Pages

Monday, April 19, 2010

Darjat keranda



Oleh Bennie Zie Fauzi
bennie@bharian.com.my
2010/04/04

Sebanyak 37 keranda 'menguasai' Muzium Negara, termasuk bersadur emas yang dilengkapi pendingin hawa

BAGI kebanyakan orang, perkataan keranda memang cukup meremangkan bulu roma. Mungkin disebabkan terlalu banyak dimomokkan dengan cerita tahyul, mistik dan mitos, sebarang perbincangan serta majlis ilmu mengenainya menjadi tidak popular serta menerima sambutan dingin. 

Bahkan, di kalangan mereka yang ekstrem, ada beranggapan berbincang perihal keranda sama saja dengan membayangkan saat ajal bakal menjengah.
Bermatlamat mengubah persepsi dan pandangan mengenai pantang larang dalam masyarakat, Muzium Negara menganjurkan pameran Keranda, Tradisi dan Misteri bermula 1 April lalu dan berakhir 20 Jun depan. Dalam tempoh tiga bulan pameran berlangsung, pengunjung bukan saja dihidangkan pelbagai ragam serta rupa keranda, bahkan diperlihatkan amalan penggunaan keranda dan kaitannya dengan upacara sebelum serta selepas pengebumian berpandukan fahaman berbilang etnik serta negara serantau.

Selain itu, dipaparkan juga unsur universal dan unik membabitkan dunia keranda yang belum diketahui ramai. Ini membabitkan perlambangan motif, bahan digunakan, kaedah pengebumian unik, kedudukannya sebagai wadah kasih sayang dan simbol perbezaan taraf, selain diselitkan unsur kemanusiaan serta ketamadunan bermula masyarakat prasejarah, tradisional hingga zaman moden. 

Keranda bersadur emas bernilai hampir RM500,000 dijangka menarik perhatian umum. Keranda dibentuk daripada kayu tahan lasak dan kalis cuaca serta dilengkapi sistem pendingin hawa dipinjamkan oleh Nirwana Multi Corporation Berhad bakal dipertontonkan selama tiga hari saja.

Ketua Pengarah Muzium Negara, Datuk Ibrahim Ismail, berkata keranda berkenaan bakal disaksikan pengunjung pada minggu pertama pameran berlangsung. “Mengikut perbincangan, Nirwana bersetuju meminjamkannya selama tiga hari. Bagaimanapun, sekiranya sambutan menggalakkan, tidak mustahil tempoh pameran akan dilanjutkan,” katanya. 

Erong, keranda tersohor di kalangan sekumpulan masyarakat Melayu-Polynesia yang mendiami kawasan tanah Toraja di daerah Sulawesi Selatan tidak kurang hebatnya. 

Disebut orang Toraja, sebahagian besar golongan ini masih mempercayai amalan animisme, terikat dengan amalan ritual seperti pemujaan roh dan semangat, mempunyai pandangan hidup sendiri terhadap alam kematian dan kuasa kosmos.

Rambu Solo adalah upacara pemakaman bagi masyarakat itu yang masih berpegang kuat kepada kepercayaan Aluk To Dolo. 

Menurut kepercayaan ini, semakin tinggi tempat mayat diletakkan, maka semakin cepat rohnya menemui tuhan serta syurganya.

Erong atau keranda ini diukir dalam pelbagai bentuk, antaranya menyerupai binatang (kerbau atau babi), perahu dan lesung. Setiap bentuk dan ukiran mewakili nilai serta status tertentu masyarakat, misalnya, yang berbentuk kerbau atau tangkonan (rumah) menandakan si mati adalah kalangan bangsawan. 

Erong berbentuk babi, lesung dan rumah dikhaskan kepada masyarakat kelas menengah dan orang biasa. Keranda jenis ini didatangkan secara polos tanpa ragam hias menawan.

Erong dengan penutup diibaratkan seperti bumbung rumah. Lazimnya, ia direka khas bagi erong kerbau. Penutup mirip tanduk kerbau itu dikatakan sebagai tindak balas masyarakat terhadap peraturan kosmos iaitu penutup melambangkan atap syurga, manakala badan tempat menyimpan mayat ditafsirkan sebagai alam bumi.

Pengebumian suku kaum Bateq daripada kelompok Negrito yang menghuni beberapa kawasan di Kuala Tahan dan Kuala Lipis ringkas, namun sesuai mengikut adat resam serta struktur muka buminya. Penghormatan dilakukan dengan meletakkan mayat di atas para kayu yang dibina atas dahan sebatang pokok besar lagi rimbun. 

Sesetengahnya diletak di ancak iaitu gantungan diperbuat daripada kayu atau rotan sebelum ditempatkan di pokok. Ketinggian ancak bergantung kepada kesesuaian, misalnya, mayat dipastikan tidak diganggu dan dicekuh binatang darat, selain semakin tinggi tempatnya, semakin dapat dihindari bau busuk mayat berkenaan.

Sebelum penggunaan keranda papan, mayat suku kaum Mah Meri daripada kelompok Senoi terdahulu disemadikan dalam jalinan buluh dan rotan yang sekali pandang mirip bubu ikan. Sesudah dibalut dengan kulit kayu terap atau kayu mabang, si mati dimasukkan dalam jalinan buluh tadi lalu dikebumikan.

Perahu keranda dibentuk daripada kayu padu dan banyak dijumpai di gua Kain Hitam, Niah mendedahkan kepada pengunjung mengenai amalan pengebumian manusia prasejarah. Ia sebenarnya direka khusus pengebumian sekunder iaitu setelah mayat reput, tulangnya dikumpulkan untuk dikebumikan semula.

Penemuan menakjubkan ini selalunya disertai dengan lukisan primitif di gua yang mengisahkan perjalanan si mati ke alam roh. Lukisan berkenaan ditafsirkan sebagai ‘perjalanan perahu kematian’. Salah sebuah keranda ditemui dianggarkan berusia lebih 1,000 tahun berdasarkan rekod penemuan beberapa seramik dari China dikira menerusi pentarikhan radiokarbon dipercayai wujud di antara 1 hingga 780 Masihi.

Pengebumian tempayan juga dikategorikan sebagai amalan sekunder dan kewujudannya dikesan sejak zaman prasejarah neolitik membabitkan kawasan Kepulauan Melayu khasnya masyarakat pelaut yang tinggal di pesisir pantai. 

Penemuan tempayan tembikar berfungsi sebagai tempat menyimpan tulang manusia membuktikan kesahihannya. Tempayan berkenaan dipercayai disimpan dan disembunyikan di gua batu dan celah banir pokok. Selain mempunyai bentuk unik, di badan tempayan dipaparkan ragam hias yang dapat menggambarkan pengembaraan roh ke alam akhirat.

Kaedah pengebumian tempayan turut dikesan di kalangan masyarakat pribumi Filipina, khususnya di kawasan utara Pulau Luzon, Mindanao, Palawan, Lembah Cagayan dan beberapa kawasan lain. 

Sebelum 1951, dilaporkan pengebumian seumpamanya dipraktikkan masyarakat Tagbanwa di Pulau Palawan terutama di kalangan bidan dan dukun (babalyan) yang begitu dihormati di kalangan masyarakat. Mayat mereka diletakkan di pelantar berlapik tikar, dibiarkan sehingga daging terlerai dari tulang dan akhirnya tinggal rangka. Tulang-tulang berkenaan kemudiannya disemadikan dalam tempayan dan diberi tempat khas dalam rumah.

Jabatan Muzium menerusi kerjasama beberapa agensi termasuk Finas, NV Multi Corporation Bhd, Jabatan Filem Negara, Persatuan Hindu Sangam dan pelbagai pihak lain berjaya mengumpul 37 unit keranda untuk tatapan umum. Selain digunakan dalam amalan pengebumian manusia prasejarah serta suku kaum asli negara ini, keranda yang dipamerkan turut didatangkan dari Thailand, Filipina dan Indonesia.

Keranda Cina mewakili penganut Buddha, Toisme; keranda kuku kambing (dari Besut, Terengganu), keranda berkaki (Kedah serta belindan (Kelantan) yang popular dalam masyarakat Melayu, selain keranda buluh dan tempat persemadian masyarakat India.

Di samping itu, pendedahan terperinci mengenai amalan pengebumian luar negara mampu diperoleh menerusi kerusi mayat dari Filipina, tempat simpan abu mayat Cort dari Thailand, di samping keranda dayak Kalimantan dari Indonesia.

'Hargai keranda, jangan gerun'

KERANDA tidak perlu digeruni, sebaliknya perlu diterjemahkan sebagai sebahagian amalan serta budaya yang melengkapi kitaran hidup manusia.

Ketua Pengarah Muzium Negara, Datuk Ibrahim Ismail, berkata kewujudan keranda patut dihargai berdasarkan fungsinya sebagai tempat menyimpan mayat sebelum dikebumikan merujuk upacara serta amalan keagamaan sesuatu kaum. 

“Apa yang berlaku kini, masyarakat cuba menidakkan peranan serta kedudukan keranda dalam amalan tradisi serta kehidupan seharian. Seperti adat berkhatan bagi meraikan peralihan alam kanak-kanak kepada dewasa, istiadat perkahwinan bersandarkan matlamat mengembangkan zuriat, secara evolusinya, keranda perlu dilihat sebagai bahan perantaraan perjalanan akhir ke alam kekal abadi,” katanya.

Kajian selama tiga bulan bagi pengisian Pameran Keranda, Tradisi dan Misteri yang berlangsung April dan berakhir Jun dianggap Ibrahim detik terbaik pengunjung mendekati, mempelajari, memahami seterusnya menghormati amalan dan adat pengebumian masyarakat majmuk negara ini.

“Melalui pendedahan berkenaan amalan pengebumian, masyarakat akan lebih jelas mengenai pantang larang perlu dituruti ketika menziarahi kematian rakan berlainan bangsa dan agama,” katanya.

Di samping itu, masyarakat juga mendapat gambaran jelas cara penghormatan perlu diberikan andai kematian membabitkan hierarki serta strata sosial si mati dalam kelompok pergaulannya.

“Keranda dan amalan pengebumiannya mampu mengungkap status serta kedudukan seseorang dalam masyarakat. Jelas, keranda berfungsi menyatakan penghormatan bagi kepada mereka yang mati,” ” katanya yang turut menyasarkan kehadiran pelancong luar negara pada pameran kali ini.

Ibrahim yakin mampu mencapai sasaran menarik pengunjung tempatan dan luar negara berdasarkan keunikan ditawarkan, antaranya sejarah dan asal-usul pengebumian manusia prasejarah yang memfokuskan kepada penemuan di Lenggong, Perak, Kuala Selinsing, Gua Cha di Kelantan dan Gua Niah di Sarawak.

Segmen Misteri dan Kepercayaan Tradisi menghimpunkan motif, falsafah, amalan serta ritual yang digambarkan melalui beragam motif ukiran flora dan fauna di samping geometri.

Segmen variasi keranda memaparkan jenis keranda, proses pembuatan dan kaedah penyimpanannya berdasarkan material berbeza, manakala segmen tradisi di negara Asia Tenggara diyakini Ibrahim memberikan daya tarikan tambahan kerana memaparkan kaedah pengebumian serta amalan tradisi Nusantara seperti Indonesia, Thailand dan Filipina.

No comments:

Post a Comment