Pages

Thursday, February 18, 2010

Siasatan Guan Eng, Hian Wah didakwa hasut hampir selesai

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Siasatan membabitkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah yang didakwa menghasut berhubung kematian Teoh Beng Hock, pada tahun lalu kini hampir selesai.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya bagaimanapun masih menunggu keterangan daripada beberapa orang saksi yang boleh melengkapkan kertas siasatan tersebut.

Menurutnya, sehingga kini, saksi-saksi terbabit tidak mempunyai masa yang sesuai untuk datang memberi keterangan dan berkemungkinan mereka berada di luar negara.

"Kes membabitkan Guan Eng dan Hian Wah boleh dikatakan hampir selesai. Kita hanya menunggu beberapa saksi yang dipercayai berada di luar negara untuk dirakamkan percakapan mereka," katanya ketika ditemui pemberita di Perasmian Pondok Polis Taman Ampang Utama, Ampang di sini hari ini.

Hian Wah dalam satu laporan akhbar berbahasa Inggeris Disember lalu meminta polis supaya menghentikan segera siasatan ke atas Guan Eng di bawah Akta Hasutan.

Polis sebelum ini menjelaskan, Guan Eng mungkin diambil tindakan mengikut Akta Hasutan kerana mengeluarkan kenyataan kononnya Beng Hock yang merupakan setiausaha politik kepada Hian Wah mati kerana dibunuh.

Guan Eng didakwa mengeluarkan kenyataan tersebut pada satu konvensyen pakatan pembangkang pada tahun lalu.

No comments:

Post a Comment