DARIPADA Muadz bin Jabal dari Ibn Abbas r.a., “Ketika kami bersama Rasulullah SAW di kediaman seorang sahabat Ansar, tiba-tiba terdengar panggilan seseorang dari luar rumah, ‘Wahai penghuni rumah, bolehkah aku masuk? Sebab kalian akan memerlukanku’ .”
Rasulullah SAW bersabda, “Tahukah kalian siapa yang memanggil?”
Kami menjawab: “Allah SWT dan Rasul-Nya yang lebih tahu.”
Baginda melanjutkan, “Itu Iblis, laknat Allah SWT bersamanya.”
Umar bin Khattab berkata, “Izinkan aku membunuhnya, wahai Rasulullah.”

Nabi menahannya, “Sabar wahai Umar, bukankah kamu tahu bahawa Allah SWT memberinya kesempatan sehingga hari kiamat? Lebih baik bukakan pintu untuknya sebab dia sudah diperintahkan untuk ini. Fahamilah apa yang hendak ia katakan dan dengarkan dengan baik.”

Ibnu Abbas r.a. kemudian memaklumkan: “Pintu lalu dibuka, ternyata dia seperti seorang orang tua yang cacat satu matanya. Di janggutnya ada tujuh helai rambut seperti rambut kuda, taringnya kelihatan seperti taring babi, bibirnya seperti bibir sapi.”

Iblis berkata, “Salam untukmu Muhammad. Salam untukmu hadirin.”
Nabi menjawab, “Salam hanya milik Allah SWT. Sebagai mahluk terlaknat, apa keperluanmu?”

Iblis menjawab, “Wahai Muhammad, aku datang ke sini bukan atas kemahuanku, namun kerana terpaksa.”
“Siapa yang memaksamu?” tanya Nabi.

Iblis menjawab, “Seorang malaikat utusan Allah SWT mendatangiku dan berkata, “Allah SWT memerintahmu mendatangi Muhammad sambil menundukkan diri. Beritahu Muhammad mengenai caramu dalam menggoda manusia. Jawablah dengan jujur semua pertanyaannya. Demi kebesaran Allah SWT, andai kau berdusta satu kali saja, Allah SWT akan jadikan dirimu debu yang ditiup angin.”

Part 2 - Iblis gentar

IBLIS gentar dengan soalan Nabi Muhammad ketika diarah bertemu baginda oleh Allah dan di bawah ini adalah sebahagian lagi daripada keseluruhan soalan perlu dijawab makhluk dilaknat itu:

Amalan yang menyakiti iblis

Nabi Muhammad menyoal iblis berkaitan amalan yang dapat menyakiti makhluk dilaknat Allah itu.

“Apa yang kau rasakan jika melihat seseorang daripada umatku yang hendak solat?” Iblis menjawab panas dan gementar lantas baginda bertanyakan mengapa.

Iblis menjawab, “Sebab setiap seorang hamba bersujud sekali kepada Allah dan Tuhan mengangkatnya satu darjat.”

Baginda bertanya lagi, “Jika seorang umatku berpuasa, jika ia berhaji dan jika ia membaca al-Quran.”
Iblis menjawab, “Tubuhku terasa terikat hingga ia berbuka, aku seperti orang gila dan aku berasa meleleh laksana timah di atas api.”

Apabila ditanya jika seseorang umat Muhammad bersedekah, iblis menjawab ia sama seperti individu berkenaan membelah tubuhnya dengan gergaji.

Baginda kemudian bertanya mengapa iblis terasa seperti itu, lantas makhluk dilaknat Allah itu menjawab, “Sebab dalam sedekah ada empat keuntungan baginya iaitu keberkatan dalam hartanya, hidupnya disukai, sedekah itu kelak akan menjadi hijab antara dirinya dengan api neraka dan segala macam musibah akan terhalau dari dirinya.”

Baginda meneruskan soalan: “Apa yang dapat mematahkan pinggangmu?”
Iblis menjawab, “Suara kuda perang di jalan Allah.”
Soal baginda seterusnya, “Apa yang dapat melelehkan tubuhmu?”
Iblis menjawab, “Taubat orang yang bertaubat.”

Nabi Muhammad meneruskan soalan: “Di manakah kau menaungi anak-anakmu di musim panas?”
Dan dijawab iblis, “Di bawah kuku manusia.”

Part 3 - 70,000 anak bantu iblis

IBLIS yang dilaknat Allah SWT akan melakukan pelbagai cara untuk menggoda umat Nabi Muhammad SAW ke arah kelalaian dan pelbagai perkara maksiat lain.

Makhluk laknat terbabit pernah bertamu kepada Rasulullah SAW selepas diarah berbuat demikian oleh Allah SWT bagi menjawab setiap persoalan ditanyakan baginda.
Berikut adalah sambungan pertanyaan dan jawapan diberikan Iblis:

Rasulullah SAW lalu bersabda, “Segala puji bagi Allah SWT yang membahagiakan umatku dan menyengsarakanmu.”

Iblis segera menyampuk: “Tidak, tidak. Tidak akan ada kebahagiaan selama aku hidup sehingga hari akhir. Bagaimana kau boleh berbahagia dengan umatmu sementara aku boleh masuk ke dalam aliran darah mereka dan mereka tidak boleh melihatku. Demi yang menciptakan diriku dan memberiku kesempatan sehingga hari akhir, aku akan menyesatkan mereka semua. Baik yang bodoh atau yang pintar, yang boleh membaca dan tidak boleh membaca, yang durjana dan yang soleh kecuali hamba Allah SWT yang ikhlas.”

Rasulullah terus bertanya Iblis siapa yang ikhlas menurut makhluk laknat terbabit dan dijawab: “Tidakkah kau tahu, wahai Muhammad, bahawa barang siapa yang menyukai emas dan perak, ia bukan orang yang ikhlas.”

“Jika kau lihat seseorang yang tidak menyukai dinar dan dirham, tidak suka pujian dan sanjungan, aku boleh pastikan bahawa ia orang yang ikhlas, maka aku meninggalkannya.”

“Selama seorang hamba masih menyukai harta dan sanjungan dan hatinya selalu terikat dengan kesenangan dunia, ia sangat patuh padaku.”

“Tahukah kamu Muhammad, aku mempunyai 70,000 anak dan setiap anak memiliki 70,000 syaitan?”

“Sebahagian ada yang aku tugaskan untuk mengganggu ulama. Sebahagian untuk mengganggu anak muda, sebahagian untuk mengganggu orang tua, sebahagian untuk mengganggu wanita tua, sebahagian anakku juga aku tugaskan kepada para Zahid.”

“Aku punya anak yang suka kencing di telinga manusia sehingga ia tidur pada solat berjemaah. Tanpanya, manusia tidak akan mengantuk pada waktu solat berjemaah.”

“Aku punya anak yang suka menaburkan sesuatu di mata orang yang mendengarkan ceramah ulama hingga mereka tertidur dan pahalanya terhapus.”

“Aku punya anak yang senang ada di lidah manusia. Jika seseorang melakukan kebajikan lalu ia hebohkan kepada manusia, maka 99% pahalanya akan terhapus.”

“Pada setiap seorang wanita yang berjalan, anakku dan syaitan duduk di pinggul dan pahanya lalu menghiasinya supaya setiap orang memandangnya. Syaitan juga berkata, ‘Keluarkan tanganmu’, lalu ia mengeluarkan tangannya lalu syaitan menghiasi kukunya.”

“Mereka (anak-anakku) selalu menyusuri dan berubah dari satu keadaan ke keadaan lain serta daripada satu pintu ke pintu lain untuk menggoda manusia hingga mereka terhempas daripada keikhlasan mereka.

“Akhirnya mereka menyembah Allah tanpa ikhlas, namun mereka tidak merasa.”

“Tahukah kamu Muhammad bahawa ada rahib yang beribadat kepada Allah selama 70 tahun. Setiap orang sakit yang didoakan olehnya, sembuh seketika. Aku terus menggodanya hingga dia berzina, membunuh dan kufur,” terang Iblis kepada Rasulullah SAW.

