Pages

Monday, April 19, 2010

Robot jelita, pintar



2010/04/11

Gemenoid-F boleh menggerakkan kulit getah untuk ketawa dan menampakkan barisan giginya.
Gemenoid-F boleh menggerakkan kulit getah untuk ketawa dan menampakkan barisan giginya.
Mesin bernyawa menyamai ciri fizikal, aksi manusia selain ambil alih pekerjaan 

DUNIA kita semakin ‘dikuasai’ robot. Andai ada yang meragui kenyataan ini, perkembangan terbaru membabitkan dunia penciptaan robot boleh memberi gambaran tepat kehadiran mesin bernyawa ini yang kian menyamai manusia atau mengambil alih tugas yang lazimnya dilakukan kita.
Buktinya, penghasilan robot humanoid di Jepun yang mirip manusia, barisan robot pelayan yang berkhidmat di sebuah restoran di Thailand dan kewujudan robot joki dalam perlumbaan unta di Arab. Sabtu lalu misalnya, sekumpulan penyelidik Jepun mengumumkan kejayaan mereka menghasilkan satu robot unik yang boleh meniru mimik wajah manusia seperti tersenyum dan marah. Malah, sekali imbas, mereka yang melihat robot diberi nama Geminoid-F, bukan saja tidak percaya ia adalah robot tetapi pasti tertawan dengan kecantikannya yang persis model jelita. 

Gemonoid-F adalah hasil gandingan penciptanya yang juga pensyarah Universiti Osaka, Hiroshi Ishiguro, yang bekerjasama dengan syarikat pengeluar robot Jepun, Kokoro. Ia yang digerakkan hasil tenaga tekanan udara, dilengkapi 12 fungsi yang membolehkannya memaparkan aksi mimik manusia seperti tersenyum dan marah. 

Robot ini boleh menggerakkan kulit getahnya untuk ketawa dan menampakkan barisan giginya atau memaparkan wajah mencuka, marah lengkap dengan keningnya terangkat. Ini semua mampu dilakukannya selepas menerima isyarat elektrik yang dipancarkan daripada individu yang ditirunya. Malah, dalam demonstrasi itu, Gemanoid-F itu dipersiapkan menyerupai wanita berusia 20-an dan berambut ikal. Wanita dan kembarnya itu turut mengenakan pakaian sama - skirt hitam dan jaket kulit. 

Jurucakap Kokoro, Satoko Inoue, berkata robot wanita itu bukan sekadar menghiasi makmal penyelidikan atau ruang pameran, sebaliknya boleh digunakan di hospital khususnya bagi membantu pesakit. Maklumat yang diterima menunjukkan robot ini boleh memberi keselesaan psikologi kepada pesakit apabila mampu tersenyum dan menganggukkan kepala ketika pesakit diperiksa doktor. 
Namun, bukan saja keupayaan Gemanoid-F itu menjadi kejutan, sebaliknya harganya juga mengejutkan iaitu kira-kira AS$110,000 (RM354,000) setiap satu! Apa yang pasti, setakat ini, penjualannya terhad kepada pertubuhan penyelidikan robot. 

Seperti ditegaskan Ishiguro: “Setiap kali teknologi baru dihasilkan, pasti disambut kebimbangan dan persepsi negatif masyarakat.” 

Kata-katanya itu ada benarnya jika merujuk penghasilan robot pelayan restoran yang diperkenalkan kepada umum di Thailand, baru-baru ini yang mengambil alih tugasan yang lazimnya dilakukan manusia dan sedikit sebanyak menjadi saingan kepada insan bernyawa yang mahu mencari rezeki. 

Pemilik restoran Jepun itu yang juga wanita tempatan, Lapassarada Thanaphant, sanggup membelanjakan 30 juta baht (RM2.9 juta) bagi membuka restoran Hajime itu, termasuklah membeli empat robot berkenaan. 

Apa yang menarik, pelanggan boleh memesan makanan diingini dengan menekan skrin sentuh pada setiap meja mereka sebelum makanan itu dihantar oleh robot. Bukan setakat itu saja, robot ‘samurai’ yang turut dilengkapi dua mata bulat itu juga boleh menari mengikut rentak lagu yang dimainkan. 

Itu senario di Bangkok, tetapi perkembangan sama turut berlaku di Mesir apabila ‘mesin’ ini menjadi joki unta pula di Festival Lumba Unta Sharqeya di Mesir pada akhir bulan lalu. Persaingan yang bukan setakat menguji kejaguhan unta, tetapi melihat kehebatan antara joki robot dengan joki manusia. 

Langkah mengetengahkan joki robot itu dibuat berikutan tekanan hebat antarabangsa yang mempertikaikan penggunaan kanak-kanak dalam perlumbaan unta. Apa yang pasti, kehadiran joki robot yang comel itu sememangnya mencuri perhatian, apalagi dengan aksinya mengawal pergerakan unta yang jauh lebih besar dan gagah daripadanya.

Jelaslah, robot bukan lagi sekadar mesin atau permainan yang terhad di kediaman atau kilang, tetapi semakin dekat dengan kita baik dari segi fizikal mahu pun tugasan yang dilakukan.

No comments:

Post a Comment