Pages

Monday, March 1, 2010

Zulkifli boleh kritik sepuas-puasnya


KUALA TERENGGANU 28 Feb. - Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin diberi 'peluang' untuk membuat kecaman sepuas-puasnya terhadap pemimpin Islam yang dikatakan bersetuju dengan pembatalan sambutan Maulidur Rasul.
Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berkata, beliau memberi Zulkifli 'masa' untuk melemparkan apa saja kritikan sebelum pihaknya membalas tuduhan pemimpin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.
"Kita beri peluang dulu kepada beliau (Zulkifli) untuk kata apa saja, biar dia luah habis-habis dan cakap sepuas-puasnya, baru kita jawab balik," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Zulkifli yang menyifatkan pemimpin Islam yang bersetuju dengan cubaan pihak tertentu membatalkan sambutan Maulidur Rasul sebagai bajingan serta balaci.
Ahli Parlimen itu berkata, pemimpin Islam seperti itu umpama lalang akan mengikut segala rentak oleh pihak yang cuba membatalkan sambutan yang menjadi syiar bagi umat Islam di negara ini.
Zulkifli mengeluarkan kecaman tersebut dalam entrinya bertajuk Khutbah Maulidur Rasul dalam blognya kelmarin.
Harun yang juga Pesuruhjaya Pas Terengganu selanjutnya menjelaskan, setiap umat Islam tanpa mengira kedudukan mesti sentiasa bersabar dengan apa juga masalah yang menimpa termasuk dikecam hebat oleh orang lain.
"Kita sebagai orang Islam kena banyak bersabar, dalam konteks kenyataan oleh saudara Zulkifli ini, kita kena sabar saja, biarlah orang nak kata apa pun dan kita ada cara kita sendiri (sambut Maulidur Rasul)," katanya.
Beliau yang enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu berkata, sambutan Maulidur Rasul diadakan bergantung kepada niat dan matlamatnya, tidak salah jika ia dibuat untuk mengulangi sejarah Rasulullah dan membangkitkan semangat umat Islam, bukan untuk menunjuk-nunjuk.

No comments:

Post a Comment