Pages

Thursday, March 4, 2010

Pendustaan punca 3 sifat munafik


PADA zaman Rasulullah SAW, pegawai kerajaan diarahkan menyimpan apa saja yang mereka terima sebagai hasil negara dalam Perbendaharaan Awam. Rasulullah SAW turut memberi peringatan, “Wahai manusia! Sekiranya ada di kalangan kamu yang dilantik sebagai wakil pentadbir oleh kami, dan kemudian menyorokkan daripada kami walaupun hanya sebatang jarum, atau lebih, dia sudah berkhianat, dan akan membawanya di Hari Kebangkitan.” (Hadis riwayat Abu Dawud)
Peringatan Rasulullah SAW itu selaras amaran Allah dalam firman bermaksud: “Sesiapa yang berkhianat menggelapkan sesuatu harta (kepunyaan semua), dia akan datang menanggung apa yang dikhianatkan itu pada Hari Kiamat; kemudian akan dibalas tiap-tiap seorang apa yang dikerjakannya, sedang mereka tidak dianiayai.” (Surah Ali-'Imran, ayat 161)


Peringatan itu penting kerana mereka yang diamanahkan untuk memerintah memiliki kuasa besar terhadap cara hasil negara dibelanjakan. Untuk mendokong sifat amanah terhadap kuasa inilah Allah merakamkan dalam al-Quran keperluan menyerahkan kerja kepada seseorang berperibadi kuat (al-qawiyy), iaitu yang berupaya serta berkebolehan (Surah al-Qasas, ayat 26).


Justeru, Rasulullah SAW pernah memberi peringatan bahawa ada tiga tanda orang munafik iaitu apabila dia berbicara, dia berdusta; apabila dia berjanji, dia menyalahi janji; dan apabila dia diamanahkan, dia berkhianat.


Dalam riwayat dirakamkan Imam Muslim, ada pernyataan tegas Rasulullah SAW mengenai golongan munafik iaitu ‘dia turut puasa, sembahyang dan menganggap diri Muslim.’


Keprihatinan akhlak yang menjadi lunas Islam tidak berlawanan dengan apa yang pernah dinyatakan Marcus Tullius Cicero dalam risalahnya De Officiis, “tidak ada perbuatan aniaya yang lebih menonjol daripada perlakuan seseorang hipokrit, yang serentak dengan sifatnya yang khianat, berpura-pura berbuat kebajikan.”


Sesungguhnya, perlakuan aniaya paling membinasakan kepada diri sendiri, masyarakat dan negara berkisar kepada tiga kejahatan itu iaitu berdusta, mungkir janji, dan mengkhianati amanah.


Dunia Islam semasa, sudah lama diperingatkan untuk mengawal kejatuhan moral itu sejak Persidangan Pertama Sedunia mengenai Pendidikan Islam di Makkah, pada April 1977, apabila Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas membentangkan kertas sidang pleno mengenai The Dewesternization of Knowledge.


Beliau juga mengingatkan, walaupun tiga sifat itu kedengarannya seperti tiga perlakuan berbeza, pada hakikatnya ia adalah tiga darjat pendustaan apabila berbicara, berdusta apabila memungkiri janji, berdusta melalui perlakuan pecah amanah dan menyelewengkan kuasa.


Banyak ayat al-Quran dan hadis sahih memperkuatkan lunas Islam ini. Dalam Islam, sifat khianat adalah musuh kepada keimanan yang hakiki dan kesedaran untuk menyerahkan diri hanya kepada Allah Tuhan Yang Maha Esa, tidak kepada yang selain-Nya. Seseorang Mukmin tidak mungkin berakhlak dusta atau pecah amanah.


Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa tidak memiliki kejujuran, tidak memiliki iman; dan sesiapa yang tidak memelihara janji, bukanlah seorang yang beragama.” (Hadis riwayat Tabrani dan Baihaqi)


Kesarjanaan Islam mentakrifkan insan sebagai al-hayawan al-natiq. Secara harfiah, insan adalah ‘hidupan berkata-kata,’ bermakna pertalian dengan tutur katanya, seseorang itu akan mencerminkan jiwa dalamannya.


Berkenaan perkara itu, pemikir Perancis, Michel Eyquem de Montaigne pernah menyatakan, “Sebagai manusia, kita terikat hanya dengan apa kita tuturkan.


Oleh kerana persefahaman antara seorang manusia dengan manusia lain boleh dinyatakan melalui tutur kata, sesiapa berdusta dalam tuturbicaranya adalah mengkhianati masyarakat manusia. Tutur kata adalah satu-satunya alat untuk menyampaikan iradat dan fikiran kita; tuturbicara adalah penterjemah jiwa. Dengan berdusta, tiada lagi tali mengikat antara manusia. Pendustaan memutuskan semua perhubungan masyarakat dan meleburkan semua ikatannya.”


Bijak-pandai Melayu mengungkapkan lunas akhlak bersifat alami ini menerusi pepatah ‘kerbau dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji.’


Justeru, manusia khianat pada janji dan ikatan amanah adalah lebih hina daripada kerbau dan lembu, seperti peringatan al-Quran, “Mereka itu seperti binatang, bahkan lebih sesat lagi.” (Surah al-A'raf, ayat 179)


Demi menegaskan kewajipan untuk tidak mengkhianati amanah, Allah memerintahkan orang beriman supaya menyempurnakan ikatan janji amanah yang kukuh. Al-Raghib al-Isfahani menjelaskan, tiga jenis ikatan amanah iaitu perjanjian antara insan dengan Tuhan, janji antara manusia dengan dirinya sendiri dan janji antara seseorang manusia dengan manusia lain yang serasi dengan persyaratan agama.


Misalnya, perjanjian perdagangan antara penjual dengan pembeli, persepakatan masyarakat antara pelbagai kelompok kaum, akad-nikah perkahwinan dan persetiaan antarabangsa.


Perjanjian tersirat yang perlu ditunaikan dengan saksama seperti perjanjian tersirat antara tuan rumah dengan tetamunya, pengembara dengan pengiringnya, majikan dengan pekerjanya dan seterusnya.


Abdullah Yusuf Ali menyatakan, seseorang yang meninggalkan mereka yang berada dalam tanggungjawabnya dan sebaliknya pergi ‘beribadah’ berseorangan di padang pasir adalah seorang bacul yang mengabaikan 'uqud atau tugas wajibnya.


Tambahan pula, “Allah memerintahkan kamu supaya menyerahkan amanah kepada yang berhak.” (Surah al-Nisa', ayat 58).


Ayat al-Quran ini merangkumi segala amanah, sama ada berkaitan harta benda, atau berkaitan dengan akhlak.


Jika ada tugas perlu ditunaikan kepada seseorang yang lain, tugas itu adalah amanah wajib ditegakkan, maka mengerjakannya dengan sempurna dan penuh tanggungjawab adalah perbuatan menyerahkan amanah kepada yang berhak.


INTI PATI


Sifat khianat adalah musuh kepada keimanan yang hakiki.

Tuturkata mencerminkan jiwa dalaman.

Pendustaan memutuskan semua perhubungan masyarakat dan meleburkan semua ikatannya.

Allah memerintahkan orang beriman menyempurnakan janji.

Tiga jenis ikatan amanah adalah perjanjian antara insan dengan Tuhan, janji manusia dengan diri sendiri dan janji manusia dengan manusia lain.



Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

No comments:

Post a Comment