Pages

Wednesday, May 19, 2010

Elie diperintah bela diri kes tipu RM35,000



KUALA LUMPUR 18 Mei - 'Hartawan Lebanon', Elie Youseff Najem diperintah membela diri oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua tuduhan menipu seorang ahli perniagaan dan menyalahgunakan pas lawatan ke negara ini, lima tahun lalu.
Majistret Mohd. Azali Ibrahim memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Peguam tertuduh, S. Selvam menyatakan pihaknya akan memanggil seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri.
Mohd. Azali kemudian menetapkan 6 Jun ini untuk Elie membela diri.
Keputusan tersebut nyata tidak menyenangkan Elie yang dilihat mengamuk di luar mahkamah ketika meminta penjelasan daripada peguam belanya.
Dia hadir dengan ditemani lebih kurang lapan orang pengawal peribadi berbadan sasa yang turut bertindak menghalang jurugambar merakamkan gambar tertuduh.
Elie, 50, didakwa menipu Tan Sim Chai, 66, dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayai bahawa dia akan mendapatkan wang dari luar negara berjumlah 2.6 juta pound sterling.
Tindakan Elie itu mendorong Sim Chai menyerahkan sembilan keping cek berjumlah RM22,000 kepadanya di Blok B, Megan Avenue Jalan Yap Kwan Seng, di sini pada pukul 10 malam, 12 September 2005.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menipu mangsa yang sama untuk menyerahkan RM13,000 kepadanya di tempat yang sama pada pukul 11 malam, 13 September tahun tersebut.
Dia turut didakwa melakukan kesalahan mengikut peraturan 11(7) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana bekerja sebagai pengarah syarikat dengan menggunakan pas lawatan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat yang sama pada pukul 4.30 petang, 21 September 2005.
Elie yang dilepaskan dengan ikat jamin RM20,000 mula dibicarakan pada Disember tahun yang sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aizam Aiza Zamran.

No comments:

Post a Comment