Pages

Sunday, March 28, 2010

Sanggup Terjun Neraka



Adi bin Hatim r.a meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah s.a.w katanya, baginda bersabda yang bermaksud :
“Tidak ada seorang pun antara manusia di akhirat kelak kecuali dia akan berhadapan dengan Allah. Antara manusia dan Tuhan tidak ada jurubahasa”.
(Hadis Riwayat Muslim)
Pertemuan dengan Allah di akhirat adalah sesuatu agenda utama manusia ketika dibangkitkan di Mashyar kelak, setelah kita berusaha keras dengan beribadat bersungguh-sungguh kepadaNya.
Orang-orang yang beriman lagi soleh bukan saja dapat bertemu Allah malah dapat menatap wajah Yang Maha Agung. Sementara orang-orang yang menderhaka penciptaNya juga dapat bertemu dengan Allah tetapi tidak dapat menatap wajahNya. Sekiranya golongan ini gagal menatap wajah Allah, apatah lagi golongan-golongan yang kufur kepadaNya.
Walaubagaimanapun mereka pasti bertemu denganNya tanpa jurubahasa ataupun perantara. Yang dimaksudkan bertemu Allah itu ialah mereka pasti berhadapan dengan mahkamah Allah (Mahkamah Qadhi Rabbul Jalil) itu tidak memerlukan bantuan malaikat untuk menjalan tugas pendakwaan, maupun sebarang juru bahasa untuk menterjemahkan segala perbuatan keji dan kemungkaran yang dilakukan oleh manusia.
Segala urusan daripada Hari Pendedahan segala rahsia perbuatan mungkar dan keji itu, segala penyerahan catatan akan dilakukan Allah sendiri. Rasulullah s.a.w menjelaskan bahawa setiap hamba pasti berdepan dengan Allah di akhirat.
Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w menjelaskan mengenai Hari Pendedahan yang dilakukan oleh Allah terhadap hambaNya di akhirat, ada di kalangan manusia yang memohon kepada Allah supaya segala keburukan diri mereka tidak didedahkan di khalayak ramai kerana tidak sanggup menanggung malu yang amat sangat. Ada antara mereka menganggap lebih baik mereka terus dicampakkan ke neraka asalkan tidak didedahkan perbuatan mereka yang keji dan hodoh.
Di akhirat nanti, akan ada manusia yang sudah bersedia untuk terjun ke bawah neraka daripada dimalukan dikhalayak ramai. Begitulah keadaan gawat yang berlaku di Mahsyar apabila Allah melaksanakan sesi Yaumul “Ardh.
Saudara-saudaraku sekelian, jauhilah amalan-amalan kemungkaran di dalam kehidupan seharian kita. Ingatlah setiap detik dalam hayat ini aktiviti-aktiviti kita baik yang makruf mahupun yang mungkar senantiasa dirakamkan oleh Malaikat Ratib dan ‘Atid untuk dipaparkan dihadapan Allah pada hari itu.
Wallahu A’lam…Ya Allah…jauhilah diri kami dari keburukan dunia ini…
Sumber :
Buku : Bertemu Janji Allah

No comments:

Post a Comment