Pages

Tuesday, March 23, 2010

Habibah mengembalikan mas kahwinnya


HABIBAH binti Sahak bin Tsalabah al-Anshariyah merupakan wanita yang banyak memberi sumbangan kepada Islam. Ibunya bernama Amrah binti Masud. Habibah mempunyai seorang adik-beradik perempuan yang bernama Rughainah binti Sahal.
Habibah merupakan seorang pelapor hadis. Dia melaporkan hadis dari Nabi Muhammad. Dia sering ke rumah Nabi Muhammad untuk mempelajari dan menimba ilmu pengetahuan Islam. Isteri-isteri Nabi Muhammad sudah kenal rapat dengan Habibah kerana dia juga sering melawat isteri-isteri Nabi Muhammad.
Penah dilaporkan, Nabi Muhammad pernah jatuh hati terhadap Habibah. Nabi Muhammad berhajat untuk melamar Habibah. Tetapi Nabi Muhammad bimbang akan timbul perasaan cemburu di kalangan kaum Ansar. Nabi Muhammad ingin menjaga hubungan baik di antara orang Muhajirin dan Ansar.
Akhirnya, Habibah berkahwin dengan Sabit bin Qais. Sabit adalah salah seorang sahabat Nabi Muhammad. Perkahwinan mereka tidak bahagia. Habibah berasa tidak bahagia dan tenang untuk hidup bersama Sabit lagi. Peristiwa ini menyebabkan Habibah terpaksa berjumpa dengan Nabi Muhammad.
'Baik saya pergi memberitahu masalah saya ini kepada Nabi Muhammad," bisik Habibah seorang diri.
Habibah bergegas berjumpa dengan Nabi Muhammad. "Wahai tuan, saya datang berjumpa tuan kerana saya ingin mencerita masalah yang sedang saya hadapi ini."
"Apakah masalah yang sedang awak hadapi?" tanya Nabi Muhammad.
"Sabit bin Qais adalah suami saya. Saya tidak berniat memburuk-buruk akhlak dan agamanya. Tetapi saya sudah tidak tahan hidup dengannya kerana dia tidak menunaikan hak terhadap isteri dan keluarganya.
Nabi Muhammad mendengar kata-kata Habibah lalu bertanya, "Sekiranya awak ingin berpisah dengannya, sanggupkah awak mengembalikan mas kahwin yang diberikan oleh Sabit kepada awak?"
Habibah terus menjawab tanpa menunggu masa yang panjang, "Ya, saya bersedia untuk memulangkan kebun yang diberikannya sebagai mas kahwin kepada saya."
Habibah terus pulang dan berjumpa dengan Sabit bagi memulangkan kebun milik suaminya itu. Selepas itu berlakulah perpisahan di antara Habibah dan suaminya. Habibah meneruskan kehidupan dengan beramal ibadah kepada Allah. Akhirnya datang seorang lelaki bernama Ubay bin Kaab melamarnya. Ubay lebih dikenali dengan gelaran Abu al-Mundzir. Dia adalah seorang sahabat Nabi Muhammad yang turut menghimpun al-Quran pada zaman Nabi Muhammad.
Abu al-Mundzir adalah seorang sahabat Nabi Muhammad yang banyak ilmu pengetahuannya. Dia juga kuat beramal. Sehingga pada suatu hari Nabi Muhammad telah berkata kepada Abu al-Mundzir, "Wahai Abu al-Mundzir, Sesungguhnya Allah telah menyuruh saya membaca al-Quran untuk awak."
Lalu Abu al-Mundzir bertanya kepada Nabi Muhammad, "Benarkah Allah telah menyebut nama saya kepada tuan?"
"Ya, wahai Abu al-Mundzir," jawab Nabi Muhamad
Abu al-Mundzir menangis kerana berasa terlalu gembira dengan berita yang didengarnya itu. Dia berasa sangat bertuah kerana menjadi sahabat Nabi Muhammad.
Habibah dan Abu al-Mundzir hidup sebagai sepasang suami isteri yang bahagia. Suaminya merupakan seorang pelapor hadis. Suaminya banyak melaporkan hadis dari Nabi Muhammad. Dia melaporkan sebanyak 164 buah hadis. Suaminya meninggal dunia pada tahun 30 Hijrah.
Habibah juga tidak ketinggalan dalam melaporkan hadis dari Nabi Muhammad. Dia sering kali pergi ke rumah Nabi Muhammad bagi mempelajari ilmu agama Islam. Dia juga sering melawat isteri-isteri Nabi Muhammad sehingga mereka kenal rapat dengan Habibah.
Antara hadis yang terkenal dilaporkan oleh Habibah ialah tentang faedah yang didapati oleh ibu bapa yang mempunyai anak yang meninggal semasa kecil dan masih belum baligh.
Pada suatu hari, Habibah datang ke rumah Nabi Muhammad. Pada masa itu Nabi Muhammad baru saja sampai di rumahnya. Habibah sedang berbual dengan isteri Nabi Muhammad. Kemudian Habibah mendengar beberapa ilmu agama Islam yang baru dipelajarinya pada hari itu daripada Nabi Muhammad
Nabi Muhammad pun berkata, "Apabila terdapat di antara sepasang suami isteri yang kematian tiga orang anaknya semasa masih kecil dan masih belum baligh, anak-anak tersebut akan berdiri betul-betul dihadapan pintu syurga."
Habibah mendengar dengan penuh teruja. Dia memasangkan telinga dan menguatkan daya ingatannya untuk mempelajari ilmu itu.
"Kemudian kami akan mengatakan kepada anak-anak kecil itu, silakan masuk ke dalam syurga. Mereka lantas menjawab, kami tidak akan masuk ke syurga selagi kedua-dua ibu bapa kami ikut masuk ke syurga bersama-sama kami," jelas Nabi Muhammad panjang lebar.
Habibah binti Sahal seorang wanita yang banyak menyumbang kepada sejaranh Islam. Dia terus hidup sehingga zaman Khalifah ar-Rasyidin. Namun begitu tarikh sebenar kematiannya tidak dinyatakan secara terperinci dalam catatan sejarah Islam.

No comments:

Post a Comment