Pages

Thursday, April 29, 2010

SAKIT DADA - SILA AMBIL PEDULI



Pernahkah anda sakit dada? Adakah ia teramat sakit sehingga anda tidak mampu untuk bernafas atau bergerak? Bagaimanakah perasaan anda sewaktu mengalami sakit dada?
Apakah yang anda lakukan bagi mengurangkan kesakitan dada anda? Adakah anda panik pada ketika itu? Adakah anda terfikir bahawa apa yang anda alami ketika ini ialah serangan jantung atau penyakit jantung koronari? Sebahagian daripada kita lebih mengenalinya sebagai heart attack.
Pernahkah seseorang mengadu sakit dada kepada anda? Apakah tindakan segera anda?
Simptom sakit dada adalah di antara sebab utama pesakit datang ke hospital (Jabatan Kecemasan) untuk mendapatkan rawatan.
Di Jabatan Kecemasan, pesakit yang mengadu sakit dada kemungkinan dikategorikan sebagai pesakit zon merah atau zon kuning bergantung kepada tahap teruknya kesakitan yang dialami.
Pesakit zon merah dianggap pesakit kritikal sementara pesakit zon kuning dianggap separuh kritikal.
Ini menunjukkan sakit dada adalah simptom atau penyakit yang serius dan mempunyai potensi menjadi bertambah teruk atau menyebabkan kematian. Doktor akan memeriksa dan merawat pesakit kategori ini dengan segera.
Kategori
Secara mudah, punca sakit dada dibahagikan kepada 2 kategori:
1) kardio-pulmonari (jantung dan paru-paru)
2) bukan kardio-pulmonari (berpunca daripada otot dada, salur penghadaman dan lain-lain).
Sakit dada berpunca daripada masalah kardio-pulmonari adalah lebih serius. Kegagalan untuk mengenal pasti perkara tersebut boleh mengakibatkan organ jantung gagal berfungsi atau berlakunya kematian mengejut.
Oleh itu, telah menjadi kewajipan bagi seorang doktor untuk memastikan bahawa sakit dada anda bukannya berpunca daripada masalah jantung atau secara khususnya bukan berpunca dari penyakit jantung koronari.
Bila seseorang mengalami sakit dada atau mati mengejut, kebarangkalian besar ia berpunca daripada penyakit kardiovaskular atau jantung.
Ia diterjemahkan sedemikian berdasarkan statistik punca utama kematian dan kemasukan hospital di Malaysia dan di dunia.
Kebarangkalian mendapat serangan jantung adalah lebih tinggi sekiranya pesakit sudah disahkan oleh doktor mempunyai masalah jantung atau mempunyai faktor-faktor risiko tinggi untuk mendapat penyakit jantung koronari.
Punca sakit dada disebabkan oleh penyakit kardio-pulmonari yang serius melibatkan:
1. Penyakit jantung koronari atau serangan jantung (heart attack)
2. Salur darah utama terkoyak (aortic dissection)
3. Keradangan jantung (pericarditis/myocarditis)
4. Pendarahan dalam jantung dan paru-paru (cardiac tamponade/hemothorax)
5. Kegagalan fungsi paru-paru (pneumothorax atau pulmonary embolism)
Koronari
Penyakit jantung koronari secara amnya disebabkan oleh pengurangan atau tiada aliran darah yang membawa oksigen ke jantung.
Tanpa oksigen yang cukup, otot jantung akan cedera atau mati. Jantung yang cedera atau mati mengakibatkan kematian melalui tiga cara:
1) Kematian mengejut disebabkan oleh rentak jantung yang tidak normal
2) Kegagalan otot jantung mengepam darah ke seluruh tubuh badan
3) Kegagalan mekanikal disebabkan injap rosak atau dinding jantung terkoyak.
Kajian kes kematian akibat penyakit jantung koronari di Amerika Syarikat (AS) pada 1994 menunjukkan 52 peratus pesakit meninggal dunia di tempat kejadian, lapan peratus meninggal dunia dalam jangka masa 24 jam, 19 peratus meninggal dunia dalam jangka masa 48 jam dan 21 peratus lagi meninggal dunia dalam jangka masa 30 hari.
Apa yang dapat disimpulkan kadar kematian penyakit jantung koronari adalah tinggi dan kebanyakan daripada mangsa meninggal dunia sebelum sempat sampai ke hospital.
Andai di AS yang terkenal dengan tahap pendidikan dan kemudahan kesihatan yang tinggi dan canggih, apakah kebarangkalian kematian pesakit jantung koronari di negara kita sebelum tiba di hospital?
Ada beberapa postulasi kenapa kadar kematian di luar hospital adalah tinggi. Di antaranya ialah kegagalan mengenal pasti simptom sakit jantung, kelewatan meminta bantuan atau kelewatan memberi rawatan awal seperti rawatan renjatan elektrik (defibrilasi) dan resusitasi kardiopulmonari (CPR).
Apakah simptom atau manifestasi awal penyakit jantung koronari? Sakit dada semasa rehat atau ketika menjalankan tugas, riadah atau aktiviti adalah antara manifestasi awal.
Ianya sakit yang teramat dan mencemaskan. Ada di antara para pesakit menyatakan ia seumpama terputus nafas atau hampir mati, dada seperti hampir pecah atau seumpama seekor gajah menghempap dada mereka.
Ciri sakit dada penyakit jantung koronari termasuk ketat dada, terbakar dada, tekanan dalam dada, terbakar dalam dada, ketidakselesaan yang teramat dan cengkaman kuat di dalam dada selama lebih dua minit.
Sakit dada penyakit jantung koronari bertambah jika pesakit meneruskan aktiviti atau stres dan ianya berkurangan atau hilang bila pesakit berehat atau menggunakan ubat pengembangan salur darah (GTN) di bawah lidah.
Kadang-kala sakit dada ini dapat dirasa pada bahu, leher, tekak dan tangan. Pesakit juga mungkin berasa susah hendak bernafas, berdebar, pening loya, muntah dan berpeluh.
Ianya adalah suatu pengalaman yang mengerikan. Jika anda mengalami sakit dada selama lebih dari 10 minit semasa rehat, sila dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera.
Tindakan pantas
Apakah yang perlu anda lakukan bila saudara atau rakan anda mengadu sakit dada seperti yang diutarakan di atas?
Anda perlu yakin bahawa ianya adalah disebabkan oleh penyakit jantung koronari. Tindakan pantas anda mendail talian kecemasan 999 untuk mendapatkan perkhidmatan hospital atau segera menghantar pesakit ke hospital berhampiran berkemungkinan akan menyelamatkan nyawa atau mencegah kemusnahan otot jantung pesakit.
Buatlah panggilan secara efektif. Bertenang dan bernafas dengan betul. Jangan tergesa-gesa bila bercakap.
Kenalkan diri anda dan terangkan keadaan pesakit. Jangan lupa memberitahu lokasi anda dengan tepat.
Elakkan membuat panggilan sia-sia kepada kaum kerabat atau berbincang dengan doktor persendirian pesakit.
Masa adalah amat penting dalam rawatan penyakit jantung koronari. Kemusnahan otot jantung makin bertambah setiap minit sehingga aliran darah koronari kembali mengalir dengan efektif.
Tenangkan perasaan dan dudukkan pesakit dalam posisi rehat. Ini mungkin akan mengurangkan kesakitan pesakit.
Tunggu bersama pesakit sehingga bantuan tiba. Kemungkinan pesakit akan tidak sedarkan diri dan tidak bernafas dan anda harus melakukan CPR.
Adalah menjadi harapan penulis di masa hadapan setiap kes sakit dada dinilai dan dirawat oleh kakitangan perubatan terlatih yang membawa peralatan dan ubat-ubatan lengkap ke tempat kejadian. Penulis percaya ianya mampu mengurangkan kadar kematian penyakit jantung koronari.
Setibanya di Jabatan Kecemasan, pesakit akan diperiksa oleh doktor. Elektrokardiografi (ECG) akan dilakukan untuk mengenal pasti punca sakit dada dan kategori penyakit jantung koronari.
Hasil keputusan ini membantu doktor memberi rawatan yang tepat kepada pesakit. Ubat-ubatan yang akan diberi kepada pesakit ini termasuk oksigen, aspirin, plavix, GTN, morfin, heparin, streptokinase dan lain-lain.
Pakar jantung akan melakukan Intervensi Jantung Primer (Primary Coronary Intervention) atau pembedahan jika keadaan amat memerlukan.
Kesimpulannya, penyakit jantung koronari adalah pembunuh utama masyarakat Malaysia. Ia mampu dicegah dengan mengamalkan gaya hidup sihat – makanan seimbang, melakukan senaman sekurang-kurangnya sebanyak 3 kali seminggu, tidak merokok atau mengambil alkohol, dan juga selalu berdoa kepada tuhan.
Sila ambil peduli jika anda, ahli keluarga atau rakan anda mengalami sakit dada. Bertindaklah sewajarnya kerana anda mampu menyelamatkan nyawa anda sendiri dan mereka yang tersayang. Allahualam.

No comments:

Post a Comment