Pages

Tuesday, April 6, 2010

SALAFI WAHABI vs IKHWANUL MUSLIMIN (bah 2)



Berbalik kita kepada Ustaz Rasul Dahri. Ustaz menulis sebuah buku yang menghentam Ikhwanul Muslimin ‘secara halusnya’ dengan hentaman ‘syirik wa kafir’ walaupun tidak dikatanya begitu. Samalah seperti kebiasaan kaum Wahabi yang lain, dikatanya setiap bidaah adalah sesat dan setiap yang sesat adalah ke neraka- ringkasnya BERDOSA. Kita bertanya, “Ikhwanul Muslimin zaman-berzaman meraikan Maulidurrasul yang jelas tidak pernah dibuat Nabi. Adakah semuanya termasuk Hasan al Banna, Said Hawa, Ramadhan al-Buti, Qardhawi, Fathi Yakan dan lain-lain berdosa kerana raikan Maulidurrasul?” Apa jawabnya? “Itu kami tak tahu, kami cuma menyatakan kaedah. Tuhan saja yang tahu.” Apa jenis jawapan ini?

Agama di sisi Allah hanyalah Islam, kita sedia maklum. Tiba-tiba datang seorang Hindu ataupun Shinto bertanya, “ Agama Hindu dan Shinto benar tidak di sisi Tuhan?” Apakah kita hendak menjawab, “Itu kami tak tahu, kami cuma menyatakan kaedah. Tuhan saja yang tahu.”
Begitulah keadaannya. Hendak mengatakan hanya agama Islam sajalah yang relevan di sisi Tuhan pada hari ini tidak berani. Akhirnya mereka sendiri terkena pula hembusan Islam Liberal.

Dalam kuliahnya itu Rasul Dahri mempertikaikan kata-kata Syeikh Said Hawa yang menggambarkan Ikhwan sebuah jemaah sufi. Asy-syeikh juga mengatakan Hasan al-Banna itulah khalifah sebenar. Pertikaian Ustaz Rasul Dahri ini bukanlah satu keganjilan kerana memang fitrahnya fahaman Salafi Tua @ Wahabi anti dunia kesufian., tasauf dan tariqat.

Hasan al-Banna sebelum mengasaskan Ikhwanul Muslimin pernah melibatkan diri dengan beberapa jemaah lain termasuklah sebuah jemaah sufi Tariqat Hasafiah. Antara peribadi yang disanjungnya ialah Syeikh Syed Uthman, Syeih Salbi ar-Rijal dan Syeikh Muhammad Abu Syousyah. Ketika aktif dengan al-Ikhwan al-Hasafiah ini Hasan al-Banna ditemukan Allah dengan Ahmad al Sakri yang kemudiannya menjadi salah satu tonggak Ikhwanul Muslimin. Sungguhpun beliau menyaksikan dan mengalami sendiri pelbagai karamah tuan-tuan gurunya dalam tariqat ini namun hal itu tidaklah menjadikan dirinya taksub dan bertaqlid sahaja.

Hasil daripada pengalamannya dengan jemaah-jemaah sufi diselaraskan dalam dakwah Ikhwanul Muslimin. Sebab itulah kita dapati beliau menyusun aurad yang ma’tsur iaitu al-Ma’thurat (jemaah-jemaah tariqat memang sinonim dengan aurad masing-masing), memasukkan ‘baiah’ (yang ditentang keras oleh kebanyakan kaum Salafi Tua @ Wahabi), mementingkan zikir bahkan ‘sentiasa dalam keadaan berzikir’ (yang menjadi mata pelajaran teras kumpulan-kumpulan tariqat pada peringkat tertentu), tidak menolak tawasul (kecuali tawasul yang salah) dan lain-lain (Lihat ZIKIR MENURUT HASAN AL-BANNAhttp://myalexanderwathern.freephpnuke.org/modules.php?name=News&file=article&sid=44&mode=&order=0&thold=0 ).

Semasa menjadi ahli Tariqat Hasafiah, Hasan al Banna mengamalkan Wazifah ar-Ruzuqiyyah setiap pagi dan petang. Amalan ini memberikannya idea untuk mengasaskan bacaan-bacaan al-Ma’thurat yang disaringnya daripada sumber-sumber yang ada kesahan. Pernah satu ketika beliau menziarahi makam Syeikh Hasan al-Hasafi setiap hari, hal ini yang sangat tidak menyenangkan mereka yang berfahaman Wahabi hari ini. Beliau berbaiah dengan Tariqat Hasafiah melalui Syeikh Syed Muhammad Abdul Wahab al-Hasafi.

Sebahagian golongan sufi dan fiqh punyai perbalahan ratusan tahun, dan sebahagian mereka berjaya didamaikan melalui dakwah Ikhwan, malah akhirnya saling isi-mengisi pula. Begitulah cara Ikhwan.

Seperti tuan gurunya, Syeikh Said Hawa juga tidak akan sengaja meninggalkan apa-apa yang berkesan daripada dunia tasauf. Malahan beliau ada menghasilkan buku Syarah Hikam! Kitab Hikam susunan Syeikh Ibnu Ataillah merupakan salah satu kitab besar kaum sufi. Syeikh Ibnu Ataillah inilah yang telah berjaya melunakkankan sedikit apa yang tidak kena dengan dakwah Syeikh Ibnu Taimiyyah. Sebahagian daripada dialog antara mereka boleh diteliti dalam DIALOG IBN ATAILLAH- IBN TAIMIYYAH bahagian 1 hingga 4 dihttp://myalexanderwathern.freephpnuke.org/topic4.html .

Kitab Hikam menjadi kebencian sebahagian besar kaum Salafi Tua. Namun begitu menurut Syeikh Said Hawa, Imam asy-Syahid Hasan al-Banna sendiri ada mengkuliahkan kitab ini kepada pemuka-pemuka Ikhwan. Kuliah peringkat tinggi memang dihadkan agar ilmu, iman dan amal para ahli seimbang dan tidak larut dalam hal ehwal kerohanian sahaja. Strategi ini sama saja dengan strategi yang digunakan oleh Maulana Muhammad Ilyas dalam jemaah Tabligh dan Ustaz Ashaari dalam Darul Arqam. Cuba cari karkun ( orang yang membuat usaha Tabligh) orang Malaysia yang diijazahkan Tariqat Chistiyyah oleh maulana-maulana Tabligh. Ada tak? Entahkan ada entahkan tidak. Mata pelajaran tariqat dan hakikat dikawal dengan baik, bukan asal jadi karkun sahaja terus belajar dan mengamal tariqat.

Ketidaksetujuan Ustaz Rasul Dahri makin bertambah kerana Syeikh Said Hawa mengatakan yang Ikhwan meyerahkan persoalan akidah mereka kepada dua orang iaitu Imam Abu Hasan Asyaari dan Abu Mansur Maturudi. Apa yang ditimbulkan itu memang benar. Ikhwan tidak pernah menolak aliran Asya'irah dan Ikhwan juga tidak pernah menolak Tauhid Uluhiyah Tauhid Rububiyah (Lihat KULIAH ILMU TAUHIDhttp://myalexanderwathern.freephpnuke.org/modules.php?name=News&file=article&sid=199&mode=&order=0&thold=0 ) . Apa saja yang baik dan benar cara huraiannya pasti mendapat tempat dalam Ikhwan. Kedua-duanya menjadi pegangan Ikhwan sejak zaman al-Banna. Tapi kita sedia maklum, kaum Salafi Tua hampir keseluruhannya membidaahkan aliran Asya'irah dan Sifat 20. Maksudnya- Ikhwanul Muslimin bidaah ke neraka.

Syeikh Yusuf Qardhawi seorang tokoh Ikhwan yang rasanya tidak perlulah diehwalkan lagi. Majoriti umat Islam pernah mendengar namanya paling kurang pun.Beliau menghuraikan saranan-saranan dakwah Imam asy-Syahid dalam bukunya ‘Madrasah Hasan al-Banna’. Tentunya beliau layak menulis tentangnya memandangkan beliau sendiri salah seorang ‘lulusan madrasah tersebut’. Buku ini menjadi salah satu daripada modul dalam sukatan pelajaran tarbiah Ikhwan.

Beliau pernah dicalonkan sebagai Mursyidul Am Ikhwan tetapi selalu saja menolak atas dasar rendah hati, meraikan teman-teman dan mahu memaksimakan usaha terhadap tanggungjawab sedia ada. Maklumlah, namanya besar di peringkat sejagat. Banyak tanggungjawab, dikhuatiri tidak terbuat. Satu ingatan, jangan ditawar jawatan kepada kaum Salafi Tua. Umumnya, tidak cukup tapak tangan, tapak perumahan mereka tadahkan. Sudah diberi jawatan berstatus ulama, dia mahu jawatan ketua ulama pula.

