Pages

Monday, April 19, 2010

'Khazanah hidup'



Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my
2010/03/14


<strong></strong>

Pulau Pandan Jauh Ke Tengah
Gunung Daik Bercabang Tiga
Hancur Badan Dikandung Tanah
Budi Yang Baik Dikenang Juga
PANTUN lama ini sering digunakan dalam bicara sebagai penutup kata. Maksud pantun ‘hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang juga’ menggambarkan tanda penghargaan, terima kasih dan segala jasa baik atau pertolongan yang dihulurkan. 
Selama ini difikirkan pembayang maksud pantun, Pulau Pandan dan Gunung Daik itu cuma rekaan, khayalan atau ilustrasi pencipta pantun Melayu, namun semuanya terhapus apabila melihat sendiri kewujudan kedua-dua objek itu secara fizikal di depan mata.

Memang Pulau Pandan berada nun jauh di tengah laut, saiznya kecil dan dianggarkan ada kurang 10 batang pokok di pulau dipenuhi batu tanpa penghuni manusia. Sekadar cukup untuk bot kecil berteduh daripada ribut. 

Pulau kecil itu adalah sebahagian daripada 377 pulau yang membentuk wilayah Kabupaten Lingga dan hanya 92 daripadanya dihuni manusia. 
Di sebelahnya kelihatan banjaran tegap membentuk tulang belakang sebahagian daripada Pulau Daik Lingga bersebelahan Pulau Dabo Singkep, di kepulauan Riau Indonesia. Di banjaran itulah berdiri megah puncak Gunung Daik bercabang tiga. 

Hakikatnya, kewujudan pantun tradisi popular itu berkait rapat dengan kehidupan masyarakat Melayu Riau pada zaman dulu yang menggunakan jalan air sebagai laluan pengangkutan utama. Tambahan pula, Pulau Lingga adalah bekas pusat pemerintahan Kerajaan Melayu Johor Riau Lingga, kesinambungan runtuhnya kerajaan Melayu Melaka.

Sudah pasti suatu ketika dulu, laluan di situ sibuk dengan kapal pedagang dan aktiviti harian, jadi tidak hairanlah bijak pandai bahasa mencipta pantun berkenaan berdasarkan apa yang mereka lihat di sekeliling.

Sekarang, laluan laut masih digunakan tetapi perjalanannya jauh lebih singkat kerana menggunakan feri atau bot laju, cuma empat jam dari Tanjung Pinang yang kedudukannya kira-kira tiga jam perjalanan feri dari Tanjung Stulang Laut, Johor. 

Peluang menyertai Program Perkampungan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) anjuran Gabungan Majlis Belia Melaka (MGBM) selama seminggu di Dabo Singkep, baru-baru ini, memberi ruang kepada penulis menjejakkan kaki ke Pulau Lingga melihat sendiri puncak gunung yang sering diagungkan itu. 

Gunung Daik itu dikategorikan sebagai gunung tidak aktif dengan ketinggian 1,165 meter dari aras laut. Walaupun dikatakan mempunyai tiga puncak, hanya kelihatan dua puncak yang ketara kerana satu lagi kedudukannya agak rendah dan sukar dilihat dari jauh.

Pandangan dari udara lebih jelas kerana ia akan kelihatan seperti tiga titik membentuk segi tiga. Puncak paling tinggi digelar Gunung Daik, puncak kedua, Pejantan atau Pinjam Pinjaman dan puncak terendah, Cindai Menangis.

Penjaga Mini Muzium Daik, Sulaiman Atan, 57, yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Long menjelaskan, puncak Cindai Menangis sebelum ini dikenali sebagai Cindai Manis, tetapi selepas puncaknya runtuh atau patah, namanya ditukar Cindai Menangis.

“Daik itu sendiri berasal daripada perkataan lebih baik. Ketika Sultan menyusuri Sungai Tanda, rombongan diraja menemui sungai yang lebih besar dan berkata, ini lebih baik. Perkataan lebih baik itu dikekalkan dan disingkatkan menjadi Daik.

“Daik juga membawa maksud negeri baik penuh kedaulatan,” katanya.

Setakat ini, tidak banyak ekspedisi mendaki puncak gunung itu yang diadakan. Jika ada, sekadar sampai ke tahap sebelum puncak kerana kedudukan menegak dan curam ketiga-tiga gunung berkenaan. Pada 1998, pernah dicatatkan satu pasukan dari Jakarta yang disertai pendaki Australia berjaya mengukur ketinggian sebenar puncak berkenaan selepas tiga hari mendaki dari Kota Daik. 

