Pages

Wednesday, May 5, 2010

Buang bayi makin menjadi-jadi macam buang sampah saja

Menangis digigit semut

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad

ahmadshahrul@hmetro.com.my
2010/05/05
SEPANG: “Apa jenis manusia yang sanggup membuang bayi sekecil ini di atas lantai sehingga dihurung semut,” kata Nordin Kasbon, 61, antara individu terawal yang menemui bayi lelaki berusia kira-kira sebulan di sebuah wakaf berhampiran surau Kampung Jenderam Hulu di sini, semalam.
Menurutnya, tangisan dipercayai akibat digigit semut itu menyedarkan penduduk berhampiran mengenai kehadiran seorang bayi di situ pada jam 7 pagi.
Nordin berkata, bayi itu yang lengkap berbaju dan seluar serta sarung tangan dibalut dengan kain batik lusuh serta dibaringkan di atas simen tanpa bantal.

“Bayi itu diletakkan di atas simen dan menangis kerana digigit semut dan dahaga selepas ditinggalkan ibunya dengan harapan ada jemaah surau menemui bayi itu.

“Tanpa berlengah, saya meminta jiran menyuapkan susu ke mulut bayi itu yang cukup dahaga selepas ditinggalkan ibu,” katanya yang juga pengawal keselamatan di sebuah premis di kampung berkenaan.

Nordin berkata, berdasarkan keadaan badan dan tali pusatnya yang sudah dibuang, bayi itu mungkin berusia beberapa minggu.

Dia yakin ibu bayi itu meletakkan anaknya di wakaf berkenaan dengan harapan ditemui jemaah masjid yang selesai menunaikan solat duha di surau berkenaan.

“Selepas bayi itu dijaga penduduk kampung buat sementara, saya menghubungi polis yang kemudian membawa bayi itu mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Salak sebelum dibawa ke Hospital Serdang (HS) untuk urusan selanjutnya,” katanya yang tidak menolak kemungkinan bayi itu hasil hubungan terlarang pasangan di kampung berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Zahedi Ayob berkata, polis masih menjalankan siasatan bagi mengesan individu yang membuang bayi berkenaan.






Ingatkan bunyi kucing, rupanya bayi menangis










THURSDAY, APRIL 29, 2010


Bayi ditinggal di beranda rumah


Oleh ZAID MOHD. NOOR














WAJAH bayi yang ditinggalkan di beranda rumah.



TANAH MERAH - Seorang bayi lelaki seberat 3.3 kilogram ditemui ditinggalkan di beranda sebuah rumah di Jalan Wan Ahmad di sini malam kelmarin.
Bayi itu yang masih hidup dan dipercayai baru berusia dua hari dikatakan ditinggalkan dalam keadaan masih bertali pusat dan berbalut sehelai selimut di rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Supritendan Abdul Aziz Mahmud berkata, bayi berkenaan ditemui oleh pemilik rumah tersebut, Sukma Abdullah, 56, pada pukul 12.30 malam kelmarin sebelum dilaporkan kepada polis.


Bayi ditinggalkan atas tangga





TANAH MERAH 28 April - Satu lagi kes buang bayi. Tapi mujur bayi yang dipercayai baru berusia dua hari itu masih hidup dan dalam keadaan sihat.
Bayi lelaki yang ditinggalkan dalam keadaan masih bertali pusat dan berbalut sehelai selimut itu ditemui oleh penduduk di atas tangga sebuah rumah di Jalan Wan Ahmad di sini.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Supritendan Abdul Aziz Mahmud berkata, bayi seberat 3.3 kilogram itu ditemui kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi oleh penduduk yang kemudiannya memaklumkan kepada pihak polis.
"Polis yang berkejar ke tempat kejadian menemui bayi berkenaan yang berbalut dengan selimut dalam keadaan sihat tanpa sebarang kecederaan.
"Bayi itu kemudiannya dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk rawatan,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kejadian terbaru itu adalah rentetan kepada beberapa kes buang bayi yang menggemparkan masyarakat sebelum ini.
Pada 14 Februari lalu, mayat seorang bayi yang baru dilahirkan bukan sahaja dibuang di dalam tong sampah di Kuala Krai, tetapi turut dibakar oleh individu yang mahu menutup kesalahan mereka daripada dikesan.
Abdul Aziz berkata, bayi berkenaan kini ditempatkan di wad kanak-kanak hospital itu.
Jelasnya, polis akan melakukan siasatan bagi mengenal pasti suspek yang meninggalkan bayi berkenaan.
"Kami akan meminta kerjasama Jabatan Pelajaran bagi mendapatkan maklumat mengenai pelajar sekolah yang tidak ke sekolah sejak beberapa hari lalu untuk disiasat.
"Selain itu, laporan daripada beberapa klinik swasta di sekitar daerah ini juga akan diperiksa untuk mengesan suspek," jelasnya.
Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Beliau meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan suspek dan mereka yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah di talian 09-9557704.

SUNDAY, APRIL 18, 2010


Tiada tempat rujukan punca buang bayi – Mashitah



KUALA LUMPUR 17 April – Sebanyak 90 peratus remaja bermasalah seperti mengandung luar nikah mengakui tiada tempat rujukan membuatkan mereka mengambil keputusan drastik termasuk membuang bayi.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, perkara itu diperoleh hasil pertemuannya dengan para remaja bermasalah ketika mengikuti program dan mengunjungi rumah perlindungan.
Beliau berkata, akibat tiada tempat merujuk, para remaja itu hanya menyuarakan permasalahan kepada rakan sebaya yang tidak mampu berbuat apa-apa untuk membantu.
“Mereka yang sudah tersasar dan merujuk kepada ibu bapa, bukan sahaja dileteri malah ibu bapa tidak mahu menerimanya.
“Jadi, apabila sudah hilang arah dan tak tahu lagi hendak berbuat apa-apa, mereka mencari jalan penyelesaian sendiri dan akhirnya membuat keputusan tidak sepatutnya seperti buang bayi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Santai Sambil Berhibur Bersama Remaja anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini hari ini.
Hadir sama pada program sehari yang bertemakan Hargai Usia Remajamu ialah Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz.
Mashitah berkata, pencegahan secara holistik perlu dilakukan dengan mengambil pendekatan menyelesaikan masalah yang telah terjadi serta mencegah masalah tersebut sebelum ia berlaku.
Katanya, program yang dianjurkan Jakim itu merupakan alternatif terbaik untuk mendekati para remaja dan menjadi platform kepada mereka dalam mencari sumber rujukan dan menyalurkan masalah.
Dalam pada itu, beliau kesal terhadap kejadian membaling telur busuk oleh penyokong pembangkang sebagai mengecam isu Apco yang berlaku di Masjid Sultan Idris Shah II di Ipoh, Perak semalam.
Beliau berharap, masyarakat dapat menilai dan membuat pilihan terbaik terhadap pihak-pihak mendakwa memperjuangkan agama.

WEDNESDAY, APRIL 14, 2010


Bekas pelajar mengaku salah



KUALA TERENGGANU 13 April – Seorang bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Chendering, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan membuang bayi, lebih dua tahun lepas.
Tertuduh, Zarina Sulaiman, 21, dari Kemaman, mengaku melakukan perbuatan itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Yusoff Yunus.
Mengikut fakta kes, Zarina dituduh secara rahsia telah membuang mayat seorang bayi perempuan yang dilahirkan olehnya sama ada telah mati sebelum, semasa, atau selepas dilahirkan olehnya dan dengan sengaja telah menyembunyikan kelahiran bayi itu.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Asrama Sutera UiTM Cawangan Chendering, Kubang Ikan, Chendering, dekat sini, antara 11 malam dan 12 malam, 29 Januari 2008.
Dia didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun.
Mahkamah kemudian menetapkan 26 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan sosial tertuduh dan menawarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, tertuduh tidak mampu membayar wang ikat jamin tersebut dan dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Marzita Subaker.
Dalam kejadian itu, mayat seorang bayi perempuan ditemui dalam keadaan separuh terbakar di celah timbunan sampah di tempat pembuangan sampah di kawasan asrama berkenaan oleh seorang tukang sapu.

Bapa bayi dibuang harus dipersalahkan





KUALA LUMPUR 13 April – Bagi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin, kes buang bayi yang semakin menjadi-jadi di negara ini merupakan gejala membimbangkan dan perlu segera ditangani.
Walaupun bergelar orang nombor satu dalam menangani jenayah di negara ini selain banyak pengalaman dalam kes buang bayi, beliau sendiri tidak dapat menerima hakikat bahawa kes ini masih berlaku.
“Kita sebelum ini pernah mendengar peribahasa ‘tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia’.
“Bagi saya, peribahasa ini kian luput di kalangan wanita hari ini yang tergamak melakukan kekejaman termasuk membuang anak yang dikandung dalam tong sampah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Menurut Mohd. Bakri, insan bergelar ibu itu diberi tanggungjawab murni dan diberi amanah oleh Tuhan untuk memberi identiti kepada kandungannya tapi sebaliknya pula yang berlaku.
“Mereka bertindak seperti binatang dan sanggup melakukan apa saja bagi ‘menyelimutkan’ kesalahan mereka,” katanya.
Sebagai seorang bapa dan suami, Mohd. Bakri mempersoalkan tindakan masyarakat yang lebih gemar menuding jari kepada kaum wanita berikutan kes buang bayi yang berlaku.
Dalam situasi ini, katanya, bapa kepada kandungan itu juga pada masa yang sama seharusnya dipersalahkan.
“Mereka seharusnya bersyukur dengan kurniaan Tuhan. Ini kerana ada sesetengah pasangan suami isteri yang tidak berpeluang mendapat anugerah itu,” tambahnya.
Bercakap mengenai jenayah itu, Mohd. Bakri berkata, pihaknya menghadapai kesukaran untuk menyelesaikan kes itu kerana dalam kebanyakan insiden saksi enggan tampil menyalurkan maklumat.
Dalam pada itu, beliau memuji usaha Utusan Malaysia menganjurkan kempen Kami Prihatin demi memberi kesedaran kepada golongan muda.
“Sebagai polis, ini yang kita mahu. Tindakan Utusan Malaysia merupakan satu yang harus dipuji dan dicontohi.
“Secara peribadinya saya cukup berterima kasih kepada akhbar ini kerana mengorak langkah pertama ke hadapan untuk menyedarkan masyarakat,” katanya.
Kempen Kami Prihatin dilancarkan oleh Utusan Malaysia bagi mencetuskan kesedaran umum terhadap isu penderaan kanak-kanak dan pembuangan bayi.
Kempen itu turut mendapat sokongan Astro, Karyawan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

TUESDAY, APRIL 13, 2010


polis masih buntu kesan individu buang bayi di Kg. Melayu Subang


PETALING JAYA 12 April - Siasatan polis terhadap kes mayat seorang bayi lelaki yang ditemui dengan sebelah tangannya digonggong anjing di Kampung Melayu Subang pada 26 Mac lalu masih tidak menemui sebarang petunjuk.
Walaupun pelbagai usaha dilakukan pihak polis termasuk mendapatkan maklumat daripada penduduk-penduduk di kawasan itu, namun ia tidak berhasil untuk mengesan individu yang terlibat.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya masih menunggu hasil laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) daripada Jabatan Kimia sebelum tindakan lanjut diambil.
"Bagaimanapun, laporan DNA itu dijangka tidak banyak membantu kerana kita tidak mempunyai sampel daripada suspek untuk diuji dan disamakan dengan DNA bayi malang itu," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, bayi itu yang masih bertali pusat dipercayai baru dilahirkan diisi dalam plastik lalu dibuang di tepi jalan berhampiran sebuah kilang simen di Jalan Padang Tembak, Kampung Melayu Subang.
Ketika ditemui oleh seorang saksi, sebelah tangan bayi malang yang telah bercerai dari badan itu digonggong oleh salah seekor daripada sekumpulan anjing yang menyelongkar bungkusan plastik itu.
Siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan ia dibuang pagi hari kejadian.
Arjunaidi dalam pada itu menasihatkan pasangan yang bertanggungjawab ke atas bayi tersebut, atau sesiapa yang tahu mengenai kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyembunyikan kelahiran.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

MONDAY, APRIL 12, 2010


Mayat bayi dalam timbunan sampah





























Mayat bayi lelaki cukup sifat yang dibuang di dalam timbunan sampah di Sungai Choh, Hulu Selangor, semalam.














HULU SELANGOR 11 April - Seorang bayi lelaki dilahirkan ke dunia ini dalam keadaan sempurna, selain memiliki raut wajah yang comel. Malang sekali, mungkin bimbang kelahirannya itu bakal membawa malu, bayi comel itu dibuang begitu sahaja dalam keadaan yang sangat memilukan.
Dia dibungkus dengan kertas surat khabar, kemudian dimasukkan ke dalam beg plastik sebelum dibuang dalam timbunan sampah.
Sekali lagi, penemuan mayat bayi dalam keadaan tragis ini - tiga hari selepas kempen Kami Prihatindilancarkan - memperlihatkan masih ada orang yang sanggup bertindak kejam terhadap bayi tidak berdosa.
Mayat bayi lelaki malang yang masih bertali pusat itu ditemui oleh pekerja Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) di tempat pembuangan sampah di Sungai Choh di sini kira-kira pukul 8 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, mayat bayi itu ditemui dalam timbunan sampah di sebelah kedai nasi ayam berhampiran lampu isyarat di pekan Sungai Choh.
Beliau berkata, seorang pekerja MDHS yang sedang mengutip sampah di kawasan itu menemui mayat itu dalam bungkusan plastik.
"Pekerja terbabit tergerak untuk memeriksa bungkusan plastik yang ditemuinya dalam timbunan sampah itu kerana berasa curiga dengan isi kandungannya.
"Dia terkejut apabila mendapati bungkusan itu mengandungi mayat seorang bayi dan segera memaklumkan perkara itu kepada orang ramai yang berada di kedai berhampiran sebelum menghubungi polis," katanya di sini hari ini.
Norel Azmi memberitahu, siasatan mendapati bayi lelaki itu baru dilahirkan dan dibuang dalam timbunan sampah sarap di situ.
Bagaimanapun, beliau berkata, bayi itu sudah mati ketika ditemui pekerja terbabit.
Berdasarkan maklumat awal pakar perubatan, katanya, bayi itu mungkin dilahirkan tidak cukup bulan tetapi sempurna sifat dan dipercayai akibat keguguran.
Tambahnya, mayat bayi malang itu dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baharu untuk bedah siasat.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kematian.
"Polis sedang berusaha mengesan ibu mangsa dan mengharapkan bantuan orang ramai untuk menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan," katanya.
Khamis lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil melancarkan kempen Kami Prihatin yang bertujuan menangani gejala penderaan kanak-kanak dan buang bayi.
Kempen anjuran Utusan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Astro dan Karyawan itu turut disokong oleh artis popular tanah air yang menyanyikan lagu Harapan Tanpa Suara.

SUNDAY, APRIL 4, 2010


Gadis dipujuk elak buang bayi





























SHAHANIM Mohd. Yusof (kanan) memerhatikan bayi kembar anak luar nikah yang dilahirkan seorang penuntut IPT dan kini dijaga oleh Jamil Man (dua dari kanan) dan Rokiah Ramli (dua dari kiri) di Kampung Pengkalan Bujang, Merbok, Sungai Petani, semalam.














SUNGAI PETANI 2 April - Sikap prihatin sepasang suami isteri dari Kampung Pengkalan Bujang, Merbok dekat sini yang sanggup memberikan perlindungan kepada seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang mengandung luar nikah, berjaya mengelakkan satu lagi kemungkinan kes buang bayi.
Keprihatinan Jamil Man dan Rokiah Ramli masing-masing berusia 37 tahun itu telah menyelamatkan dua bayi tidak berdosa apabila pelajar dari Kuala Lumpur tersebut mengambil keputusan melahirkan anak kembarnya di sini pada 8 Mac lalu.
Kedua-dua bayi yang dinamakan Muhammad Rayyan Farris Abdullah dan Muhammad Rayyan Harris Abdullah, itu kini dijaga oleh keluarga terbabit yang turut mempunyai empat orang anak berusia 8 hingga 16 tahun.
Rokiah yang ditemui Utusan Malaysia selepas dikunjungi Naib Ketua Puteri UMNO, Shahanim Mohd. Yusof di rumahnya berkata, mereka mengenali penuntut tahun akhir berusia 22 tahun itu menerusi projek anak angkat anjuran sebuah IPT dari Lembah Klang di Merbok pertengahan tahun lalu.
"Selepas tamat program, Ana (nama samaran) yang berasal dari Kuala Lumpur meneruskan hubungan baik dan sering bertanya khabar menerusi telefon dan SMS (khidmat pesanan ringkas) dengan kami," katanya.
Bagaimanapun, jelasnya, pada akhir November lalu, Ana telah menghubunginya dan menceritakan masalah yang dihadapinya.
"Dia memberitahu telah hamil beberapa bulan selepas terlanjur dengan teman lelakinya. Hubungan itu tidak mendapat restu ibu bapa teman lelakinya sementara ibu bapa Ana sendiri tidak mengetahui perkara tersebut'' katanya.
Rokiah berkata, selepas berbincang dengan suaminya, dia kemudian menasihatkan anak angkatnya itu menangguhkan pengajian dan tinggal bersamanya di Kampung Pengkalan Bujang.
"Oleh kerana bimbang dia bertindak bukan-bukan seperti membuang bayi, saya berikan nasihat sewajarnya dan menawarkan perlindungan kepada Ana," jelasnya.
Katanya, akhirnya pada 31 Disember lalu, penuntut IPT tersebut mengambil keputusan untuk tinggal bersamanya sehingga dia melahirkan anak.
"Saya dan suami uruskan semua perkara termasuk membawa Ana menjalani pemeriksaan di klinik," katanya.
Tambah Rokiah, anak angkatnya itu melahirkan bayi kembar seberat 1.8 dan 1.6 kilogram di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), 8 Mac lalu.
Sementara itu, Jamil yang bekerja sebagai pemandu bas persiaran berkata, dia dan isteri berhajat menjaga anak-anak kembar tersebut sehingga Ana bersedia untuk menerimanya.
"Saya nasihatkan dia supaya kembali sambung pengajian dan berkahwin secara sah dengan teman lelakinya. Selepas mendirikan rumah tangga dengan sempurna, saya akan serahkan anak ini kepadanya," katanya.
Dalam pada itu, Shahanim berkata, beliau mendedahkan kisah tersebut sebagai sokongan kepada kempen Kami Prihatin yang digerakkan akhbar Utusan Malaysia.
"Ini merupakan contoh baik kepada masyarakat. Atas keprihatinan keluarga Jamil dan Rokiah ini telah berjaya mengelakkan kes-kes tidak diingini seperti buang bayi yang makin membimbangkan kini," katanya.
Beliau berharap masyarakat juga dapat memberikan perlindungan dan peluang kedua kepada gadis-gadis terlanjur untuk kembali insaf serta menjadi iktibar kepada orang lain supaya tidak bertindak di luar batasan pada masa akan datang.
Shahanim berkata, pihaknya juga akan memberikan sokongan moral termasuk bimbingan sewajarnya kepada ibu muda terbabit untuk tabah meneruskan kehidupan.
Kempen Kami Prihatin dianjurkan oleh Utusan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) serta Astro.

SATURDAY, APRIL 3, 2010


DNA bantu kesan suspek buang bayi



KUALA LUMPUR 2 April - Polis masih menunggu laporan kimia mayat seorang bayi lelaki yang ditemui dicampak dengan sebelah tangannya digonggong anjing di Kampung Melayu Subang dekat sini, seminggu lalu.
Berikutan itu, sukar bagi pihak polis untuk mengesan petunjuk baru yang boleh membantu mengesan mana-mana individu yang terlibat dalam kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed (gambar) berkata, polis pada masa yang sama meminta bantuan penduduk di kawasan terbabit yang mempunyai maklumat mengenai penemuan mayat bayi itu.
"Saya ingin menggesa penduduk yang tahu mengenai penglibatan mana-mana pihak dalam kes ini supaya tampil menghubungi polis.
"Kita telah menerima laporan bedah siasat bayi malang berkenaan, namun laporan DNA (ujian asid deoksiribonukleik) masih belum diperoleh," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada 26 Mac lalu, mayat seorang bayi lelaki ditemui dicampak di tepi jalan di Jalan Padang Tembak, Kampung Melayu Subang. Salah satu tangan bayi berkenaan bercerai dari badan akibat digigit anjing liar.
Seorang lelaki yang prihatin terkejut apabila melihat seekor anjing menggonggong tangan bayi tersebut manakala sekumpulan anjing liar lain mengerumuni bayi malang itu.

WEDNESDAY, MARCH 31, 2010


15 mayat bayi di sungai China



























SEORANG lelaki mengumpulkan beg plastik berisi mayat bayi dekat jambatan di Jining, wilayah Shandong, pada 28 Mac lalu. - AGENSI














BEIJING 30 Mac - Sebanyak 15 mayat bayi ditemui di sebatang sungai di timur China, disyaki dibuang sebagai sampah oleh sebuah hospital berhampiran.
Usia mayat-mayat bayi yang ditemui di wilayah Shandong itu tidak dapat ditentukan, namun saiznya menunjukkan ia baru dilahirkan dengan satu daripadanya masih berupa janin, demikian menurutBeijing News.
Pihak berkuasa berkata, mayat-mayat yang ditemui itu mungkin perbuatan menggugurkan kandungan atau bayi yang mati selepas jatuh sakit.
Mayat-mayat bayi malang itu ditemui di pinggir bandar Jining.
Pengguguran bayi menjadi perkara biasa di China di mana tidak kurang 13 juta kelahiran bayi mati setiap tahun, berikutan langkah menyekat kelahiran kebangsaan digelar 'polisi satu anak' yang membenarkan setiap pasangan di bandar hanya mempunyai satu waris sahaja.
Polisi itu mendorong pengguguran berleluasa bayi perempuan di China, yang mana masyarakat China secara tradisinya lebih menyukai anak lelaki.
Menurut saksi, sesetengah mayat mempunyai label tarikh lahir dan nama ibu, namun masih belum dipastikan mereka datang dari hospital mana, kata laporan tersebut.
Laporan tidak memberi maklumat terperinci tentang tarikh lahir. Satu daripada mayat-mayat bayi itu dibungkus dalam beg plastik yang tertera tulisan 'sisa hospital'.
Zhong Haitao, pegawai jabatan kesihatan di Jining berpendapat, mayat bayi-bayi itu dibuang ke dalam tong sampah, manakala sebahagiannya jatuh ke dalam sungai berdekatan. Siasatan rapi sedang dijalankan.
Jabatan kesihatan ketika dihubungi enggan memberi komen. - AFP

Seorang lagi bayi ‘terbuang’





IPOH 30 Mac – Belum reda kisah seorang bayi perempuan ditemui dalam semak berhampiran tempat pembuangan sampah di sini pada Sabtu lalu, timbul pula kisah seorang bayi perempuan yang ditinggalkan oleh ibunya sejak seminggu lalu.
Nasib yang dialami bayi perempuan itu agak baik kerana dia ditinggalkan kepada seorang wanita di sebuah rumah di Jalan Tawas Baru, Taman Ehsan, Tasek dekat sini.
Ibu bayi itu menemui wanita tersebut minggu lalu meminta dia menjaga anaknya yang baru berusia beberapa hari.
Menurut jurucakap Hospital Raja Permaisuri Bainun (HPRB), ibu bayi itu berjanji akan menjemput anaknya keesokan hari namun tidak berbuat demikian.
‘‘Selepas seminggu tidak datang mengambil bayi itu, wanita yang menerima bayi tersebut menyerahkannya kepada pihak hospital,’’ katanya di sini hari ini.
Bayi seberat 3.1 kilogram itu kini ditempatkan di HRPB sementara menunggu tindakan selanjutnya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pada 20 Mac lalu, bayi perempuan yang diberi nama Mahsya Kurnea ditemui dalam kawasan semak berhampiran tempat pembuangan sampah di Jalan Medan Ipoh Satu di sini.
Beberapa hari selepas penemuan bayi itu, mayat seorang bayi lelaki ditemui dalam keadaan yang lebih tragis, tangannya terputus digonggong seekor anjing berhampiran sebuah kilang simen di Kampung Melayu Subang, Selangor.
Berikutan isu pembuangan bayi yang dilihat tiada kesudahannya, Utusan Malaysia menganjurkan kempen ‘Kami Prihatin’ bagi membangkitkan kesedaran masyarakat terhadap gejala tidak berperikemanusiaan itu.
Melalui program amal itu, barisan artis terkenal tanah air akan bergabung merakamkan sebuah lagu khas ‘Harapan Tanpa Suara’.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman yang melawat Mahsya Kurnea di HRPB hari ini melahirkan rasa sedihnya dengan nasib bayi tersebut.
Sebaik sahaja dimaklumkan mengenai perkara tersebut, Hamidah turut meluangkan masa melawat bayi itu.
Menurut beliau, sekiranya ada di kalangan ibu bapa yang mempunyai masalah untuk menjaga anak mereka, beliau menyarankan supaya berhubung dengan mana-mana pihak untuk menyelesaikan permasalahan tersebut.
“Jangan begitu mudah meletakkan anaknya di mana sahaja. Sedih saya memikirkan nasib anak-anak yang dibuang ini. Tolonglah, jangan ada lagi kejadian seperti ini,” katanya.

SUNDAY, MARCH 28, 2010


Buang bayi: Polis tubuh pasukan khas



KUALA LUMPUR 27 Mac - Polis telah menubuhkan sebuah pasukan khas untuk mengesan individu yang membuang bayi lelaki di tepi jalan berhampiran sebuah kilang simen di Jalan Padang Tembak, Kampung Melayu Subang, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya juga sedang menunggu laporan bedah siasat dari Hospital Sungai Buloh untuk mengenal pasti beberapa maklumat termasuk keturunan bayi itu.
Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan individu yang membuang bayi malang tersebut tinggal di kawasan berhampiran.
"Siasatan masih dijalankan untuk mengumpul maklumat dan saya meminta orang ramai yang mengetahui kejadian itu supaya menghubungi polis," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, mayat seorang bayi lelaki ditemui dicampak di tepi jalan di Jalan Padang Tembak sebelum salah satu tangan bayi berkenaan bercerai dari badan akibat digigit anjing liar.
Seorang lelaki yang prihatin terkejut apabila melihat seekor anjing menggonggong tangan bayi tersebut manakala sekumpulan anjing liar lain mengerumuni bayi malang itu.
Bayi lelaki itu dipercayai berusia sehari dan baru sahaja dilahirkan kelmarin kerana masih bertali pusat.
Tambah Arjunaidi, mereka yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan.

SATURDAY, MARCH 27, 2010


Anjing gonggong mayat bayi lelaki
















IMEJ video menunjukkan cebisan mayat bayi lelaki yang ditemui di Jalan Padang Tembak, Petaling Jaya semalam.



PETALING JAYA - Menyayat hati apabila mayat bayi lelaki yang dibuang ibu bapanya digonggong seekor anjing sebelum disedari orang awam di Jalan Padang Tembak, Subang di sini semalam.
Lebih menyedihkan, ketika ditemui pukul 4.05 petang, salah satu tangan bayi telah terputus dan terjatuh atas jalan manakala badannya digonggong anjing berkenaan.
Ketika itu, tangan bayi itu dibungkus dengan plastik manakala badannya pula tidak berbalut.

WEDNESDAY, MARCH 24, 2010


Usaha cari pasangan buang bayi diteruskan



IPOH 23 Mac - Polis masih berusaha mengesan pasangan yang bertindak kejam membuang bayi di kawasan semak berhampiran tempat pembuangan sampah di Jalan Medan Ipoh Satu, di sini Sabtu lalu. Jurucakap polis berkata, sehingga kini, pihaknya belum melakukan sebarang tangkapan berhubung perkara tersebut.
Bagaimanapun katanya, dipercayai, ibu kepada bayi malang itu adalah perempuan Indonesia manakala pasangannya, lelaki Cina.
"Ini berdasarkan kawasan perumahan tempat bayi dijumpai," katanya kepada Utusan Malaysiaketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini menyiarkan nasib seorang bayi perempuan yang baru lahir dan masih bertali pusat ditemui basah kuyup dalam semak berhampiran tempat pembuangan sampah tersebut.
Ketika ditemui kira-kira pukul 6 petang itu, bayi seberat 2.8 kilogram yang hanya dibaluti tuala mandi itu agak lemah dan sudah tidak mampu untuk menangis lagi.
Semalam, Exco kanan Perak, Datuk Hamidah Osman yang tersentuh dengan nasib malang bayi tersebut bertindak mengambilnya sebagai anak angkat.
Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri itu turut menamakannya sebagai Mahsya Kurnea yang bermaksud kurniaan hebat.

MONDAY, MARCH 22, 2010


Bayi dibuang diselamatkan





IPOH 21 Mac - Tindakan pantas seorang lelaki yang tidak sanggup lagi mendengar kisah menyayat hati tentang kejadian buang bayi, berjaya menyelamatkan nyawa seorang bayi perempuan yang dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Bayi perempuan yang baru lahir dan masih bertali pusat itu ditemui basah kuyup dalam semak berhampiran tempat pembuangan sampah di Jalan Medan Ipoh Satu di sini semalam.
Ketika ditemui kira-kira pukul 6 petang, bayi yang hanya dibaluti tuala mandi itu agak lemah dan sudah tidak mampu untuk menangis lagi.
Badannya juga kebiru-biruan kerana terlalu sejuk akibat hujan lebat yang turun sebelum itu.
Dia dipercayai berketurunan Melayu atau Indonesia.
Menurut individu yang bertanggungjawab menyelamatkan bayi tersebut, Mohd. Mazran Satar, 32, dia mendapat tahu tentang penemuan bayi itu daripada seorang lelaki India yang bertanyakan di mana balai polis.
"Ketika itu saya berada di pejabat. Sebaik sahaja mengetahui ada bayi dibuang, saya bersama seorang lagi rakan bergegas ke tempat kejadian dan kami terkejut melihat kaki dan tangan bayi itu masih bergerak.
"Tanpa buang masa, saya peluk bayi yang kesejukan itu dan terus membawanya ke hospital," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohd. Mazran, jarak antara tempat pembuangan sampah itu dengan pejabatnya hanya kira-kira 500 meter.
Dia bersyukur dapat menyelamatkan bayi itu kerana sebelum ini hanya membaca kes pembuangan bayi yang disiarkan di akhbar dan televisyen.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan penemuan bayi tersebut.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Dr. Raimi Goon berkata, bayi seberat 2.8 kilogram itu kini berada dalam keadaan stabil.
''Berdasarkan pemeriksaan lanjut pakar di sini, dia dilahirkan cukup bulan dan dipercayai telah ditinggalkan beberapa jam di kawasan tersebut, '' katanya di sini hari ini.
Raimi turut mengesahkan bahawa bayi berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pihak hospital, katanya, bagaimanapun masih belum dapat mengenal pasti keturunan bayi tersebut.
Bayi perempuan itu akan ditempatkan di HRPB sehingga mendapat arahan seterusnya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

SATURDAY, MARCH 20, 2010


Menti didakwa bersubahat bunuh bayi



























Menti Buda














KUCHING 19 Mac - Seorang pelayan restoran didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan bersubahat membunuh bayi perempuan yang baru dilahirkannya pada awal bulan ini. Menti Buda,(gambar) 23, berasal dari Simunjan dekat sini yang bergari tangannya kelihatan tenang sewaktu mendengar pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Menti didakwa bersubahat dengan teman lelakinya yang masih bebas untuk membunuh bayi perempuan tersebut dengan membuangnya ke dalam longkang depan sebuah restoran di Stutong, di sini.
Kejadian itu didakwa dilakukan antara pukul 12.30 tengah malam dan 2.30 pagi, 3 Mac lalu.
Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Majistret Portia Tham Ong menetapkan 20 April ini untuk sebutan semula sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.
Tham Ong turut mengarahkan Menti yang tidak diwakili peguam bela dihantar ke Hospital Sentosa di sini untuk pemerhatian.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Azizah Hassan.
Dalam kejadian pada 3 Mac lalu, dua kanak-kanak berusia 13 tahun terkejut apabila menemui mayat seorang bayi di dalam longkang.
Mayat berkenaan dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam sebelum ditemui ekoran terdapat kesan darah baru pada pusat bayi malang itu.
Mayat bayi itu kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk dibedah siasat.

TUESDAY, MARCH 16, 2010


Mayat bayi ditemui berhampiran surau









































Seorang anggota polis melihat mayat bayi lelaki yang ditemui berhampiran surau di sebuah stesen minyak di Bandar Bukit Tinggi, Klang, semalam. - Bernama
KLANG 15 Mac - Satu lagi kes buang bayi dilaporkan, kali ini berlaku berhampiran surau sebuah stesen minyak di Bandar Bukit Tinggi, di sini. Mayat bayi lelaki yang baru dilahirkan itu ditemui di dalam plastik sampah yang ditinggalkan di atas rumput di situ kira-kira 6.30 pagi.
"Bayi yang berkulit cerah itu ditemui dibalut dengan tuala dan dimasukkan ke dalam beg plastik sampah. Bayi berkenaan dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam berdasarkan keadaan tali pusatnya yang masih berdarah.
"Mangsa dipercayai telah meninggal dunia sebelum dibuang kerana badan mangsa telah dibersihkan. Tiada kesan kecederaan ditemui pada mangsa," kata Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop.
Beliau berkata, mayat bayi berkenaan ditemui oleh seorang pekerja stesen minyak tersebut sebelum memaklumkannya kepada polis.
Mayat bayi itu kini berada di Hospital Tengku Ampuan Rahimah. - Bernama

TUESDAY, MARCH 2, 2010


Jurujual wanita ditahan disyaki buang bayi


SEGAMAT 1 Mac - Seorang wanita berusia 22 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi yang hampir reput dalam tandas sebuah pusat latihan memandu di Jalan Lapangan Terbang di sini baru-baru ini.
Wanita yang bekerja sebagai jurujual itu ditahan di rumahnya di Taman Segamat Baru pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdul Majid Md. Ali berkata, wanita itu ditahan kurang 24 jam selepas polis mendapat maklumat mengenai penemuan mayat bayi tersebut.
Katanya, suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
"Jika didapati bersalah, mereka yang terlibat boleh dikenakan hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Rabu lalu, seorang kakitangan di sebuah pusat latihan memandu gempar apabila menemui bungkusan berbau busuk yang ditinggalkan di dalam tandas wanita.
Bungkusan plastik yang ditemui dalam sebuah tangki air tandas itu kemudian diperiksa oleh pihak polis sebelum disahkan sebagai mayat seorang bayi.
Pemeriksaan lanjut oleh pihak hospital mengesahkan jantina bayi itu adalah lelaki, dipercayai dilahirkan kira-kira dua hingga lima hari sebelum mayatnya ditemui.












Mayat bayi perempuan di pintu masjid

MELAKA: Mayat seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemui ditinggalkan di hadapan pintu pagar Masjid Permatang Duyong di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman berkata bayi yang cukup sifat dan masih bertali pusat itu dibaluti dengan kain putih tetapi badannya kemerahan dipercayai digigit semut.


"Mayat bayi berkenaan disedari ditinggalkan di masjid itu oleh jemaah masjid selepas mereka selesai menunaikan sembahyang subuh," katanya ketika dihubungi di
sini.


Salehhudin berkata penemuan mayat bayi itu dilaporkan kepada polis oleh bilal masjid itu, Mohamad Abu.


Beliau berkata mayat bayi itu dihantar ke Hospital Melaka di sini untuk bedah siasat.


Katanya polis sedang mengesan ibu bayi berkenaan dan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian. - Bernama

No comments:

Post a Comment