Pages

Wednesday, March 24, 2010

Minuman herba Teh Bamboo




DEKORASI unik dan segar The Bamboo berjaya menarik ramai pelanggan.


BUDAYA minum teh dalam masyarakat Cina dipercayai wujud sejak 5,000 tahun dahulu. Bagi masyarakat Cina, teh adalah sebahagian daripada hidangan tradisi yang dinikmati sejak ribuan tahun lalu.
Mereka percaya teh yang diminum untuk kesihatan dan kenikmatan itu mempunyai legendanya sendiri. Minuman herba itu ditemui secara tidak sengaja oleh Maharaja Shen Nung daripada Dinasti Tang pada Tahun 2737 Sebelum Masihi.
Kisahnya bermula apabila daun sepohon pokok teh jatuh ke dalam air mendidih dalam sebuah kendi dan aroma campuran itu membuat maharaja tidak dapat menahan keinginan untuk merasainya.
Legenda dari India pula mengaitkan penemuan teh dengan biarawan Bodhidharma. Semasa bertapa, dia mengunyah beberapa daun yang tumbuh berdekatan yang menyegarkannya kembali.
Walaupun India hari ini merupakan penghasil teh terbesar di dunia, tetapi tidak ada catatan sejarah mengenai minum teh di negara itu sebelum abad ke-19.


Apa pun legendanya, hari ini teh Cina (Camelia Sinensis) atau dikenali juga sebagai teh hijau bukan hanya dinikmati oleh kaum Tionghua sahaja, bahkan ia semakin digemari segenap lapisan rakyat Malaysia.
Teh Cina yang rasanya tawar dikatakan mempunyai pelbagai khasiat seperti mengatasi diabetes, meningkatkan kerja insulin dalam badan selain menyegarkan tubuh.
Menyedari potensi perniagaan teh Cina, ia mendorong seorang usahawan, May Kwan membuka sebuah kedai khas menjual minuman herba di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Menariknya, Kedai Teh Bamboo itu merupakan satu-satunya kedai khusus menjual teh dan minuman herba lain yang mendapat status pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
May Kwan yang merupakan pemilik Syarikat Zhu Xuan Herbal Tea Sdn. Bhd. itu memberitahu, idea membuka kedai tersebut berikutan adanya rungutan daripada pelanggan beragama Islam yang mendakwa sukar mencari kedai halal menghidangkan minuman tersebut.
Beliau yang sebelum ini memiliki dua kedai minuman teh Cina di Paya Terubong, Air Itam dan Jalan Anson, George Town menggunakan konsep sama di premis barunya itu. Bezanya premis tersebut dikendalikan oleh pekerja beragama Islam sepertimana yang dikehendaki Jakim.
"Di sini kita menghidangkan teh Cina, teh bunga selain tidak kurang sepuluh jenis teh herba. Ada yang diimport dari China, Taiwan dan India selain teh tempatan.

PHILIP TAN (kiri) dan May Kwan di hadapan kedai Teh Bamboo milik mereka di Bayan Lepas.


"Bagi teh herba yang dijual, ada pelbagai jenis dengan pelbagai khasiat yang berbeza misalnya baik untuk penglihatan, hati, jantung dan suara, jadi terpulang kepada pelanggan untuk memilih.
"Selain minuman, kita turut menyediakan hidangan ringan seperti kuih-muih tempatan, kek, buah-buahan dan juga beberapa hidangan sampingan yang dimasak menggunakan bahan-bahan herba," ujarnya.
Kedai lot tepi yang terletak di Bayan Point berhampiran bulatan Bayan Baru itu dibuka sejak awal Mac ini diusahakan bersama suaminya, Philip Tan dengan pelaburan kira-kira RM200,000.
Bagaimanapun, Kedai Teh Bamboo yang boleh memuatkan kira-kira 70 pelanggan pada satu-satu masa itu, bukan seperti kedai minuman biasa yang menghidangkan teh panas dan makanan semata-mata. Ia melayan pelanggan mengikut pakej yang mereka pilih mengikut harga yang berpatutan.

No comments:

Post a Comment