Pages

Thursday, April 22, 2010

Keluarga Runtuh Kesan Ketagih Dadah



Oleh Nurqalby Mohd Reda

Artikel kedua daripada rencana dua siri

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama), -- "Kerana 'benda' itu saya kehilangan seorang abang dan ia juga membuatkan dua lagi abang saya umpama mayat hidup.

Begitulah rintih hati Adeeba (bukan nama sebenar) yang sedih mengenangkan nasib keluarganya yang musnah apabila tiga abangnya terlibat dengan dadah.

Adeeba, 27, yang berasal dari negeri di pantai timur, merupakan anak perempuan bongsu daripada lapan beradik.

Beliau kehilangan bapa pada usia enam tahun. Sejak itu ibu menjadi tempat dia bergantung hidup. Ibunya berniaga kedai makan secara kecil-kecilan, bagi menampung kehidupan mereka adik-beradik.

"Saya ada empat orang abang. Lepas ayah saya meninggal, abang sulung bertanggungjawab menjaga saya dan adik-beradik yang lain ketika emak keluar berniaga.

"Dijaga oleh abang membuatkan saya rapat dengan mereka. Jarak umur yang jauh hampir 30 tahun antara saya dan abang sulung membuatkan saya menganggapnya seperti bapa saya sendiri," katanya.

FAKTOR KELUARGA

Beliau berkata tiadanya didikan daripada seorang yang bergelar bapa menyebabkan mereka adik-beradik seolah-olah hilang arah tujuan.

"Hidup kami susah. Jadi emak terpaksa berhempas-pulas berniaga. Selalunya malam baru nampak muka.

"Kami adik-beradik tiada pandu arah. Masing-masing bebas buat hal sendiri.

Mungkin disebabkan tekanan hidup dan pengaruh rakan sekampung, abang-abang saya mula mengambil dadah lepas masing-masing tamat belajar," katanya.

Memperoleh duit sendiri dengan mengambil upah bekerja, memudahkan ketiga-tiga abangnya mendapatkan bekalan dadah.

"Ada orang kampung sini jadi pengedar dadah kecil-kecilan...jadi bekalan dadah berterusan. Walaupun lokasi mereka menyalahguna dadah acapkali diserbu, mereka tidak pernah serik.

"Lepas itu ada saja tempat baru yang mereka cari untuk menagih dan menjual dadah. Macam abang pula...tak habis hisap dadah di luar, di dalam rumah pun jadi tempat lepaskan gian. Saya, mak dan adik-beradik lain dah tak larat nak nasihat, hendak tak hendak kenalah terima kedaaan macam ni," katanya.

HARTA TERGADAI

Adeeba berkata harga dadah yang mahal menyebabkan ibunya terpaksa bergadai barang-barang kemas untuk membeli dadah bagi menghilangkan gian ketiga-tiga orang abangnya.

"Abang-abang saya hanya buat kerja kampung, Jadi upah taklah sebesar mana... barang kemas emaklah jadi mangsa. Bila barang kemas dah habis digadai, abang akan jual barang-barang rumah untuk beli dadah.

"Bila gian mereka datang, teruk kami tengok. Badan menggigil, lepas itu asyik terbaring atas katil, nampak sakit sangat. Sebab kesian, kami sekeluarga tak kisah hulur duit pada abang-abang untuk beli dadah.

"Walaupun emak dah nasihat mereka berulang-kali, ternyata ia sia-sia," tambahnya.

NYAWA MELAYANG

Katanya keadaan berterusan walaupun abang sulungnya berkahwin.

"Ingatkan bila kahwin abang akan pulih tapi tak juga. Tak sampai setahun kahwin dia bercerai dah bawa diri ke Johor...menetap dan bekerja di sana.

"Lepas dia menetap di sana keadaannya tak seteruk di kampung. Walaupun jarang balik, dia kirim duit di kampung dan itu buatkan kami sekeluarga ingat abang dah berhenti ambil dadah," tambah Adeeba.

Nyata sangkaan itu meleset apabila abangnya sakit teruk dan meninggal dunia empat tahun lepas.

"Walaupun abang-abang saya penagih, tetapi mereka baik. Sangat hormat pada orang tua dan sayang pada keluarga.

"Saya terasa sangat bila abang sulung 'pergi'. Dia pergi sebab keadaannya dah teruk akibat najis dadah itu," katanya sedih.

PENANGAN DADAH

Adeeba berkata penangan dadah banyak merubah kehidupan mereka sekeluarga.

"Dua lagi abang saya kini hanya tunggu masa sahaja. Setelah berkali-kali masuk-keluar pusat serenti, keadaan mereka tetap tak berubah. Bila keadaan kesihatan mereka dah teruk, apa jenis ubat yang masuk dalam badan pun dah tak bagi kesan pada mereka," tambah Adeeba.

Beliau berkata pelbagai usaha dilakukan untuk memulihkan kesihatan abang-abangnya, tetapi tiada yang menunjukkan kesan positif.

"Sekarang makan ubat apa pun tak boleh tolong...berubat macam mana pun tetap tiada kesan. Apa yang boleh kami buat, hanyalah berdoa, setidak-tidaknya Tuhan kurangkan sakit mereka.

"Memang sedih sangat tengok apa yang berlaku. Apa yang boleh saya katakan jangan sesekali mencuba dadah. Ia menghancurkan bukan sahaja pada penggunanya tetapi pada insan-insan sekeliling mereka," kata Adeeba.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment