Pages

Thursday, March 25, 2010

Perang Khandak: Angkara Yahudi Bani Quraizah



king_diamond
28-04-2009, 10:18 AM
Oleh: Tuan Guru Hj Nik Abd Aziz Nik Mat

DI ANTARA perkara utama yang dilaksanakan oleh Nabi s.a.w. selepas berhijrah ke Madinah, ialah mengatasi masalah dengan penduduk berbilang kaum dan agama di Madinah melalui perjanjian Madinah (Shahifah Madinah), khususnya dengan orang-orang Yahudi ahli kitab.

Kandungan perjanjian itu antara lain ialah jaminan dari kerajaan Islam Madinah, menyentuh soal memberikan hak kebebasan semua warga Madinah untuk melakukan kegiatan ekonomi dan sosial, kebebasan mengamalkan ajaran agama dan budaya masing-masing.

Jika sesuatu kaum menghadapi ancaman dari pihak lain, adalah menjadi kewajipan kaum-kaum lain yang sama terikat dengan perjanjian itu untuk membantu. Mereka mempertahankan keselamatan pihak-pihak yang terikat dalam perjanjian itu, sebagai satu tanggungjawab menjaga kesejahteraan dan keamanan.

Selain itu, warga Madinah diikat dengan suatu tanggungjawab dan kewajipan menjaga keamanan negara. Jika Negara Islam Madinah menghadapi ancaman dari mana-mana jua, warga Madinah dari semua etnik sama ada dari keturunan Yahudi atau Arab mempunyai tanggungjawab yang sama untuk mempertahan keselamatan negara.

Semua warga negara Madinah menikmati suasana aman damai dengan perjanjian Madinah yang dipersetujui bersama, sama ada oleh bangsa Arab yang pelbagai keturunan dan juga Yahudi yang pelbagai puak. Berbilang kaum dan pelbagai agama serta anutan tidak menghalang penduduk Madinah mengecapi perdamaian.

Malangnya dalam perang Khandak ini puak Yahudi bani Quraizah telah mencabul perjanjian yang telah dipersetujui bersama itu.

Peristiwa itu bermula apabila seorang tokoh Yahudi bani Nadir bernama Huyayi bin Ahtok telah menemui tokoh Yahudi bani Quraizah bernama Ka'ab bin Asad. Huyai menjalankan kempen awal mempengaruhi Ka'ab supaya yahudi bani Quraizah membatalkan perjanjian dengan Nabi s.a.w..

Huyai bersedia untuk memimpin delegasi memujuk Arab Quraisy Makkah dan juga Arab Ghatfan serta para pembesar di kalangan mereka, untuk mengadakan pakatan memerangi nabi s.a.w.. Huyai telah mengatur pertemuan dengan dua puak Arab itu di suatu tempat bernama Zanab Nuqma.

Kempen yang dijalankan oleh Huyai itu bertujuan supaya ketua Yahudi bani Quraizah, iaitu Ka'ab bin Asad membatalkan perjanjian mereka dengan Nabi Muhammad s.a.w.. Mengikut rancangan Huyai bahawa yahudi bani Quraizah pimpinan Ka'ab bin Asad akan berhimpun di sebelah Uhud.

Sementara Arab Quraisy dan juga Arab bani Ghatfan bergabung dalam satu pasukan, mereka telah memberi pengakuan mengerahkan pasukan perangnya. Mereka hanya akan berhenti apabila sebaik saja menjejakkan kaki di Madinah. Pasukan terbesar ini akan mencabut segala akar umbi kepimpinan Nabi s.a.w. yang telah menubuhkan negara Islam Madinah.

Strategi yang disusun oleh Huyai ketua Yahudi bani Nadir itu menjadikan Madinah terkepung dari semua penjuru. Semuanya untuk meyakinkan Ka'ab bin Asad, bahawa gerakan penentangan terhadap Muhammad s.a.w. dan kaum muslimin Madinah ini, memerlukan kerjasama kukuh dari Yahudi bani Quraizah.

Pada pendapat ketua Yahudi bani Nadir, jika Yahudi bani Quraizah masih terikat dengan perjanjian Shahifah Madinah yang ditanda tangani bersama Nabi s.a.w., sudah tentu rancangan menghancurkan agama yang dibawa oleh Muhammad akan menemui kegagalan.

Sebab itulah Ka'ab bin Asad ketua Yahudi bani Quraizah dibawa bersama dalam delegasi mengatur kesepakatan membentuk tentera al-Ahzab itu, agar rancangan menghancurkan agama Muhammad itu mencapai kejayaan yang diimpikan.