Pulau itu sendiri sebenarnya menyimpan seribu kenangan dan sejarah keturunan Melayu kerana sebelum ini mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Sultan dan waris keturunan kesultanan Melayu Melaka bersemadi di pulau berkenaan.

Sebaik melepasi pintu gerbang ke Kota Daik, pasti pengunjung akan menemui Masjid Sultan Lingga yang didirikan oleh Sultan Mahmud Syah III pada awal 1801. 
Asalnya ia cuma boleh memuatkan 40 jemaah sebelum dibesarkan tanpa menggunakan tiang di tengahnya sebagai penyangga. 

Hasil seni bina Melayu itu mampu memuatkan 400 jemaah pada satu-satu masa. Kolam besar tempat mengambil wuduk masih kekal, cuma tidak digunakan. Di belakang masjid, ada 29 makam menempatkan ramai tokoh, termasuk Sultan Mahmud Riayat Syah III yang digelar sebagai Marhum Masjid.

Makam Sultan Mahmud (1761-1812) dikelilingi tembok 1.5 meter diperbuat daripada bata lama. Baginda adalah pemerintah kerajaan Johor Pahang Riau Lingga XVI yang memindahkan pusat kerajaan dari Hulu Riau ke Daik Lingga pada 1787. 

Kesan tinggalan kerajaan Melayu

PADA zaman pemerintahan Kerajaan Melayu Johor Riau Lingga, pusat pentadbirannya terletak di Pulau Daik Lingga, Kepulauan Riau sebelum wilayah itu dipisahkan dan diletakkan di bawah jajahan Belanda manakala Johor serta Tanah Melayu dikuasai Inggeris. 

Kesan tinggalan sejarah pemerintahan kerajaan Melayu itu masih banyak yang melambangkan kegemilangan sistem beraja ketika ini. 

Antara tempat bersejarah menarik di sana yang terkenal dengan Gunung Daik bercabang tiga ialah bekas tapak Istana Dammah yang dibina pada tahun 1860 oleh Sultan Sulaiman Badrul Alamsyah II (1857 - 1883). 

Bangunannya sudah runtuh, cuma tinggal kesan tapak serta struktur asas binaan bangunan bersama tangga batu yang diukir cantik yang masih kukuh. Ada dua tapak bangunan menempatkan dewan serba guna dan bangunan istana di belakang yang kini dikelilingi pokok hutan. 

Tembok pagar serta tembok menempatkan tempat pengawal di pintu istana masih kukuh serta terdapat satu binaan seolah-olah menempatkan air pancuran di ruang lapang berdepan tangga utama ke istana. 

Kini, sektor pelancongan Pulau Lingga mengambil inisiatif membina semula replika bangunan istana Dammah dan dewan mengikut struktur asal serta kedudukannya juga sama dengan menempatkan dewan di depan istana. 

Kira-kira 800 meter dari tapak istana Dammah, terdapat satu lagi kesan tinggalan sejarah menempatkan bekas tapak binaan bilik 44 Daik iaitu cadangan asal membina sebuah lagi istana mempunyai 44 bilik.

Bangunan itu dicadangkan oleh Sultan Muhammad Syah (1831-1841) dan dibangunkan ketika pemerintahan Sultan Mahmud Muzaffar Syah (1832-1857). 

Mengikut perancangan asal, istana itu akan dijadikan tempat tinggal kerabat diraja serta dijadikan tempat simpanan pelbagai sumber negara.

Saiz tapak bangunan itu dianggarkan 48 x 49 meter dan jumlah bilik yang berjaya disiapkan cuma 32 buah. Pembinaannya tergendala apabila Sultan Mahmud Muzaffar Syah dipaksa turun tahta kesultanan Lingga Riau pada 23 September 1857. 

Info
Tiga puncak Daik: 



  •  Puncak Gunung Daik (paling tinggi)

  •  Puncak Pejantan atau Pinjam Pinjaman (kedua tinggi) 

  •  Puncak Cindai Menangis (Cindai Manis) - (paling rendah). 

    Tempat bersejarah di Daik Lingga: 

  •  Bekas Istana Dammah

  •  Tapak Pondasi Bilik 44

  •  Mini Muzium di Daik

  •  Benteng Bukit Cenning 

  •  Benteng Kuala Daik

  •  Kompleks Makam Temenggong Jamaluddin dan Datuk Kaya Montel di Pulau Mepar

  •  Makam Yang Dipertuan Muda X, Raja Muhammad Yusuf (Makam Merah)

  •  Makam Diraja di Bukit Cengkeh

    Pulau Lingga:

  •  Pusat pemerintahan dan pentadbiran Wilayah Kabupaten Lingga 

  •  45 minit perjalanan bot pancung dari Pulau Dabo Singkep. 
  • No comments:

    Post a Comment