Pages

Sunday, March 7, 2010

Al-Bashir – Maha Melihat




Mengalunkan zikir Asma Ul-Husna (nama-nama Allah SWT) adalah sesuatu yang indah didengari. Bukan setakat mengalunkan 99 nama-Nya sahaja, malah kita juga ingin mengetahui sejauhmana kita boleh mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
Pertama sekali, sebagai hamba ciptaan-Nya, mari bersama-sama kita panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana mengurniakan sepasang mata untuk kita melihat keindahan dan keagungan alam semesta ini.
Adik-adik, kali ini kita akan mengenali nama Allah iaitu al-Bashir yang bermaksud Maha Melihat. Dialah yang melihat segala sesuatu sama ada yang zahir mahupun yang tersembunyi. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT:
“Sesungguhnya Allah Maha Melihat apa-apa yang kamu kerjakan.” (al-Baqarah: 110)
Jadi, bagi yang telah dianugerahkan Allah nikmat melihat, wajib untuknya menyaksikan kekuasaan dan kebesaran Allah dan jangan bersikap seperti orang-orang yang buta tidak dapat melihat sesuatu.
Allah telah mengingatkan kita mengenai hal ini dalam firman-Nya:
”Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai mata.” (Ali Imran:13)
Oleh itu, kita mesti menggunakan nikmat melihat ini pada segala bentuk kebaikan seperti membaca ilmu yang bermanfaat, melakukan amal-amal soleh, melihat orang yang lemah dan susah lalu membantunya, melihat orang yang dizalimi dan menolongnya, melihat kezaliman dan mencegahnya, melihat kemungkaran dan mengubahnya, serta memejamkan mata saat melihat perkara-perkara yang haram.
Kelebihan Berzikir Dengan al-Bashir
  • Allah akan membuka mata dan memberikan taufik-Nya pada setiap perbuatan dan perkataan baik yang dilakukannya.
  • Sesiapa yang berzikir dengan nama ini sebanyak 100 kali di antara dua rakaat solat fajar dan solat Subuh pada hari Jumaat, maka Allah akan mengkhususkan dirinya dengan pandangan perhatian dan sesiapa yang memperbanyakkan membacanya maka Allah akan menyembuhkan pandangannya daripada kelemahan.

No comments:

Post a Comment