Pada peringkat awal, Ka'ab bin Asad enggan mengikut rancangan Huyai bin Ahtok, kerana Ka'ab masih tetap menghargai perjanjian yang telah dimeterai bersama dengan Nabi Muhammad s.a.w.. Ka'ab sebagai seorang ulama Yahudi tahu akibat orang yang mengkhianati perjanjian, iaitu mereka akan menerima kehinaan sepanjang hayat.

Ka'ab menolak rancangan Huyai kerana kehidupan Yahudi bani Quraizah di Madinah bergantung rapat dengan perjanjian yang dimeterai bersama Muhammad s.a.w.. Dia lebih selesa hidup dalam keadaan terikat dengan perjanjian tersebut, saling bantu-membantu untuk mengekalkan keamanan yang dinikmati bersama sejak empat tahun lalu di negara Madinah yang dihuni oleh pelbagai etnik dan agama.

Menurut Ka'ab, sepanjang perjanjian dengan Muhammad selama empat tahun berlalu, semua berjalan dalam keadaan baik. Kaab mengakui bahawa Muhammad s.a.w. adalah orang yang amat setia dengan janji. Dia tidak pernah lihat dalam diri Muhammad itu melainkan benar dan setia dengan janji.

Huyai tidak mudah mengalah dalam isu ini, walaupun Ka'ab tetap menunjukkan keengganannya untuk bergabung dalam pakatan itu, namun dia tidak putus asa. Dia seorang Yahudi yang sangat licik dan pintar dalam segala putar belit.

Huyai mengingatkan Ka'ab bahawa Muhammad adalah orang buruan yang menumpang hidup di Madinah. Penduduk Makkah telah menghambatnya hingga dia terpaksa lari malam meninggalkan kampung halaman. Tiba-tiba Yahudi bani Quraizah yang sudah sekian lama bertapak di Madinah, terpaksa mengikat setia dengan seorang pelarian.

Ka'ab diperlekeh oleh Huyai atas pendiriannya, terikat dengan perjanjian dengan seorang buruan dari negara lain, tanpa memiliki apa-apa yang boleh dibanggakan. Di manakah kewajaran Ka'ab yang mengetuai Yahudi bani Quraizah, sanggup mengikat diri dan kaumnya dalam satu perjanjian yang hanya menguntungkan Muhammad dan orang-orang pelarian yang bersamanya. Kerana dengan perjanjian itu, orang-orang pelarian pimpinan Muhammad hidup aman dan dilindungi oleh penduduk asal Madinah.

Apakah yang bangsa Yahudi bani Quraizah dapat dari kesetiaannya mengikat diri dengan perjanjian itu? Tanya Huyai kepada Ka'ab. Jika bani Quraizah bersama dalam rancangan yang membabitkan Arab Quraisy yang menguasai Makkah, bererti mendukung satu tugas mulia membebaskan Madinah dari cengkaman orang-orang pelarian yang diketuai oleh Muhammad.

Huyai meyakinkan Ka'ab, bahawa Makkah berada dalam kekuasan sekutu mereka, dan Madinah pula akan dikuasainya selepas Muhammad dan orang-orangnya dicabut kekuasaannya di Madinah. Ini bererti satu pembebasan dari belenggu penguasaan pendatang asing.

Apakah kemuliaan yang diperolehi berkawan dan berjanji setia dengan orang-orang pelarian yang hidup menumpang di Madinah. Lebih baik mengikat pakatan dengan Arab Quraisy Makkah, kerana mereka orang-orang bertanggungjawab menjaga Ka'bah. Mereka mempunyai kekayaan harta yang membolehkan jalinan perdagangan antara saudagar-saudagar Yahudi Madinah dengan para saudagar Arab Makkah yang menjanjikan keuntungan yang besar.

Sungguh hebat hujah-hujah yang dikemukakan oleh Huyai bagi mengubah pendirian Ka'ab, yang peringkat awalnya begitu setia dengan perjanjian yang dimeterai bersama Muhammad s.a.w.. Tetapi akhirnya Ka'ab terpengaruh dengan segala alasan dan hujah yang dikemukan oleh Huyai ketua Yahudi bani Nadir itu.

Cair juga akhirnya pendirian Ka'ab. Dia setuju untuk menyertai pakatan yang diatur oleh Huyai. Dengan itu bererti Yahudi bani Quraizah telah mengakhianati perjanjian Madinah. Perubahan sikap Yahudi bani Quraizah itu menyebabkan suasana kota Madinah menjadi tegang. Mereka sudah berada di ambang peperangan yang besar.

1 comment: