Pages

Sunday, March 28, 2010

Jangan menolak sedekah



Hadis :
Dari Salim bin Abdillah bin Umar dari ayahnya r.a bahawasanya Rasulullah SAW telah memberi sesuatu kepada Umar bin al-Khattab. Maka Umar berkata : “Berikanlah kepada orang yang lebih fakir daripada aku.” Nabi bersabda: “Ambillah lalu kembangkan atau engkau sedekahkan. Sesuatu yang datang kepada mu dari harta ini sedangkan engkau tidak mengharap dan tidak memintanya maka ambillah dan sesuatu yang tidak datang kepada mu maka janganlah engkau ikutkan diri mu pada sesuatu itu.” (Muslim)
Huraian :
Masyarakat moden sekarang lebih mudah dan senang bersedekah. Ini bersesuaian dengan peredaran masa yang membolehkan kita bersedekah menggunakan potongan melalui bank serta yang terbaru bersedekah atau menderma menggunakan sistem perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) menerusi telefon mudah alih. Al-Quran menyebut yang maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin dan amil-amil yang mengurusnya dan orang-orang mu’allaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang memerdekakan dirinya dan orang-orang yang berhutang dan untuk dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan dalam perjalanan). (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (at-Taubah:60).
Pada zaman ini tidak hairan jika dikatakan ramai manusia sanggup menipu untuk mendapatkan sedekah. Sebaliknya amat menghairankan dan jarang-jarang berlaku orang yang menolak sedekah sedangkan keadaan fizikal dan hidupnya amat memerlukan. Mereka tidak meminta jauh sekali ingin mendesak dalam mendapatkan sesuatu daripada orang lain. Dalam hal ini Islam sesungguhnya amat menggalakkan kita agar berusaha sedaya upaya untuk mencari rezeki untuk menyara kehidupan dan Islam tidak menggalakkan kita meminta sedekah. Namun seandainya sesuatu itu datang tanpa diduga atau diminta ia dianggap sebagai pemberian dan rezeki daripada Allah SWT. Terimalah ia dengan penuh kesyukuran mudah-mudahan rezeki itu akan bertambah bahkan membolehkan kita bersedekah pula kepada orang lain. Kata orang ‘tangan yang di atas itu lebih baik daripada tangan yang di bawah.” Dengan perkataan lain Islam menggalakkan kita bersedekah namun Islam tidak sekali-kali menggalakkan kita menjadi orang peminta sedekah.
sumber :

No comments:

Post a Comment