Pages

Wednesday, April 14, 2010

ISTERI YANG MENGKHIANATI SUAMI

Pengkhianatan isteri terhadap suami meliputi bidang yang sangat luas. Pengkhianatan  yang paling besar ialah menyerahkan kehormatannya kepada lelaki lain. Menggunakan harta suami tanpa izinnya juga termasuk dalam istilah pengkhianatan. Melayan lelaki lain dengan penuh kemesraan sehingga suami berasa tersinggung juga boleh dikatakan sebagai perbuatan khianat. Selain itu satu amalan yang masih lagi berlaku di dalam masyarakat kita ialah penggunaan ubat-guna dan ilmu pengasih. Perbuatan begini juga boleh dianggap sebagai perbuatan khianat. Oleh kerana perbuatan curang merupakan perbuatan khianat yang paling besar maka kita tumpukan perbincangan kita kepada masalah ini. Kita ingin tahu apakah yang merasuk seorang perempuan sehingga dia tergamak menyerahkan kehormatannya kepada lelaki yang bukan suaminya.
Kajian kes
Bagi tujuan kajian, kita ikuti kisah seorang perempuan bernama Siti Muslihat. Siti Muslihat berketurunan bangsawan. Dia adalah anak yang paling dimanjai oleh ibu bapanya. Sejak kecil lagi dia dididik dengan kesedaran akan asal usul kebangsawanannya. Dia sudah biasa dilayan secara hormat oleh jiran-jiran dan kawan-kawannya. Sebagai anak manja dia boleh mendapatkaan apa yang dia ingini. Dia tidak berjaya mendapatkannya secara lembut dia akan menggunakan kekerasan. Jika dia berkenaan kepada anak patung kawannya dia akan merebut anak patung tersebut. Dia tahu jika kawannya itu mengadu kepada bapanya maka bapanya akan membayar ganti rugi. Jadi, sejak kecilnya Siti Muslihat boleh mendapatkaan apa sahaja yang dia mahu. Beginilah dia dibesarkan dan dibentuk bertahun-tahun lamanya sehingga wujudlah dua ekor binatang dalam kandang dirinya. Haiwan yang pertama ialah mereka yang kecantikan dan kemuliaannya tidak boleh ditandingi. Binatang kedua pula ialah singa yang boleh merampas apa sahaja yang dia mahu dan singa ini juga bertugas melindungi kepentingan merak. Merak boleh muncul dalam diri Siti Muslihat kerana selain daripada dia seorang yang cantik dia juga diajarkan supaya mendewa-dewakan darah kebangsawanannya. Singa pula boleh muncul kerana dia sentiasa berani dan orang lain sentiasa takut kepadanya. Dia sangat yakin kepada dirinya kerana dia sentiasa memperolehi apa yang dia mahu. Dia sangat mementingkan diri sendiri kerana dia sudah biasa dilayan sebagai orang penting. Paling kuat menguasainya ialah sifat materialistic kerana dia sudah biasa dimewahkan.
Orang-orang yang mengunjungi ibu bapa Siti Muslihat terdiri daripada berbagai-bagai golongan. Antara mereka ialah dukun-dukun atau bomoh-bomoh dan mereka yang mengamalkan ilmu kebatinan. Siti Muslihat sebagai seorang yang cerdik dan lincah suka mengambil tahu perbualan orang tua. Bila meningkat remaja dia sudah mempunyai hubungan dengan orang yang demikian.
Siti Muslihat yang sudah remaja berkenalan dengan seorang jejaka tampan bernama Mat Salleh. Siti Muslihat berasa bangga kerana memiliki seorang kekasih yang kacak dan cocok dengan dirinya. Dia mabuk dalam alam percintaan dengan Mat Salleh. Dalam asyik mahsyuk itulah Siti Muslihat mendapat berita yang memeranjat dan mengecewakannya. Mat Salleh sudah mempunyai isteri. Siti Muslihat tidak mahu mengalah dan dia tidak mudah berputus asa. Dia memaksa Mat Salleh menceraikan isterinya. Mat Salleh tidak sanggup berbuat demikian dan dia juga tidak mahu melepaskan Siti Muslihat. Siti Muslihat meradang. Kemuliaan meraknya dicemarkan dan singanya diperhinakan. Tidak pernah dia berasa terhina seperti itu. Timbul azamnya untuk menyakiti hati Mat Salleh kerana dia tahu Mat Salleh masih mencintainya.
Dalam Siti Muslihat mencari-cari peluang untuk membalas dendam terhadap Mat Salleh muncul seorang jejaka dalam hidup Siti Muslihat. Jejaka ini bernama Mat Saad. Mat Saad berasal daripada keluarga yang miskin. Kehidupan yang dilaluinya dengan segala kesusahan membentuk rasa hina diri (inferiority complex) dalam kandang dirinya. Kebanyakan lelaki yang menghidapi penyakit ini suka berlagak seperti orang jantan yang kuat semangat dan mempunyai berbagai-bagai kelebihan. Dia suka menerima cabaran kawan-kawannya sebagai membuktikan yang dia mampu melakukan apa yang orang lain tidak mampu. Di satu pesta Mat Saad dicabar supaya memikat seorang gadis anak orang bangsawan. Mat Saad menerima cabaran itu dengan bangga. Gadis bangsawan yang sedang mengalami sakit hati terhadap kekasihnya itu melihat kedatangan Mat Saad sebagai kesempatan baginya membalas dendam terhadap kekasihnya. Siti Muslihat menerima kehadiran Mat Saad dengan penuh kemesraan. Mat Saad merasakan dia sudah memperolehi satu kemenangan kerana dia berjaya memikat gadis bangsawan. Ini menjadi penawar bagi penyakit rasa hina dirinya.
Perkenalan yang singkat membawa Siti Muslihat dan Mat Saad ke jinjang pelamin. Jinjang pelamin menjadi tempat pertemuan antara Siti Muslihat yang mahu membalas dendam terhadap Mat Salleh, dengan Mat Saad yang mahu membina harga diri. Siti Muslihat menjadikan Mat Saad sebagai alat untuk menyakiti hati Mat Salleh. Mat Saad pula menjadikan Siti Muslihat sebagai mahkota yang boleh dibanggakan kepada orang ramai.
Walaupun Siti Muslihat sudah berkahwin tetapi Mat Salleh masih juga mencintai dan merindui Siti Muslihat. Siti Muslihat juga masih teringatkan Mat Salleh walaupun dia berada dalam pelukan Mat Saad. Mat Salleh berbaik-baik dengan Mat Saad dan menggunakan persahabatan mereka untuk mengunjungi rumah Mat Saad bagi tujuan melihat Siti Muslihat. Mat Salleh sentiasa mencari-cari alasan untuk mengunjungi rumah Siti Muslihat, hinggakan dia berani bertandang ke rumah Siti Muslihat ketika Mat Saad tiada di rumah. Keadaan ini berlarutan sehingga pasangan Mat Saad dan Siti Muslihat mendapat seorang anak.
Mat Saad sangat menyayangi isterinya tetapi desas desus yang sampai ke telinganya membuatnya tidak dapat menahan sabar. Mat Saad menceraikan Siti Muslihat dengan talak satu. Setelah bercerai mat Saad termenung panjang. Dia rindukan anaknya yang dibawa oleh Siti Muslihat. Ketiadaan perempuan bangsawan di sampingnya menyebabkan dia tidak lagi bermahkota untuk dibanggakan. Mat Saad mengalami pergolakan jiwa yang sangat hebat. Siti Muslihat enggan membenarkannya menemui anaknya. Akhirnya Mat Saad mengalah. Dia merayu agar Siti Muslihat kembali ke pangkuannya. Siti Muslihat bersedia untuk kembali kepada Mat Saad tetapi dengan berbagai-bagai syarat. Jika tidak ada kepercayaan suami isteri rumah tangga tidak akan bahagia, demikian kata Siti Muslihat. Kalau Mat Saad percaya kepadanya Mat Saad tidak patut mendengar fitnah dan mencurigainya, demikian tambah Siti Muslihat. Mat Saad haruslah faham isterinya mempunyai ramai kenalan. Tidak patut Mat Saad cemburu kepada kawan-kawan Siti Muslihat sedangkan mereka juga adalah kawan Mat Saad. Mat Saad menerima sahaja walau berapa lori syarat yang dikenakan oleh Siti Muslihat. Dia berjanji tidak akan cemburu dan tidak akan curiga lagi terhadap isterinya. Dia akan memberikan kepercayaan penuh kepada isterinya. Pasangan Mat Saad dan Siti Muslihat pun kembali bercantum.
Selepas rujuk Mat Saad benar-benar berpegang dengan janji-janjinya. Dia tidak sedikitpun menunjukkan rasa cemburu dan curiga terhadap Siti Muslihat. Dia tidak mahu lagi kehilangan mahkota dan anak kesayangannya. Siti Muslihat diberi kebebasan penuh. Dia boleh pergi ke pesta sendirian sementara Mat Saad menjaga anak di rumah. Dia boleh pergi ke mana sahaja, menumpang kereta sesiapa sahaja atau membonceng motosikal sesiapa sahaja. Mat Saad tidak akan cemburu. Dia boleh bergurau, mencubit, menampar atau bertolak-tolakan dengan sesiapa sahaja, Mat Saad tidak akan cemburu. Tetamu yang datang ke rumah mereka bebas masuk hingga ke dapur atau ke bilik tidurnya untuk memanggil Siti Muslihat, Mat Saad tidak akan cemburu.
Walaupun Mat Saad tidak lagi menunjukkan tanda-tanda cemburu namun, pengalaman diceraikan sekali sudah cukup untuk membuat Siti Muslihat mencari muslihat. Ketika remajanya dia sudah biasa dengan ilmu menundukkan suami. Kini tiba masanya dia mengulang kaji pelajarannya dan mengamalkannya. Siti Muslihat mula memberikan bekalan ubat guna-guna kepada suaminya. Sejauh manakah kesan ubat guna-guna? Kita tidak bercadang untuk membincangkan keberkesanan ilmu bomoh atau dukun. Cuma kita ingin singkapkan beberapa fakta tentang tubuh badan manusia dan kesan terhadapnya apabila dimasukkan benda asing ke dalamnya. Tubuh manusia berjenis-jenis seperti manusia itu berbagai-bagai bangsa. Darah, daging dan anggota yang sesuai dengan jenisnya sahaja boleh diterima oleh tubuh seseorang. Manusia mempunyai darah yang tergolong kepada salah satu daripada empat kumpulan iaitu A, B, AB dan O. Darah kumpulan A hanya boleh menerima darah kumpulan A dan O. Darah kumpulan B hanya boleh menerima darah kumpulan B dan O sahaja. Darah kumpulan AB boleh menerima darah semua kumpulan. Darah kumpulan O hanya boleh menerima darah kumpulan O sahaja. Kemasukan darah yang tidak sesuai menyebabkan seseorang itu berasa seram sejuk, demam, kegelisahan, susah bernafas, kepada seakan-akan mahu pecah, sakit yang kuat pada bahagian tengkuk, dada dan bahagian belakang. Orang berkenaan boleh berasa cemas, kulitnya tegang dan sejuk, denyutan nadi menjadi cepat, tekankan darah menurun, berasa loya dan muntah-muntah, tetapi kebiasaannya tidak menyebabkan kematian. Jika darah yang tidak sesuai ditolak oleh tubuh begitu dengan bahagian tubuh yang lain. Biasanya dalam pembedahan plastik doktor menggunakan bahagian daripada pesakit sendiri untuk ditampalkan pada bahagian yang tercedera. Ini kerana bahagian tubuh manusia lain yang tidak sesuai akan menjadi musuh kepada tubuh pesakit. Pemindahan anggota seperti jantung, mata dan lain-lain hanya dibuat setelah anggota pemberi boleh diterima oleh tubuh penerima. Jika tubuh pesakit menolak anggota asing tetapi ia dipaksa juga menerimanya akan berlakulah kerosakan kepada tubuh pesakit.
Dalam pembuatan ubat guna-guna ada dukun yang menggunakan darah manusia dan bahagian tubuh mayat manusia. Ada yang menggunakan tulang orang mati untuk dijadikan serbuk. Ada pula yang membakar dagu orang mati untuk mendapatkan minyaknya dan banyak lagi cara penggunaan anggota manusia yang sudah mati dalam ilmu dukun yang sesat. Bahan-bahan beginilah yang diberi makan oleh isteri kepada suaminya (tanpa si isteri mengetahui keadaannya yang sebenar). Seorang suami itu dimasukkan ke dalam tubuhnya dengan anggota daripada manusia lain. Terjadilah peperangan dalam diri orang berkenaan. Askar musuh akan cuba mengalahkan pertahanan tubuh tuan rumah. Bila bahan yang demikian dibekalkan terus menerus bertahun-tahun lamanya, maka askar musuh yang mendatang itu menjadi sangat kuat dan menguasai tubuh orang berkenaan. Berlakulah kerosakan kepada sistem semulajadi tubuhnya yang juga memberi kesan kepada jiwanya. Kerosakan yang paling teruk dihadapinya ialah tenaga batinnya menjadi lemah. Boleh jadi dia akan sampai kepada peringkat tidak mampu langsung mengeluarkan tenaga batinnya. Inilah akibat daripada ilmu pelemah suami. Orang yang lemah dan boleh dikuasai adalah orang yang lemah jiwanya dan batinnya, bukan sekadar lemah badannya. 
Orang yang sering dibekalkan bahan-bahan asing ke dalam tubuhnya akan menjadi gian seperti penagih dadah. Sel-sel dalam tubuh penagih dadah sudah biasa dan selesa dengan dadah. Tanpa dadah badannya akan memberontak. Darah, daging, tulang dan seluruh bahagian tubuhnya mahukan dadah kerana sistem tubuhnya sudah bertukar menjadi sistem yang diperkuatkan oleh dadah. Tanpa dadah ia akan menjadi lemah. Begitu juga yang terjadi kepada mangsa ubat guna-guna. Isteri yang melihat suami yang sudah tidak sedikitpun “mengangkat muka” memberhentikan bekalan ubatannya. Pada masa ini si suami akan mengalami berbagai-bagai kegelisahan yang amat sangat. Tubuhnya lemah, tidak bermaya, tidak bersemangat, selalu menggeletar dan perasaannya tidak menentu. Si suami itu akan sampai kepada peringkat di mana dia tidak lagi berupaya menunaikan nafkah batin terhadap isterinya. Ketika inilah si isteri akan berasa kesunyian dan mengalami kekosongan yang sangat mendalam. Ia mendorong isteri untuk mencari kepuasan dengan lelaki lain.
Dalam meneliti kisah Mat Saad kita dapati dia bukan sahaja dilemahkan oleh bahan-bahan asing. Sikapnya yang menekan jiwanya sudah cukup untuk melemahkannya. Bukannya Mat Saad tidak mempunyai perasaan cemburu dan curiga. Dia hanyalah manusia biasa. Tetapi dia tidak berani  menyatakan perasaan tersebut. Perasaan itu dipendamkannya sendirian. Memendamkan perasaan merupakan satu pertarungan hebat dalam diri sendiri. Dia banyak menggunakan kekuatan dan tenaganya untuk berlawan dengan dirinya sendiri bagi memenuhi tuntutan Siti Muslihat. Dia sendiri yang melemahkan dirinya zahir dan batin.
Mat Saad sudah terlalu lemah. Siti Muslihat sedang kesunyian. Mat Salleh masih mengekori Siti Muslihat. Bila ada kesempatan Mat Salleh akan menerkam. Siti Muslihat pula, sebagai seorang yang berharta, boleh mendapatkan khidmat daripada beberapa orang yang dikehendakinya di samping khidmat Mat Salleh. 
Bila diikuti kisah Siti Muslihat maka kita temui bahawa kesilapan pada dasar pembinaan rumah tangga mengundang datangnya berbagai-bagai kesilapan yang lain. Dasar atau asas itu sangat penting bagi mendirikan bangunan yang kuat dan teguh. Pasangan yang mahu mendirikan rumah tangga perlulah terlebih dahulu mencairkan tenaga-tenaga perosak yang terbentuk dalam diri masing-masing. Jangan jadikan rumah tangga sebagai kancah peperangan askar yang berlainan ideologi, terjadi takluk menakluki. Dalam peperangan bukan pihak yang kalah sahaja menderita pihak yang menang juga boleh mengalami kecederaan.
Bagaimana mengubati Siti Muslihat? Dia hanya boleh diubati jika dia insaf dan bertaubat. Dia perlu menyelam ke dalam lautan kehidupannya dan melihat bagaimana dia boleh dikuasai oleh tenaga-tenaga perosak. Dia perlu mengasingkan tindakan yang sebenarnya direstui oleh akalnya daripada tindakan yang dirangsangkan oleh tenaga perosak yang ada dalam dirinya. Dia perlu melihat bahawa kebanyakan tindakannya adalah hasil daripada rangsangan tenaga perosak yang menguasainya bukan keinginan dirinya sendiri. Dia mesti melihat bahawa dia yang menjadi alat bukan dia yang menguasai alat. Dia mesti mengeluarkan ‘Mat Salleh’ daripada hidupnya. Dia mesti sedar bahawa permusuhannya dengan Mat Salleh secara diam-diam itu telah banyak merosakkan dirinya dan rumah tangganya. Dia juga mesti sedar bahawa jika permusuhan itu berlanjutan maka akan lebih banyak kerosakan yang terjadi. Hari ini dia masih boleh mengawal keadaan mungkin esok dia pula yang akan dikawal. Sementara dia masih boleh mengawal inilah dia seharusnya bertindak membaiki keadaan.
Anggapkan perjalanan kehidupan ini sebagai kita sedang memandu. Kereta mempunyai brek. Siti Muslihat seharusnya tahu menggunakan brek supaya keretanya tidak terhumban ke dalam gaung. Kereta juga mempunyai cermin untuk melihat ke belakang. Sekali sekala tolehlah ke belakang. Lihat kenderaan yang ada di belakang sama jangan asyik melihat kenderaan yang di hadapan sahaja. Jalan raya mempunyai polis trafik yang selalu memasang perangkap had laju. Sudah ramai pemandu yang terperangkap dan kena saman. Ketika masih ada pilihan buatlah pertimbangan yang wajar. Pandanganlah kepada suami yang tidak berdosa. Dia terpaksa menanggung berbagai-bagai penderitaan. Lihatlah betapa kasihnya dia kepada Siti Muslihat. Siti Muslihat patut menutup pintu hatinya sejenak daripada semua hal keduniaan dan renungkan wajah suaminya. Hidup ini hanya sementara. Tidak diketahui berapa lama lagi masa yang masih tinggal untuknya bersama-sama suaminya. Jadikan hari-hari yang tinggal sebagai hari-hari yang manis untuk si suami yang terlalu kepinginkan kasih sayang isterinya. Buangkan sandiwara dan serahkan yang tulen sahaja kepada si suami itu. Jika dia ditakdirkan menutup mata biarkan dia menutup mata di atas riba isteri yang sudah kembali kepada ketulenan. Si suami itu tidak pernah memiliki sesuatu yang sangat-sangat diingininya iaitu hati Siti Muslihat. Kasihankan kepadanya dan berikan sekeping hati yang tidak kedapatan sesiapa di dalamnya melainkan si suami itu. Itu sahaja yang dia mahu. Jangan mengecewakannya.
Siti Muslihat harus mengetahui bahawa dia adalah seorang yang memiliki berbagai-bagai kebolehan dan kelebihan. Percayalah kepada kebolehan dan kepintaran diri sendiri. Dia tidak perlu bersandar kepada tenaga lain. Tenaga yang ada dalam diri sendiri sudah mampu memerintah negeri tidak perlu dipanggil tenaga luar untuk membantu. Bantuan daripada luar menyebabkan diri sendiri terjajah. Lepaskan diri daripada belenggu  penjajahan itu.

No comments:

Post a Comment