Pages

Thursday, February 11, 2010

Syekh Aq Syamsuddin : "Doktor" Fizikal dan Spiritual Usmaniah


Posted By Rijal82 On 11:46 AM Under
Ini bukan kisah yang direka-reka. Sumbernya jelas disebutkan oleh ulama sejarah dari Syria, Syekh Dr Ali Muhammad as-Shollabi. Sama ada kitab asalnya mahupun terjemahannya (Pustaka Al-Kauthar, Indonesia) ada pada saya.

Muhammad bin Hamzah Al-Dimasyqi Ar-Rumi adalah model terbaik ulama Usmaniah yang seimbang penguasaan ilmu syariatullah dan sunnatullah. Ulama keturunan Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan anak didik terpenting Syekh Bayram ini jelas menjadi "Al-Fateh Al-Ma'nawi" yang meneruskan tradisi hukum alam dan hukum kemenangan Islam iaitu kukuhnya institusi ulama di belakang setiap reformis dan mujaddid yang dilahirkan di atas pentas perjuangan Islam dalam lipatan sejarah.

Jika Syekh Abdullah Yasin memainkan peranan kepada Yahya bin Ibrahim dalam penegakan Daulah Murabithun, Qadhi al-Fadhil kepada Sultan Salahuddin dalam penegakan Daulah Ayubbiah, maka demikianlah Syekh Aq Syamsuddin kepada Muhammad al-Fateh. Tribute kepada peranan beliau kepada Muhammad al-Fateh dibabkan secara khusus oleh Syekh As-Sollabi.

Syekh Aq Syamsuddin bukan sekadar menjadi guru pakar dalam pengajian Al-Quran, As-Sunnah An-Nabawiyyah, Fiqh Islami sahaja, bahkan beliau adalah ulama lingustik yang bertanggungjawab mengajar Sultan Muhammad bahasa Arab, bahasa Parsi dan bahasa Turki pada masa itu. Beliau juga tidak terhenti kepakaran setakat itu, kepakarannya dalam ilmu Matematik (Hisab), ilmu Astronomi (Falak), ilmu sejarah (Tarikh) serentak telah banyak mematang paradigma baru dan membuka minda strategis Sultan Muhammad dalam misinya menawan Konstantinopel.

Lebih dari itu, As-Sollabi menyebutkan bahawa Aq Syamsuddin jugalah mengajar Muhammad seni peperangan dan asas-asas syariah dalam pertempuran. Dalam bahasa sekarang, ia dipanggil 'sains politik' dan 'sains ketenteraan' atau 'the art of war'. Aq Syamsuddin juga mengajar Muhammad bukan sekadar intelegensia dalam memenangi pertempuran, lebih dari itu bagaimana mengisi kemenangan. Asy-Sollabi menyebutkan : "Dia termasuk ulama yang membimbing Sultan Muhammad ketika beliau mentadbir Magnesia untuk belajar tatacara pemerintahan dan pokok-pokok ilmu pentadbiran." Dalam bahasa sekarang, ia disebut sebagai sains kenegaraan dan ilmu pengajian am.


Dalam tulisan saya sebelum ini mengenai Syekh Aq Syamsuddin, saya membuktikan bagaimana Syekh ini bukan sekadar seorang orator fuqaha yang hebat, lebih dari itu seorang 'motivator' yang membina dan membakar semangat anak muda seperti Sultan Muhammad.

Bahkan lebih dari itu, saksikan kepakarannya dalam ilmu perubatan, sains botani dan biologi.

"Syekh Syamsuddin bukan hanya mempunyai keilmuan yang luas dalam agama dan penyucian jiwa sahaja, bahkan pada masa yang sama sangat ahli dalam masa perubatan herba. Hingga kemasyhuran beliau dalam bidang perubatan herba menjadi bualan kalangan manusia, sehingga ada yang menyatakan : "Sesungguhnya tumbuh-tumbuhan itu sedang berbicara dengan Syekh Aq Syamsuddin. (rujuk Al-Usmaniyyun fi Al-Tarikh wal Hadharah, halaman 375).

Imam Asy-Syaukani mengatakan : "Beliau ahli bukan sekadar dalam rawatan jasad, bahkan dalam rawatan jiwa. Beliau memiliki kepedulian terhadap penyakit jasmani, sama dengan kepeduliannya kepada penyakit hati dan rohani." (rujuk Al-Badr Al-Thalli, vol 1/166)

Syekh menulis kitab yang dia berikan judul Maadatul Hayaat. Dalam kitab tersebut, Syekh mengatakan "Sangat keliru jika dikatakan bahawa penyakit-penyakit itu menyerang manusia dengan sendirinya. Padahal penyakit-penyakit itu berpindah dari satu orang ke orang lain dengan cara menular. Penularan ini sangat kecil dan halus, hingga tidak mampu dilihat oleh mata keranjang. Penularan ini terjadi kerana adanya KUMAN yang hidup." (rujuk Al-Usmaniyyun fi Al-Tarikh wal Hadharah, halaman 376).

Dengan pengalaman ini, maka Syekh telah mendefinisikan kuman pada abad kelima belas Masihi lagi !!! Dia orang pertama yang melakukannya. Saat itu belum ada apa yang disebut sebagai mikroskop. 14 abad setelah zamannya, muncul seorang ahli kimia dan biologi berasal dari Perancis iaitu Louis Pasteur melakukan penelitian dengan hasil yang sama dengan apa yang ditemukan oleh Syekh Aq Syamsuddin.


Syekh Syamsuddin sangat peduli terhadap penyakit kanser dan menulis buku tentang hal ini. Dalam bidang kedoktoran, Syekh Syamsuddin telah menulis dua kitab penting iaitu Maadat al-Hayaat dan Kitab Ath-Thibb. Dua buku ini beliau tulis dalam bahasa Turki dan Usmani. Syekh Syamsuddin memiliki tujuh kitab kesemuanya dalam bahasa Arab iaitu : Hallul Musykilaat, Ar-Risalah An-Nuriyyah, Maqaalatul Awliyaa', Risalah fi Zikrillah, Talkhish al-Mataa'in, Daf'u Al-Mataa'in, Risalah fi Syarhi Haaji Bayaram Wali." (rujukan Ibid : hlmn 375)


Demikilan seorang ulama sufi, bukan sekadar haraki (mujahid), bahkan seorang 'doktor' kesihatan. Tajuk-tajuk kitabnya sudah memadai memberikan gambaran integrasi ilmu duniawi dan ukhrawi yang ada pada beliau dan para ulama Usmaniah.


Sebab itu tidak perlu pelik jika 250,000 tentera Al-Fateh ketika sedang mara ke Konstantinople, stamina mereka berada pada tahap yang sangat dahsyat dan luarbiasa. Walaupun tidak ada satupun buku sejarah menggazetkan hipothesis saya ini, namun berani saya nyatakan kerana ia juga berpunca dari penjagaan aspek pemakanan, penjagaan dari penyakit berjangkit dan wabak hantaran musuh serta tahap kesihatan Sultan Muhammad dan tenteranya di tahap maksimum. Lantaran ulama yang berada di sekeliling tentera bukan sekadar doktor "spiritual," bahkan doktor "fizikal" mereka.

Keadaan di empayar Turki Usmaniah zaman itu yang membabitkan banyak penyakit menular serta bencana alam yang banyak berlaku menyebabkan para ulama ketika itu tidak memisahkan diri mereka dari menguasai ilmu-ilmu - seperti ilmu botani dan geografi - yang mampu membentengi ummah saat itu dari bersikap jahil terhadap realiti dan fakta semasa mahupun keadaan-percaturan licik musuh seperti senjata biologi (boleh lihat Red Cliff 2 sebagai pengajaran bahayanya senjata biologi. Hari ini senjata ini AS gunakan ke atas dunia ketiga dan umat Islam sebagai salah satu kaedah baru 'peperangan' mereka).

Pelikkah dengan kelebihan yang dianugerahkan Allah kepada Syekh Aq Syamsuddin ? Adakah anda kenal siapa lagi yang seperti Aq Syamsuddin pada era Sultan Muhammad ini ? Bagaimana mereka mewarisi sikap dan tradisi ilmu ini dari Abbasiyah walhal Abbasiyah hampir lebur dirobek Darul Hikmah dan khazanah ilmuannya oleh Hulagu Khan ?

Anda tidak perlu pelik dengan Aq Syamsuddin. Saya berikan jawapan kepada anda sebelum sindrom "hero worshipping" membuta melanda bicara bibir anda.

Inilah manifetasi dari kukuh sistem pendidikan Islam era Usmaniah khususnya dalam madrasah 'training for trainers' yang melahirkan para ulama mereka yang hebat-hebat dalam lipatan sejarah. Saya akan buktikan dalam buku saya nanti bagaimana ketatnya pemilihan, disiplin pengajian dan pengiktirafan ulama oleh Usmaniah melalui karangan Halil Inalchik - yang memetik dari Ottoman encyclopaedist, Taskopruluzade Ahmed (1495-1561) - dalam bab "intellectual sciences & spiritual sciences of Ottoman medresses" (topik besarnya Chapter XVI Learning, The Medrese and The Ulema).

Sumber :
www.read1453.blogspot.com
"Bab Kuasa Sentuhan Ulama, Buku Kuasa Kepemimpinan Muhammad Al-Fateh" (akan muncul di pasaran tidak lama lagi)

No comments:

Post a Comment