Pages

Sunday, April 25, 2010

'Rumahku muziumku'


Oleh Mohd Azis Ngah 
azis@bharian.com.my 
2010/04/25




<strong>Ruang tamu dipenuhi koleksi barang antik dan bersejarah.</strong>

Ruang tamu dipenuhi koleksi barang antik dan bersejarah.
Sebanyak 1,600 koleksi antik, bernilai tinggi dipamerkan di kediaman pesara kerajaan

PENYAMBUT kata bermula dengan serangkap pantun, 'Kereta lembu rodanya dua, kereta kuda berkajang kain, banyak muzium di negeri Melaka, muziumku lain dari yang lain'. Pantun empat kerat itu tertulis di tepi pintu gerbang rumah milik milik Nordin Ali, 72.
Rumah itu dinamakan ‘Rumahku Muziumku’ terletak di Kampung Padang Temu, Melaka dan namanya saja sudah mempunyai daya tarikan tersendiri kerana slogan yang biasa didengar cuma ‘rumahku syurgaku’. Bagi penduduk tempatan, tentunya mereka sudah lali atau biasa dengan situasi itu yang berkaitan dengan sejarah kerana Melaka sendiri sudah melambangkan negeri sejarah kerana di situlah segala-galanya bermula.

Rumahku Muziumku itu cuma secebis daripada tarikan hasil tinggalan sejarah tetapi Nordin sebenarnya sudah mengumpul kira-kira 1,600 koleksi antik dan mempunyai nilai sejarah tinggi yang diperakui serta disokong Muzium Melaka.

Antara koleksi menarik pastinya peluru meriam Portugis yang berusia lebih 500 tahun, peluru meriam Belanda berusia 400 tahun serta pelbagai jenis senjata, koleksi pinggan mangkuk, alat muzik, koleksi lampu dan lampu antik.

Jika dikira nilai barangan antik itu, ia dianggarkan bernilai jutaan ringgit tetapi bagi Nordin, koleksi itu bukan untuk dijual tetapi untuk tatapan generasi muda akan datang dan hasratnya cuma satu, jika badan dikandung tanah, kekalkan warisan berkenaan untuk anak bangsa.
Rumah teres setingkat itu mempunyai susun atur tiga bilik yang dikhaskan dengan koleksi bilik pengantin Melayu Melaka, pengantin Baba dan pengantin chitty atau ‘chettiar’. Setiap bilik mempunyai koleksi lengkap pakaian pengantin dan aksesori penuh serta barang hantaran mengikut kaum masing-masing.

Ruang tamunya juga penuh dengan pelbagai koleksi, hanya mempunyai ruangan sempit untuk dilalui pengunjung hinggalah ke ruang dapur juga dipenuhi koleksi berkaitan alat tradisional Melayu seperti lesung, lampu minyak tanah dan botol kaca antik.

Timbul persoalan, jika semua ruang penuh dengan koleksi, di mana Nordin dan isterinya Maznah Ali, 50, tidur. Jawabnya ringkas: “Saya orang Melayu, mestilah tidur di bilik pengantin Melayu Melaka...setiap hari terasa macam pengantin,” katanya berseloroh.

Melihat kepada kudratnya, memang diakui datuk kepada 25 cucu dan moyang kepada lima cicit ini sebenarnya tidaklah terlalu kuat kerana dikategorikan sebagai warga emas, tetapi semangatnya cukup tinggi mempertahankan warisan bangsa.

Rutin harian Nordin lebih kepada mengemas, membuang habuk dan menunggu pengunjung datang kerana baginya semua itu suatu kebanggaan jika dapat berkongsi cerita, keistimewaan sesuatu barang dan bagaimana ia diperoleh.

Pesara Jabatan Pelajaran itu mengakui semuanya bermula sekadar hobi selepas mengumpul koleksi peribadi keturunannya terutama daripada arwah bapanya, Sidang Ali Talib, bekas ketua Kampung Padang Temu.

Antara koleksi warisan keluarganya ialah sukat gantang yang diwarisi sejak tiga keturunan serta padi kering yang berusia 25 tahun tetapi masih dalam keadaan baik.

Peluru meriam Portugis pula dibeli dengan harga RM30 daripada nelayan tempatan pada 2002 selepas tersangkut pada jaring ikan.

Ditanya himpunan antik mana yang paling disayangi, pantas Nordin menjawab sudah tentu pelita rumah api Belanda berusia 410 tahun, koleksi Al-Quran kecil berusia 310 tahun dan peti suara yang masih berfungsi dengan baik berusia 100 tahun.

Bagaimanapun, penulis lebih tertarik dengan mangkuk terapi tangan China yang digelar ‘Mangkuk Muzik Purba’ berusia 520 tahun. Mangkuk itu yang mempunyai dua pemegang tangan tembaga akan mengeluarkan bunyi jika digosok pada pemegangnya, manakala air di dalam bekas akan terpercik keluar mengikut getaran dan bunyi yang dihasilkan.

Di bahagian luarnya dilengkapkan dengan koleksi batu giling, tempayan klasik serta sebuah mesin kipas padi lengkap dengan peralatan membajak.

INFO: Koleksi senjata


  • Pisau Tek Peh (1920)




  • Parang Jawa (1946)




  • Pedang Portugis 1510




  • Serampang Dua mata




  • Lembing Melayu




  • Parang Bugis




  • Pedang Jepun. 

    INFO: Koleksi antik




  • Seterika tangan Cina (1800) 




  • Mesin jahit tangan (1920) 




  • Kompas kapal Cina (1900)




  • Pasu antik (1400)




  • Bakul kuih seramik (1810)




  • Loceng ladang (1930)




  • Koleksi topi keselamatan 

    INFO: Koleksi lampu dan pelita




  • Lampu tepi kapal (1880)




  • Pelita Minyak (1930)




  • Lampu minyak Indonesia (1960) 




  • Lampu kereta lembu (1880)

    INFO: Koleksi Alat muzik




  • Ogan kaki lama




  • Trumpet (1920)




  • Gendang kecil




  • Dram (1950)




  • Kompang




  • Piano




  • Mandolin Cina (1930)




  • Lingkili Hawai (1950)




  • Sape Sarawak (1930). 
  • No comments:

    Post a Comment