Pages

Tuesday, April 27, 2010

ORANG IKHLAS ITU TERTINDAS?




Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas
walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu.
Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu
saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah
organisasi.


"Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini," kata
seorang kakak berterus-terang.
"Mengapa?" balas saya.
"Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa
bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran
yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak
ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja."

Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah
berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali
terakhir
dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara.
Kesempatan
yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah
digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya
sepanjang
berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika
bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat
atau
mendapat kenaikan gaji?

Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya
kepadanya, "kakak punya berapa orang anak?"
Sengaja saya bertanya soal-soal "di luar kotak" agar ketegangan dalam
sesi
sebelumnya dapat diredakan.
"Oh ramai encik."
"Bagaimana dengan anak-anak kakak?"

Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang
anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion
masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan
sebagainya.
Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.
"Kakak, boleh saya bertanya?"
"Tanyalah encik." ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya
sudah
berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang,
semua anak-anaknya menjadi.

"Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang "menjadi" dengan naik
gaji, mana yang kakak pilih?"
Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, "antara kakak naik
pangkat
dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?"

Dengan cepat kakak itu menjawab, "hati ibu encik. tentulah saya pilih
anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat.
Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!"

Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.
"Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam
organisasi
ini telah mendapat ganjaran." kata saya perlahan. Hampir berbisik.
"Maksud encik?"
"Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak
lebih
sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan
kepada
kakak anak-anak yang menjadi."
"Tidak pernah saya terfikir begitu encik."

"Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu
misteri
dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you
give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia.
Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah."
"Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan
kebaikan itu?"
"Maksud kakak?"

"Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja,
tapi
Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat
saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah
encik?"
"Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri.
Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan
akan
dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!"


Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa
yang
berlaku dalam organisasi dengan familinya.
"Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu
jalan
yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah
kereta
yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong
kita.
Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun
beralah,
lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita."

Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat
kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya
sampaikan
dengan begitu teliti.
"Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau
setelah
berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita
pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya
logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya
memberi
laluan untuk kita?"

Kakak itu tersenyum dan berkata, "tak logik encik. Kereta yang kita
bantu
tadi entah ke mana perginya."
"Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?'
"Pasti ada! Insya-Allah."
"Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong.
Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan
kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk
membalas
kebaikan kita. Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak
pernah
merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi."

"Subhanallah!"
"Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam
kehidupan
manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang
membalas
kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya.
Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini."
"Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?" tanya kakak
itu
lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.

"Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan
Maha
Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak
memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang
yang
melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun
semula
kepada pembalingnya!"
"Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat."
"Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi,
Allah
Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia
lagi."

"Maksud encik?"
"Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup.
Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang
setia.
Dan paling penting. hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan
yang
lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan."
"Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat
atau
gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek
lebih
baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!"

Giliran saya pula tersenyum.
"Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah.
Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja. pangkat yang
mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi
ketenangan
hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back.
Golden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan
juga.
Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada
kita.
Kaki ampu, mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek
mungkin dibalas dengan isteri yang berpura-pura!" terang saya panjang
lebar.


"Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang
tinggal
tidak beberapa bulan lagi ni?"
"Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi
Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our "ceo", kata
orang
sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan
oleh
Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi
kebaikan
hanya kerana tidak dapat penghargaan."
"Maksud encik?"

"Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita
buat
kepadanya."
"Kenapa?"
"Kita akan sakit jiwa!"
"Kenapa?"
"Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau
kepada
Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima
kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala.
Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur," balas saya mengulangi
apa
yang maktub dalam Al Quran.

"Tetapi Allah tidak berhenti memberi. " kata kakak itu perlahan.
"Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada
yang
derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi. Justeru siapa kita yang
tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan
ucapan
terima kasih
?"
"Ah, kita terlalu ego."

Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar
impaknya dalam hidup saya. Saya terasa "diperingatkan" semasa memberi
peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada
lintasan
hati oleh satu pertanyaan. orang ikhlas tertindas?

SUMBER:  .

No comments:

Post a Comment