Ustaz Rasul Dahri menunjukkan sebuah majalah yang di dalamnya ada kata-kata Qardhawi berbunyi “Jadikanlah orang salafi ini sufi”. Cukup tidak berkenannya Ustaz Rasul Dahri akan kalimah-kalimah ini. Baginya yang betul ialah “Jadikanlah orang sufi ini salafi”. Mengapalah sempit benar pemahaman Tuan Ustaz? Ikhwan itu sufi tetapi tidak menyendiri. Ikhwan itu salafi tetapi tidak Wahabi.

Dikatakan pula Syeikh Qardhawi terpengaruh dengan fahaman Muktazilah. Kononnya Qardhawi beriktikad Tuhan itu Akal. Kata Rasul Dahri tidak ada nama Tuhan itu ‘Akal’ dan apa hukum mengatakan Allah itu Akal? Boleh jadi SYIRIK dan KUFUR tetapi dilapik semula mengikut kaedah dakyah Wahabi yang diperjelaskan sebelum ini dengan katanya ‘tapi jangan kata Qardhawi kafir, syirik dan lain-lain’. Hukum diletak tetapi pengumumannya dilapik. “Jangan kafirkan tokoh-tokoh Ikhwan, kita serah kepada Allah. Tapi tulisan tokoh-tokoh Ikhwan banyak yang merosakkan akidah.”

Fikir… kalau benar Qardhawi Muktazilah, masih betulkah akidahnya? Fikir…

Untuk lebih memenangi hati pendengar, Rasul Dahri membawa sebuah cerita. Kononnya ada seorang pemiat tulisan-tulisan Qardhawi yang akhirnya menjadi seorang pendakwah Syiah. Kalau begitu, sesiapa yang mengaku bermanhaj Salaf di negara ini janganlah lagi membaca karya-karya tokoh-tokoh Ikhwan termasuklah Qardhawi, takut nanti berfahaman Syiah akhirnya.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Jemaah Islah Malaysia (JIM) marah kepadanya, kata Ustaz Rasul Dahri. Kita yakin, ISMA dan PAS pun tidak senang dengan tulisannya. Kalau benar begitu, memang patut pun. Apa nak dihairankan kerana kaum Salafi Tua yang bermuarakan minda Mufti Perlis dan al-Ahkam.net ( ada pendokong Rasul Dahri melabelkan mereka sebagai Salafi Murtad/ Wahabi Murtad) pun bukan main marah kepadanya. Sesama Wahabi sudah begitu, apatah lagi dengan yang lain-lain. Fahami isi puisi di bawah:

AKU DITIPU SALAFI TANAHAIRKU

Dulu aku salafi
Aku salafi melalui forum salafi terbesar di negara ini
Kononnya mereka kembali kepada sumber yang asal
Tapi…
Aku tertipu!

Kononnya kembali kepada sumber yang asal
Kitab dan Sunnah
Tapi azan mereka berlagu, berdondang sayang
Adakah azan zaman Nabi berlagu?
Mereka bangga dengan azan Masjidil Haram
Yang masyhur itu
Yang Wahhabi itu
Betulkah Saidina Bilal dulu mendendangkan azan berlagu?
Kalau betul azan untuk dilagukan,
Tentu Nabi dan sahabat sudah buat dulu
Tapi malangnya tidak!

Mereka dakwa jemaah Tabligh sesat
Tapi sekurang-kurangnya
Azan jemaah Tabligh sama dengan azan zaman Nabi,
Tidak berlagu
Tak macam azan bilal Masjidil Haram
Yang mereka banggakan itu
Mereka tidak kembali kepada sumber yang asal!

Kononnya kembali kepada sumber yang asal
Kitab dan Sunnah
Akupun kembalilah
Macam yang mereka dakwakan itu
Aku ditipu lagi!

Zaman Nabi mana ada jemaah-jemaah!
Semua orang satu jemaah.
Tak ada Tabligh, tak ada Hizbut Tahrir
Tak ada PAS, tak ada Ikhwan
Tak ada ABIM, tak ada JIM
Tapi…
Mereka haruskan jemaah-jemaah itu!
Bahkan mereka puja Qaradhawi,
Mereka kagum al-Banna
Itukan tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin?

Memang penipu!
Sumber asal mengatakan umat Islam satu jemaah
Hanya satu golongan saja yang selamat daripada 73 golongan
Iaitu golongan salafi
Begitulah juga kata Albani
Begitulah juga kat Ben Baaz
Siapa buat pelbagai golongan, semuanya tidak selamat
Bagaimana mereka di forum itu mengaku salafi,
Tapi membenarkan umat Islam berpecah-belah
Membentuk pelbagai golongan
Mereka tidak kembali kepada sumber yang asal

Kononnya kembali kepada sumber yang asal
Zaman Nabi dan sahabat
Zaman itu tidak ada mazhab
Siapa yang buat mazhab
Bererti dia melakukan bid’ah
Sebab Nabi tak pernah buat, sahabat pun tidak

Tapi…
Tipu lagi.
Mereka ajar kitab asy-Syafie, mereka puja dia
Bukankah sumber asal menunjukkan dia berbuat bid’ah?
Dia buat mazhab, Nabi tak buat
Sanggup mereka sanjung seorang tokoh ahli bid’ah!
Hukum orang tu bida’ah, orang ni bid’ah
Alih-alih mereka puja tokoh bid’ah
Mereka tidak kembali kepada sumber yang asal

Mereka dakwa hanya salafi satu golongan yang terselamat
Dariapad 73 golongan.
Tertipulah aku lagi…

Aku kaji situasi di dunia Arab.
Rupanya ada banyak kumpulan yang mengaku Salafi
Sesama mereka saling sesat-menyesat pula
Macam mana forum itu mendakwa
Hanya Salafi mereka yang terselamat?
Salafi lain pun nak selamat juga
Tapi saling menuduh sesat
Dan saling mengaku
Puak aku paling selamat
Puak akulah satu golongan yang terselamat itu
Lucunya

Ulama-ulama Salafi Saudi yang aku sanjung
Menghukum halal tentera Amerika bertapak di Saudi
Tiba-tiba orang forum kata tak boleh!
Padahal ulama-ulama itu tokoh Salafi utama dunia
Mereka lebih faham Salafi daripada orang-orang di forum
Tokoh-tokoh itu dah kaji
Dah kembali kepada sumber yang asal
Dan jawapannya boleh letak musuh Islam dalam negara
Untuk serang negara Islam lain si Iraq

Bila aku ikut fatwa ini
Mereka kata aku salah
Jadilah aku serba salah.

Sebenarnnya, mereka sendiri tidak kembali kepada sumber yang asal.
Pengakuan di mulut saja.
Aku lebih percaya Albani, Ben Baaz, Fauzan dan lain-lain.
Takkanlah mereka di forum lebih faham Salafi
Daripada ulama-ulama ini!
Betul tak?

Ini Salafi perasan.
Mereka bukan Salafi.
Mereka Salafi syok sendiri, buatan sini.
Cakap mereka di luar negara tidak siapa memandang
Tapi cakap ulama Saudi seluruh dunia pandang

Masuk saja laman Salafi Indon
Mereka mengutuk habis Salafi buatan sini
Kerana Salafi buatan sini
Menyokong ahlul bid’ah
Seperti al Banna, Tilmisani, Qardhawi, Syed Qutb
Salafi sini sokong Ikhwan
Itukan bid’ah yang nyata?

Jelas
Salafi forum itu hanya perasan sendiri
Jemaah Salafi sendiri tidak mengaku mereka satu kumpulan
Tapi penyokong ahli bid’ah
Maksudnya Salafi sini sama saja dengan pembuat bid’ah

Kawan-kawanku sedarlah
Carilah Salafi sebenar
Bukan Salafi forum
Kembalilah kepada sumber yang asal
Bukan taqlid buta kepada mufti


Sumber:
http://alhakim.noonhost.com/hangat-di-pasaran-internet-vt173.htm

Dalam penerangannya, Ustaz Rasul Dahri seboleh-bolehnya cuba menggambarkan betapa rapatnya kaitan Ikhwanul Muslimin dengan Syiah. Patutlah tidak bersetuju benar para pendokong Rasul Dahri dengan laman-laman web berfahaman Wahabi di negara ini yang mempromosikan Syeikh Qardhawi. Apatah lagi terpapar pula wajah Tok Kenali, seorang ulama sufi tariqat sebagai penghias muka depan. Di sini kita boleh faham betapa bercelarunya fahaman Wahabi ini baik pada Wahabi Tulen mahupun Wahabi ‘Murtad’ (Lihat MENGAPA KITA TIDAK PERLU FAHAMAN WAHABI http://www.forumforfree.com/viewtopic.php?t=537&mforum=no2christ )