Part 4 - Pendusta sahabat iblis

IBLIS laknat menganggap dirinya lebih mulia daripada manusia dan enggan tunduk kepada Nabi Adam tetapi akhirnya terpaksa bertamu kepada Nabi Muhammad SAW atas perintah Allah SWT untuk memberikan jawapan setiap persoalan dilontarkan junjungan mulia.

Berikut adalah sambungan jawapan diberikan Iblis dengan pengakuan bagaimana dia menggoda manusia.
“Tahukah kau Muhammad, dusta berasal dari diriku? Akulah makhluk pertama yang berdusta. Pendusta adalah sahabatku. Barang siapa bersumpah dengan berdusta, ia kekasihku.”

“Tahukah kau Muhammad, aku bersumpah kepada Adam dan Hawa dengan nama Allah bahawa aku benar-benar menasihatiNya. Sumpah dusta adalah kegemaranku. Ghibah (gosip) dan Namimah (adu domba) kesenanganku. Kesaksian palsu kegembiraanku.”

“Orang yang bersumpah untuk menceraikan isterinya maka ia berada di pinggir dosa walau hanya sekali dan walaupun ia benar.”

“Sebab, barang siapa membiasakan dengan kata-kata cerai, isterinya menjadi haram baginya. Kemudian ia akan beranak cucu sehingga hari kiamat. Jadi semua anak-anak zina dan ia masuk neraka hanya kerana satu kalimat, cerai.”

“Wahai Muhammad, umatmu ada yang suka melewatkan solat. Setiap kali ia hendak berdiri untuk solat, aku bisikkan padanya waktu masih lama, kamu masih sibuk lalu ia menundanya hingga ia melaksanakan solat di luar waktu. Maka solat itu dipukulkan ke mukanya.”

“Jika ia berhasil mengalahkanku, aku biarkan ia solat. Namun aku bisikkan ke telinganya ‘Lihat kiri dan kananmu,’ ia pun menoleh. Pada saat itu aku usapnya dengan tanganku dan ku cium keningnya serta aku katakan ‘solatmu tidak sah.’ Bukankah kamu tahu Muhammad, orang yang banyak menoleh dalam solatnya akan dipukul.”

“Jika ia solat sendirian, aku suruh dia untuk bergegas. Ia pun solat seperti ayam yang mematuk beras. Jika ia berhasil mengalahkanku dan ia solat berjemaah, aku ikat lehernya dengan tali sehingga ia mengangkat kepalanya sebelum imam atau meletakkannya sebelum imam.”

“Kamu tahu bahawa melakukan itu membatalkan solatnya dan wajahnya akan diubah menjadi wajah keldai. Jika ia berhasil mengalahkanku, aku tiup hidungnya sehingga ia menguap dalam solat.”
“Jika ia tidak menutup mulutnya ketika menguap, syaitan akan masuk ke dalam dirinya dan membuatnya menjadi bertambah serakah dan gila dunia. Dan ia pun semakin taat padaku.”

“Kebahagiaan apa untukmu sedang aku memerintahkan orang miskin supaya meninggalkan solat. Aku katakan padanya, ‘Kamu tidak wajib solat, solat hanya wajib untuk orang yang berkemampuan dan sihat.’ ‘Orang sakit dan miskin tidak wajib dan jika kehidupanmu telah berubah baru kau solat.’ Ia pun mati dalam kekafiran. Jika ia mati sambil meninggalkan solat maka Allah akan menemuinya dalam kemurkaan.”

“Wahai Muhammad, jika aku berdusta Allah akan menjadikanku debu. Wahai Muhammad, apakah kau akan bergembira dengan umatmu padahal aku mengeluarkan seperenam mereka daripada Islam?” kata iblis.

Itu semua cara digunakan iblis untuk menggoda manusia menjadi kuda tunggangannya di akhirat kelak. Umat Islam digalakkan bermuhasabah diri dan memikirkan kembali apa yang perlu dilakukan supaya setiap ibadat dapat dijalankan dengan khusyuk, tawaduk dan hanya mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT bukannya sesama manusia.

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment