Pages

Saturday, April 17, 2010

Tawan Kinabalu dengan satu kaki






HUJAN lebat di sebelah pagi menyebabkan laluan di Taman Pendidikan Bukit Gasing agak basah dan berlumpur.
Biarpun begitu, kawasan hutan simpan yang terletak di antara sempadan Petaling Jaya dan Kuala Lumpur itu tetap dikunjungi orang ramai sejak awal pagi.
Di kiri dan kanan jalan kelihatan deretan kenderaan yang diletakkan oleh pengunjung yang mahu beriadah sambil menikmati pemandangan dan udara nyaman di sekitarnya.
Kepada Melvin Tong Teng Hon, itulah rutinnya sejak enam minggu lalu. Sebahagian besar masanya dihabiskan di taman seluas 100 hektar itu.
Dia mahu memastikan badannya sentiasa cergas sebelum menyertai program amal Gunung Kinabalu yang dianjurkan oleh rumah perlindungan, Shelter Homes pada 18 hingga 21 April ini.
Selain Bukit Gasing, dia juga kerap menjalani latihan di kawasan berbukit di sekitar Lembah Klang dan di Kompleks Sukan Bukit Jalil. Pada masa yang sama, Melvin juga kerap ke gimnasium, berenang, menaiki dan menuruni tangga Batu Caves.
Bagi lelaki berusia 25 tahun itu, dia perlu membuat persediaan secukupnya kerana untuk menakluk puncak gunung setinggi 4,095.2 meter dari paras laut dan diiktiraf tertinggi di Asia Tenggara itu memerlukan persediaan rapi.
Paling penting dia mahu mengelakkan kecederaan ketika mendaki kerana Melvin akan mendaki dengan menggunakan sebelah kakinya sahaja.
Mengapa? Kaki kanannya terpaksa dipotong sehingga ke pangkal paha selepas Melvin disahkan menghidap penyakit fibrosarcoma iaitu sejenis ketumbuhan yang berpunca daripada rangkaian tisu fibrosa di hujung tulang lengan dan kaki lapan tahun lalu.
Lelaki yang murah dengan senyuman itu berkata, dia tidak menyangka kesan lebam di bahagian belakang lututnya yang disedari ketika berusia 15 tahun merupakan petanda bahawa dia akan kehilangan sebelah kaki buat selama-lamanya.
"Selama ini saya ingatkan ia hanya lebam biasa dan hanya merawatnya secara tradisional seperti berurut.
"Lagi pun saya tidak mengalami sebarang kesakitan sebab itu saya dan keluarga tidak mengesyaki apa-apa," katanya yang mempunyai saudara kembar, Kelvin Tong Teng Hoe.
Beberapa bulan sebelum peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula pada tahun 2002, Melvin mula merasai kesakitan pada bahagian kakinya sehingga pergerakannya mula terjejas.
Bimbang dengan situasi berkenaan, keluarganya mengambil keputusan membawa Melvin ke hospital pakar untuk menjalani pemeriksaan.
USAHA Melvin untuk menawan puncak Gunung Kinabalu mendapat sokongan daripada ibunya, Winnie (kanan) dan kakaknya, Joanna.


Berita yang disampaikan ternyata mengejutkan mereka sekeluarga, Melvin disahkan menghidap kanser. Pemeriksaan lanjut di beberapa buah hospital lain turut mengesahkan perkara yang sama. Kaki kanannya terpaksa dipotong bagi mengelakkan ia terus merebak sekali gus mengancam nyawa Melvin.
Perubahan drastik
"Pada mulanya saya agak tertekan mendengar berita itu, bermacam-macam persoalan yang timbul di kepala terutama memikirkan masa depan saya.
"Bagaimanapun, penjelasan doktor dan maklumat di Internet banyak membantu saya menerima keadaan ini dengan positif. Malah saya tidak sabar-sabar menunggu tarikh pembedahan kerana tidak mahu terlepas daripada menduduki peperiksaan SPM yang semakin hampir," ujar bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Bintang itu.
Sebaliknya, hakikat itu sukar diterima ahli keluarga Melvin terutama abang kembarnya, Kelvin. Sebagai insan yang paling rapat, Kelvin kecewa adiknya yang lincah dan aktif itu akan berdepan dengan perubahan drastik dalam hidup.
Biarpun diuji dengan dugaan hebat, Melvin tetap cekal walaupun baru selesai menjalani pembedahan dia masih mampu menjawab soalan dengan baik, malah apabila keputusan diumumkan dia berjaya memperoleh 4A.
Namun sejak itu, rutinnya banyak berubah. Daripada seorang remaja normal dia terpaksa membiasakan diri menggunakan kerusi roda atau tongkat untuk bergerak.
Aktiviti menunggang basikal, berjoging dan go-kart yang sering dilakukan bersama abang dan kakaknya Joanna, 27, sebelum ini terpaksa dilupakan.
Selain terpaksa bergantung kepada kerusi roda dan tongkat, Melvin juga terpaksa membiasakan diri dengan persekitaran di sekelilingnya sebagai seorang Orang Kurang Upaya (OKU).
Namun, kekurangan itu tidak mematahkan semangatnya untuk menimba ilmu. Sebaik menamatkan SPM, dia dan abangnya melanjutkan pelajaran di Universiti Sunway di dalam kursus Sarjana Muda Sains Sistem Informasi Perniagaan.
Kini menguruskan syarikat menjual kereta import bersama abang dan kakaknya di Petaling Jaya, Melvin berkata, walaupun bergelar OKU dia tetap melakukan aktiviti lasak seperti snorkeling dan berenang.
"Pada mulanya saya agak takut dan lebih banyak menghabiskan masa di rumah dan pejabat, namun melalui pembacaan ia banyak membuka minda saya bahawa kecacatan bukanlah petanda kehidupan saya telah berakhir," jelasnya.
Melvin memberitahu, dia teruja untuk mengikuti pendakian amal di Gunung Kinabalu selepas membaca kisah seorang wanita dari Kanada, Sarah Doherty yang kehilangan kaki kanannya ketika remaja akibat kemalangan.
Kecacatan yang dialami tidak pernah menghalangnya melakukan pelbagai aktiviti lasak. Malah wanita itu juga membuktikan kemampuan dirinya menawan puncak Gunung Rainier dan Gunung McKinley di Amerika Syarikat (AS) serta Gunung Kilimanjaro di Tanzania.
Wanita itu juga berjaya mencipta topang khas yang dikenali sebagaiSideStix untuk memudahkan pergerakan mereka yang senasib dengannya.
Perasaan teruja dan keinginan merealisasikan hasratnya itu menyebabkan Melvin sanggup mengeluarkan wang sebanyak RM5,000 bagi membeli SideStix.

KECACATAN tidak menghalang Melvin (tengah) menyertai aktiviti snorkeling.


"Pada awalnya agak sukar bergerak menggunakan topang baru itu sehingga menyebabkan tapak tangan saya melecet. Topang yang biasa saya gunakan menyokong berat badan saya di lengan.
"Topang khas ini menggunakan sokongan pada tangan, apa yang pasti saya mengambil masa yang agak lama untuk membiasakan diri. Walaupun agak mahal ia sesuai digunakan untuk aktiviti mendaki dan penyerap hentak untuk melancarkan pergerakan serta mengurangkan tekanan pada tangan.
"Bahagian tapaknya juga boleh ditukar mengikut kesesuaian dan permukaan bumi," kata Melvin.
Katanya, walaupun ia merupakan pengalaman pertamanya mendaki Gunung Kinabalu tetapi dia tetap yakin dalam mengejar impian itu.
Bersemangat tinggi
"Selagi tidak mencuba selagi itulah saya tidak tahu kebolehan diri sendiri. Lagipun saya bukan hendak berlumba dengan orang lain sebaliknya mahu memberi kesedaran kepada orang ramai supaya lebih prihatin kepada golongan yang memerlukan dan menghulurkan apa yang termampu bagi meringankan beban mereka," katanya yang boleh dihubungi melalui www.melvintong.com.
Hasratnya mendaki Gunung Kinabalu bagaimanapun mengundang kebimbangan keluarga terutama ibunya, Winnie Koh, 53.
Hatinya berat membenarkan Melvin turut serta kerana bimbang keselamatan anak bongsunya itu apatah lagi dalam keadaannya yang tidak normal seperti orang lain.
Perasaan itu hanya reda selepas Melvin membawanya melihat latihan yang dilakukan sebelum itu bersama teman-temannya. Kesungguhan dan keazaman anak bongsunya itu turut mendorong kakaknya, Joanna menyertai pendakian itu.
"Sejak kecil Melvin seorang yang cekal dan sentiasa bersemangat tinggi, setiap kali menginginkan sesuatu dia akan berusaha mencapainya walaupun sesukar mana sekali pun.
"Saya masih ingat ketika dia menjalani pembedahan dahulu, dia begitu tenang dan masih mampu bergurau. Itu membuatkan kami begitu bangga dan kagum dengan semangatnya, lebih penting dia melakukan semua itu untuk tujuan kebajikan," kata Winnie seorang suri rumah.
Sebagai ibu, Winnie berharap kejayaan anaknya itu nanti menjadi inspirasi kepada ibu bapa lain yang turut mempunyai anak-anak OKU sepertinya.
"Golongan OKU mungkin dianggap tidak berupaya melakukan apa-apa. Itu cuma berlaku jika mereka dikurung di rumah dan tidak dibenarkan melakukan apa-apa atas pelbagai alasan.
"Tetapi, melalui pelbagai latihan kemahiran mereka mempunyai lebih banyak harapan untuk menjalani kehidupan yang lebih bermakna," jelasnya.

MELVIN (empat dari kanan) bersama sebahagian daripada peserta yang turut serta dalam pendakian amal Gunung Kinabalu esok.


Sementara itu, Pengarah Eksekutif Shelter Homes, James Nayagam berkata, selain mengutip dana, aktiviti yang diadakan bertujuan memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia tentang tanggungjawab mereka dan cara-cara membantu kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan.
"Disebabkan trauma dengan penderaan yang dialami kanak-kanak memerlukan perlindungan dan sokongan moral untuk pulih sepenuhnya.
"Sumbangan itu juga digunakan untuk membiayai persekolahan mereka supaya mereka mendapat pendidikan sempurna seperti kanak-kanak normal," ujarnya yang menyasarkan kutipan dana sebanyak RM100,000.
Katanya, program kali ketiga dianjurkan itu yang bakal melibatkan 30 peserta termasuk dari Malaysia, Singapura dan Britain.
Pemilihan Gunung Kinabalu jelasnya, adalah simbolik terhadap usaha yang dilakukan untuk membantu golongan itu dan memberi pengalaman kepada para peserta menikmati pemandangan indah di atas puncak.
"Ia merupakan kempen berterusan dan kami berharap dapat meneruskannya pada pada masa hadapan," katanya.
Sebarang pertanyaan atau ingin menghulurkan sumbangan, sila layariwww.shelterhome.org atau hubungi 03-7955 0663.

No comments:

Post a Comment