Menurut Ustaz Rasul Dahri lagi, banyaknya orang Malaysia yang terpengaruh dengan fahaman Syiah adalah kerana minat mereka terhadap Qardhawi. Qardhawi cuba menyatukan Sunnah dengan Syiah. Begitu juga dengan Ikhwanul Muslimin. Timilsani- salah seorang Mursyidul Am Ikhwan menghidupkan amalan ziarah kubur, yang biasanya dikaitkan dengan sufi dan Syiah. “Yang banyak bawa masuk Syiah ialah Ikhwanul Muslimin”, katanya. Akidah Ikhwan menyimpang dari Islam kerana akidah Ikhwan banyak merangkum jalan-jalan sesat yang lain. Jadi kepada anda para pendokong Mufti Perlis dan al-Ahkam.net, rakan Salafi Tua anda yang sama-sama mendakwa ‘manhaj kami yang paling sunnah dan paling salaf ‘ ataupun ‘manhaj kami saja yang sunnah dan salaf’ sedang mempertikaikan akidah anda. Bagaimana boleh dikatakan manhaj Salafi Wahabi saja satu-satunya yang terselamat daripada tujuh puluh dua golongan dalam keadaan anda sendiri berpecah kepada enam ataupun tujuh fikrah yang berlainan dan ada antaranya yang saling sesat-menyesatkan?
(Lihat JUMHUR ULAMA MENOLAK FAHAMAN WAHABI
http://www.forumforfree.com/viewtopic.php?t=478&mforum=no2christ )

Rasul Dahri mendakwa dialah orang pertama yang tidak menyokong Hizbullah. Apakah dengan menyokong perjuangan Hizbullah menentang Zionis bermakna kita berfaham Syiah dan memenangkan Syiah ke atas Ahli Sunnah wal Jamaah? Kita sedia maklum, zaman-berzaman cara kaum Wahabi mempromosikan dakwah mereka ialah dengan menjadikan Syiah sebagai musuh utama. Dengan menjadikan Syiah sebagai mangsa, perhatian orang ramai akan tertarik kepada mereka. Kemudian barulah mereka tanam fahaman Wahabi secara beransur-ansur. Digambarkannya seolah-olah esok pagi Syiah akan menguasai dunia, maka orang-orang yang kurang cerdik pun berpusu-pusu mengalihkan perhatian kepada mereka (Salafi Wahabi) dengan anggapan merekalah calon terbaik mengekang Syiah, bersatu menentang Syiah mestilah di bawah panji-panji Salafi Wahabi.

Kita lihat di negara kita ini, forum-forum dan laman web berfahaman Salafi Tua mencanangkan betapa hebatnya gerakan Syiah. Padahal dakwah sekular dan liberal jauh lebih mengancam. Dalam usaha menarik perhatian para penyokong Parti Islam Se-Malaysia, direka cerita betapa berkembang biaknya fahaman Syiah dalam PAS. Nasib baiklah rakyat negara ini banyak yang bijak berfikir, mereka tahu musuh yang mana yang berada pada ‘ranking’ pertama dan seterusnya mengikut urutan. Mereka tahu, kaum berfahaman Wahabi mengembar-gemburkan isu Syiah tidak lain dengan agenda untuk menarik sokongan kepada dakwah Tajdid Tua sahaja, bukannya seratus-peratus ikhlas ( Lihat VIRUS ENAM BERADIK/ ENAM VIRUS DALAMANhttp://myalexanderwathern.freephpnuke.org/modules.php?name=News&file=article&sid=202&mode=&order=0&thold=0 )

Ustaz Rasul Dahri yang kita sayangi menceritakan pengalamannya bersama ABIM. Dia mengaku telah membaca ratusan buku Ikhwanul Muslimin. Hebat! Persoalan kita, adakah dia membaca buku-buku Ikhwan dalam keadaan dia seorang Ikhwan ataupun orang di luar Ikhwan? Dia meneliti buku-buku Qardhawi dalam keadaan dia menerima tarbiah Ikhwan ataupun tidak? Dia berbaiah kepada Ikhwan atau tidak?

Hal ini menjadi penyakit kepada kebanyakan kaum berfahaman Wahabi. Sering berlaku salah faham apabila mereka membaca buku-buku Ikhwan. Yang lebih mengharukan apabila mereka bertanya kembali, “Betulkah Syed Qutb Ikhwan?” “Ramadhan al-Buti memang Ikhwan ke?” ‘Eh, Qardhawi Ikhwan rupanya…” ‘Fathi Yakan pun Ikhwan juga?” Mengapa jadi begini?

Salah satu punca utamanya ialah hasil kerja tangan tokoh-tokoh berfahaman Wahabi juga. Mereka cuba mendiamkan hubungan para ulama ini dengan Ikhwan. Sebahagiannya melaga-lagakan idea-idea antara ulama Ikhwan. Hal ini kerana mereka faham, jika dihebohkan nanti umum akan menolak fahaman Salafi Tua memandangkan dakwah Ikhwan jauh berbeza dengan dakwah Wahabi.

Kita tidak nafikan kefahaman mutlak datang daripada Allah. Kalau Tuhan hendak beri, tanpa membaca buku-buku Ikhwan pun seseorang itu boleh faham dakwah Ikhwan. Tapi, berapa kerat yang mendapat anugerah sebegitu? Umumnya, belajar silat melalui buku dengan belajar silat secara berguru berbeza kesan dan pemahamannya. Sedih kita melihat banyaknya generasi muda tanah air yang tersalah faham dengan Ikhwanul Muslimin dan Dr. Yusuf Qardhawi kerana mereka berguru tentang Ikhwan dan Qardhawi melalui orang-orang yang berfahaman Wahabi.

Selama ini pun ada ustaz-ustaz Wahabi yang mengajar kitab-kitab fiqh mazhab Syafie dalam keadaan mereka sendiri tiada ilmu yang mencukupi tentang kaedah-kaedah mazhab Syafie. Mengajar fiqh Syafie menggunakan kaedah Wahabi ataupun kaedah sendiri memanglah menghasilkan pemahaman yang berbeza dengan apa sebenarnya yang hendak disampaikan oleh tuan kitab. Kemudian dimanipulasikan dengan kata-kata, “Tengok, jauh beza tak apa yang diajar oleh Imam Syafie dengan amalan mereka yang mengaku bermazhab Syafie hari ini?” Anda sebenarnya dipermainkan dan menjadi mangsa ratahan mereka.

Tanyakan siapa guru mereka dalam hal ehwal mazhab Syafie. Guru mazhab Syafie mana yang mengijazahkan ilmu KAEDAH-KAEDAH MAZHAB SYAFIE kepada mereka? Yang paling utama dalam mana-mana mazhab pun adalah kaedah-kaedah mazhab tersebut, jadi tunjukkan sanad ilmu tersebut. Ijazah sangat penting (walaupun tidak mesti) untuk membuktikan yang mereka berguru kepada pihak yang berautoriti dan disahkan keilmuan mereka dalam hal itu oleh pihak yang berautoriti juga. Jika ada yang mengajar kitab-kitab mazhab Syafie dan mengatakan guru mereka dalam hal ehwal kaedah mazhab Syafie ialah Syeikh Albani contohnya, lama-kelamaan mereka akan berdusta atas nama kitab dan ulama kerana pemahaman dan huarian mereka pasti jauh berbeza dengan apa yang dimaksudkan oleh tuan kitab. Hendak mengajar tae kwondo tetapi selama hari ini belajar gusti, bolehkah? Apakah yang diajarnya itu nanti tae kwondo yang asli ataupun gusti yang dinamakannya ‘tae kwondo’? Fikir… gunakah akal yang Tuhan beri… jangan bertaqlid buta kepada ustaz ataupun kawan.

Tambah Ustaz Rasul, dia menjadi wakil ABIM pada tahun 1974. Antara perjuangannya ialah ‘jangan pakai seluar pendek’. Hari ini mungkin perjuangannya yang ini sudah berubah kerana sumber-sumber asal yang dikaji oleh sebahagian kaum berfahaman Wahabi menunjukkan paha bukan aurat (Lihat KEMBARA DI NEGERI TERBIDAAHhttp://myalexanderwathern.freephpnuke.org/modules.php?name=News&file=article&sid=116&mode=&order=0&thold=0 ) .
ABIM bukanlah cabang Ikhwan di rantau ini tetapi idea-idea Ikhwan memang menjadi keutamaan ABIM. Usrah ABIM menggunakan buku-buku Ikhwan. Kitab tafsir ABIM ialah kitab tafisr Ikhwan iaitu Fi Zilalil Quran susunan Syed Qutb. Tidak ada buku-buku Ben Baaz ataupun Ibnu Taimiyyah. Begitu menurut Rasul Dahri menceritakan pengalaman usrahnya semasa bersama ABIM.

Daripada pengakuan seorang Wahabi sendiri ini, diharapkan anda yang mengaku Salafi (Wahabi) di luar sana mendapat gambaran perbezaan fahaman Ikhwan dengan Salafi Wahabi, perbezaan fahaman Al-Buti dengan Ben Baaz, perbezaan fahaman PKS (Indonesia) dengan al-Ahkam.net, perbezaan fahaman Qardhawi dengan Asri dan seterusnya. Jangan disamakan. Jangan terkeliru ataupun dikelirukan lagi. Cukuplah selama hari ini anda dikelirukan mereka.

Katanya, tidak ada Ikhwanul Muslimin di Malaysia dan tidak ada yang kata “Saya Ikhwanul Muslimin”. Ustaz, sebenarnya tuan sedang ditertawakan orang melalui kenyataan ini. Tidak ada yang mengatakan “Saya Ikhwanul Muslimin” mungkin benar kerana tidak ada seorang Ikhwan pun yang mudah-mudah akan membuat kenyataan sebegitu. Sefaham saya, kerahsiaan Ikhwan sangat dijaga. Tapi mengatakan tidak ada Ikhwan di sini, menjadikan tuan seorang yang ketinggalan zaman tetapi cuba berlagak tahu. Jika tidak tahu, lebih baik berdiam diri. Sekurang-kurangnya orang tidak tahu yang kita ‘tidak tahu’. Apabila kita bersuara saja, maka orang ‘confirm’ yang kita tidak tahu.

Al-Ma’thurat menjadi amalan harian seseorang Ikhwan setiap pagi dan petang. Bagi Ustaz Rasul, al-Ma’thurat susunan Imam asy-Syahid ini penuh syirik. Sekolah-sekolah JIM dikatakan mengamalkan kesyirikan ini. Saya sendiri mengamalkannya di samping 10 Bacaan Asas Darus Syifa susunan Ustaz Haron Din (yang ini pun begitu keras dibidaahkan oleh sebahagian Wahabi aliran Dr. Asri). Rupa-rupanya sudah puluhan tahun Syeikh Said Hawa, Syeikh Qardhawi, Syeikh al-Buti dan lain-lain berbuat syirik!

Yang lebih menarik ialah bahagian Ustaz Rasul Dahri menegur kesyirikan al-Ma’thurat kepada individu pengamalnya lalu dijawab, “Tak apalah, bahagian yang syirik itu akan kami betulkan.” lebih kurang. Sedaplah dia menghentam , “Air hujan banyak, buat apa hendak dibersihkan air kencing?” Maksudnya, banyak lagi doa-doa yang sahih, hendak betulkan apa yang syirik dalam Ma’thurat tu nak buat apa?

Jika benar penjawab itu menerima tarbiah yang benar dan faham dengan method Ikhwan, pasti tidak begitu jawapannya. Jelas lagi bersuluh tiada kesyirikan dalam al-Ma’thurat.Yang menjawab begitu ialah mereka yang pernah menerima tarbiah Ikhwan tetapi kemudiannya terpengaruh dengan fahaman Wahabi. Contoh terhampir ialah sebahagian golongan muda dalam JIM yang terpengaruh dengan fahaman Maszlee Malik.

Sedih rasanya melihatkan golongan muda yang baru mengenal dakwah ini dikekang pemikiran mereka dengan fahaman Wahabi. Kebanyakannya penuntut. Masuk usrah ataupun sertai program saja terus diperkenalkan dengan al-Ahkam.net sebagai sumber rujukan. Diulang-ulang nama Dr. Asri, Maszlee Malik, Hafiz Firdaus dan lain-lain seolah-olah mereka ulama besar lagi penting di tanah air kita. Hendak menyelamatkan fahaman golongan muda ini bukannya mudah kerana fitrah manusia biasanya cenderung kepada apa yang pertama mereka dapati. Hendak lari daripada bertaqlid dengan para ulama, akhirnya tertaqlid buta dengan kawan dan pimpinan- lagi parah. ‘Air paip yang lebih terjamin selamat ada, yang pergi cari air paya untuk diminum tu buat apa?’ : )

Ikhwanul Muslimin sendiri tidak terlepas daripada fitnah kaum Salafi Tua @ Wahabi. Sebab itulah kini Ikhwan Mesir begitu berhati-hati mentarbiah bakal daie masa depan. Silibus yang tersusun rapi disiapkan untuk bakal-bakal Ikhwan yang datang dari luar Mesir. Dari rantau Nusantara khususnya ada jangkamasa tertentu yang mesti dihabiskan di Mesir dengan tarbiah dan dakwah Ikhwan. Pelajaran di universiti sudah tamat, namun pembelajaran dengan Ikhwan belum lagi. Mesti lumat betul-betul barulah dilepaskan pulang ke tanah air. Sesiapa yang pulang awal akan dikenakan bayaran (namun tidak ada paksaan untuk membayar) dan bayaran ini akan dimasukkan ke dalam tabung Ikhwan.

Hal ini untuk memastikan agar apa yang berlaku contohnya kepada anak didik IRC tidak berulang (sebuah blog menulis kononnya IRC diubuhkan untuk mengimbangi dakwah jemaah Tabligh, hal ini tidaklah menghampiri kebenaran). Orang tempatan yang menerima tarbiah IRC dua tiga tahun di luar negara kemudiannya pulang membawa manhaj Ikhwan. Malangnya tarbiah yang singkat ini menyebabkan ada antara anak didiknya yang lama-kelamaan menyimpang daripada manhaj sebenar Ikhwan. Sebab itulah ada antara mereka kini yang terpengaruh dengan fahaman Salafi Tua @ Wahabi. Situasi ini berlaku di seluruh dunia. Akhirnya Ikhwan Mesir terpaksa mengambil tindakan yang sewajarnya.

Hari ini, kita lihat para Ikhwani yang pulang dari Timur Tengah terutamanya Mesir tidak menggabungkan diri terus dengan bekas-bekas anak didik IRC. Rata-rata mereka menerima tarbiah dan menamatkan sukatan yang lebih daripada sekadar dua tiga tahun. Fahaman mereka akan manhaj Ikhwanul Muslimin jelas dan mustahil dapat bersekutu dengan manhaj yang sudah bercampur-baur dengan fahaman Wahabi. Kita tidak nyatakan semua anak didik IRC begitu, tetapi segelintir. Jenis inilah yang menjawab “Tak apa, kami akan bersihkan apa yang syirik dalam al-Ma’thurat” sedangkan jawapan Ikhwani, “Kami akan terus mengamalkan al-Ma’thurat kerana memang jelas tidak ada apa-apa yang syirik di dalamnya”.

PENUTUP

Selagi tidak ditulis PENUTUP, celoteh penulis akan menjadi semakin panjang. Banyak lagi yang hendak diperkatakan kerana penulis insyaallah mampu menghuraikan hal-hal berkaitan hingga menjadi sebuah buku. Kesimpulannya, fahaman dan pegangan Ikhwanul Muslimin tidak sama dengan fahaman dan pegangan Salafi Wahabi. ‘Tidak ada bidaah hasanah’ pegangan Qardhawi tidak pernah sama dengan ‘tidak ada bidaah hasanah’ pegangan Wahabi walaupun bunyi dan susun atur hurufnya saling tak tumpah. Anda terutamanya golongan terpelajar, jauhkan diri anda daripada bertaqlid dengan rakan-rakan, ustaz-ustaz dan kuliah-kuliah yang berfahaman Wahabi. Anda sebenarnya berpindah daripada bertaqlid dengan ulama kepada bertaqlid dengan entah siapa-siapa. Seimbangkan input- baca sepuluh buku yang menyokong Dr. Asri ataupun Rasul Dahri, bacalah pula 10 buku yang berkontra dengan fahaman Salafi Tua mereka. Jadilah orang yang adil kepada otaknya sendiri. Islam pernah mencapai kegemilangannya di dunia ini tanpa kehadiran fahaman Wahabi, sebaliknya atas kemeriahan kaum sufi.

‘PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT’
‘BERTUHANKAN ALLAH, BERSYARIATKAN SYARIAT MUHAMMAD’

Bersama Dakwah Tajdid Segar!
Alexanderwathern
SUMBER

No comments:

Post a Comment