Pages

Monday, April 19, 2010

Misteri: Dirasuk hantu



Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
2010/04/18



Anneliese Michel enggan makan kerana diarah 'syaitan', selain dapat meramalkan kematiannya

MASIH ingat dengan filem pecah panggung di Amerika Syarikat pada 2005, The Exorcism of Emily Rose, mengisahkan seorang gadis yang dirasuk hantu dan menjalani banyak upacara penyembuhan untuk membebaskannya? Di sebalik kutipan memberangsangkan, ia bukan sekadar penyeri panggung, sebaliknya berdasarkan cerita benar yang dialami seorang wanita muda.
‘Emily Rose’ di alam nyata ialah Anneliese Michel, seorang wanita cantik yang bakal mempunyai kerjaya dalam bidang pendidikan. Dia dilahirkan pada 21 September 1952 di sebuah kampung kecil di Bavaria. Dibesarkan di Klingenberg am Main, Jerman, dalam keluarga yang taat kepada ajaran Katolik, Anneliese menjalani kehidupan seperti kanak-kanak biasa tetapi semakin taksub kepada agama apabila semakin dewasa.

Pada usia 17 tahun, kehidupan Anneliese bertukar menjadi mimpi ngeri. Dia mula kerap mengalami sawan luar biasa pada waktu malam dan tidak boleh bercakap. Doktor mendapati Anneliese mengalami sawan Grand Mal dan selepas mengalami sawan kali ketiga, dia dimasukkan ke sebuah hospital psikiatri di Mittleberg selama setahun.

Ketika di hospital, Anneliese mula ternampak wajah hantu, terutama ketika upacara keagamaan dan suara memberitahu dia dilaknat. Anneliese yakin keadaannya ada kaitan dengan roh. Dia menggesa pihak gereja mengadakan upacara menghalau roh tetapi mereka enggan berbuat demikian sebaliknya mencadangkan Anneliese lebih mendalami agama.

Keadaan Anneliese lebih teruk, dia mula mencederakan diri sendiri, menggigit anggota keluarga, memakan lalat, arang dan labah-labah, malah menggigit kepala bangkai burung sehingga putus. Dia juga mula mengoyakkan pakaian, menyalak seperti anjing selama beberapa hari pada satu-satu masa serta kencing di atas lantai dan menjilatnya. Anneliese turut merosakkan semua simbol agama. 
Lima tahun kemudian, ibu bapa Anneliese berjumpa dengan pelbagai paderi dan meminta mereka mengadakan upacara mengusir roh. Selepas akhirnya mengisytiharkan Anneliese dirasuk hantu pada September 1975, Ketua Paderi Josef Stangl, mengarahkan upacara pengusiran diadakan dan paderi Ernst Alt dan paderi Arnold Renz diarah melakukannya. Antara roh jahat yang dikatakan merasuk Anneliese termasuk Adolf Hitler, Cain, Nero, Judas, Legion, Belial dan Lucifer. Upacara bermula pada September dan berterusan hingga akhir Jun 1976.

Selama 10 bulan upacara itu dilakukan sekali atau dua kali seminggu dan ada kala berlanjutan sehingga empat jam. Dalam banyak sesi, Anneliese menyerang balas sehingga terpaksa dirantai. Ketika ia berlangsung, Anneliese bercakap menggunakan suara syaitan dalam beberapa bahasa berbeza. 

Kesihatan Anneliese semakin buruk sepanjang upacara itu dijalankan kerana dia enggan makan kononnya hantu tidak membenarkan dia berbuat demikian. Kedua-dua lututnya pecah selepas menghantuknya ke lantai kerana 600 kali.

Anneliese pernah memberikan surat bertulis menyatakan dia tidak mahu lagi meneruskan upacara pengusiran itu. Dia mendakwa didatangi Virgin Mary dan menawarkan dua pilihan - segera bebas daripada rasukan hantu atau membiarkan ia berterusan untuk jangka lebih lama bagi mendedahkan bahaya dan kuasa syaitan kepada dunia dan menyelamatkan banyak jiwa lain.

Anneliese juga diberitahu sebelum kematiannya, dia akan bebas daripada hantu dan meninggal dunia dalam kemuliaan. Anneliese memutuskan untuk membiarkan dia dirasuk dan menghentikan upacara mengusir hantu. Dia juga meramalkan kematiannya. 

Pada tengah malam 1 Julai 1976, hari yang diramalkannya, Anneliese tidur dan tidak bangun lagi selepas itu. Laporan bedah siasat menunjukkan dia meninggal dunia kerana kekurangan zat dan kekeringan air dalam badan. Siasatan memutuskan Anneliese dibiarkan kebuluran sehingga mati dan jika dipaksa makan, dia akan selamat. Kedua-dua ibu bapa dan paderi yang terbabit dalam upacara itu didakwa membunuh tanpa niat dan perbicaraan bermula pada Mac 1978.

Di sebalik penayangan beberapa sesi upacara itu yang dirakamkan, keempat-empat mereka didapati bersalah. Sebelum perbicaraan dimulakan, ibu bapa Anneliese meminta mayatnya dikorek semula kerana terpengaruh dengan kenyataan seorang biarawati yang mengatakan mayatnya tidak reput dan menjadi bukti ia adalah kes luar biasa.

Permohonan mengorek semula kubur Anneliese dibenarkan tetapi dikatakan ia reput seperti mayat lain. Pada 25 Februari 1978, mayat Anneliese dipindahkan ke keranda baru dan dikebumi kira-kira 30 meter dari rumahnya.

Kes itu menjadi yang terakhir pengiktirafan rasmi gereja Katolik kepada rasukan hantu dan memberikan keizinan upacara pengusiran dilakukan. Dalam kata akhirnya kepada paderi, Anneliese memberi amaran kepada mereka supaya ‘memohon pengampunan’, sementara kata-kata terakhir kepada ibunya ketika Anneliese sedang nazak ialah: “Emak, saya takut.”

No comments:

Post a Comment