Pages

Tuesday, February 2, 2010

Sains Buktikan Sembelih Cara Islam Adalah Yang Terbaik

Assalammualaikum w.b.t

Barat termasuk aktivis hak asasi haiwan menganggap perbuatan menyembelih haiwan
yang dilakukan umat Islam mempamerkan sikap tidak berperikemanusiaan kerana
banyak darah tertumpah ke bumi terutama ketika amalan korban pada Aidiladha.

Malah, ketika kempen keganasan sibuk dilancarkan oleh Barat, mereka menggunakan
alasan amalan korban ini sebagai satu daripada hujah mereka bagi membuktikan
betapa Islam mengajar umatnya menjadi ganas.

Di Barat, undang-undang mereka memperuntukkan supaya haiwan dikenakan kejutan
elektrik di kepala sebelum dibunuh, kononnya bagi memastikan haiwan itu pengsan
terlebih dulu sebelum ia dibunuh.

Selain itu, kononnya tindakan mereka itu bertujuan untuk menghalang binatang
berasa sakit sebelum ia mati.

Tetapi sekali lagi apakah pandangan Barat ini benar?

Pendirian Islam mengenai apa yang boleh dimakan dan apa yang diharamkan adalah
jelas terutama membabitkan daging.


Dalam Surah al-Maidah ayat 5, Allah menyatakan:

“Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, dan darah, dan daging babi, dan
binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati
tercekik, dan mati dipukul, dan mati jatuh, dan mati ditanduk, dan yang mati
dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih, dan yang disembelih
atas nama berhala.” (Tafsir al-Rahman, Jakim).

Selain itu, Islam juga mengharamkan memakan daging haiwan tanpa disembelih
seperti mencucuk leher, menghempap dengan batu atau cara selain daripada
sembelihan.

Islam mengajar supaya sembelihan dilakukan dengan pisau tajam bagi memotong
bahagian leher untuk memutuskan dua urat utama atau urat mareh. Kaedah ini
dikaji pakar Jerman.

Pakar itu, Profesor Wilhelm Schulze dan rakannya, Dr Hazim di Sekolah Perubatan
Veterinar, Universiti Hannover, Jerman, mencari kaedah terbaik proses mematikan
haiwan bagi mendapatkan daging yang bersih dan segar.

Kajian itu bertajuk, “Cubaan untuk mengesan kesakitan dan rasa sedar mengikut
kaedah konvensional dan agama ketika menyembelih lembu atau kambing”,
menyimpulkan kaedah Islam terbaik kerana lebih berperikemanusiaan..

Mereka menyimpulkan bahawa amalan mengenakan kejutan elektrik ke atas haiwan
sebelum dibunuh seperti yang diamalkan oleh Barat, mendatangkan kesakitan yang
amat sangat pada haiwan.

Dalam kajian itu, beberapa alat pengesan dipasang di pelbagai tempat pada otak
haiwan. Alat itu dimasukkan menerusi pembedahan khas dan haiwan terbabit
dibiarkan untuk pulih selama beberapa minggu.

Beberapa ekor haiwan itu disembelih mengikut kaedah Islam menggunakan tindakan
pantas, memotong urat leher dengan pisau tajam. Beberapa ekor haiwan lain
dibunuh mengikut kaedah barat menggunakan Pistol Kejutan (CBP).

Ketika ujian dijalankan, rekod electroencephalogra ph (EEG) dan
electrocardiogram (ECG) dicatatkan bagi mengetahui keadaan otak dan jantung
semua haiwan terbabit ketika proses penyembelihan dan kaedah CBP.

Hasil ujian mendapati menurut kaedah Islam, tiga saat pertama ketika disembelih,
EEG tidak mencatatkan sebarang perubahan pada graf sama seperti sebelum
penyembelihan.

Keadaan itu membayangkan bahawa haiwan itu tidak berasa sebarang kesakitan
ketika atau sebaik saja pisau memotong urat leher terbabit.

Untuk tiga saat kedua, EEG mencatatkan keadaan tidur lena atau tidak sedar diri.
Ini disebabkan banyak darah mengalir keluar dari badan.

Selepas enam saat, EEG mencatatkan paras sifar, menunjukkan haiwan itu tidak
merasai sebarang kesakitan.

Ketika mesej otak (EEG) jatuh ke paras sifar, jantung masih mengepam dan badan
haiwan masih dapat bergerak akibat tindak balas daripada saraf tunjang,
menyebabkan semua darah keluar dari badan haiwan menghasilkan daging yang
selamat untuk dimakan, menurut penyelidikan itu.

Bagaimanapun, ketika mengkaji kaedah CBP, haiwan dikesan terus pengsan sebaik
saja menerima tembakan CBP dan EEG menunjukkan bacaan amat sakit pada haiwan
itu.

Jantung haiwan itu berhenti berdenyut lebih awal selepas terkena kejutan
berbanding haiwan yang disembelih. Keadaan itu menyebabkan banyak darah masih
terkumpul dalam daging dan ia sebenarnya tidak selamat untuk dimakan.

Kajian terbaru juga menunjukkan kaedah mematikan haiwan yang digunakan oleh
Barat dan bukan Islam, turut dikatakan menjadi punca kepada penularan wabak
penyakit lembu gila daripada haiwan kepada manusia.

Kaitan ini didedahkan menerusi kajian yang dijalankan oleh Universiti Texas A&M
dan Agensi Pemeriksaan Makanan Kanada. Ia menyatakan, kaedah kejutan pneumatik
(iaitu menembak bola besi ke otak lembu diikuti dengan mengenakan tekanan udara
tinggi) menyebabkan kerosakan tisu otak serta saraf tunjang haiwan itu.

Laporan ini amat menggemparkan kerana tisu otak dan saraf tunjang adalah
bahagian yang paling terjejas teruk kerana dijangkiti penyakit lembu gila dan
apabila ia hancur akibat kaedah berkenaan, bakteria serta protein penyakit lembu
gila akan merebak ke daging..

Malah, lebih menggemparkan, kaedah ini digunakan ke atas 30 hingga 40 peratus
lembu yang dimatikan untuk diambil dagingnya di Amerika Syarikat.

Malah, kajian lain yang dijalankan di seluruh dunia juga mendapati daging
menjadi lebih lembut berbanding daging yang tidak disembelih menurut Islam
seperti ujian yang dijalankan ke atas ayam sembelih dan tidak sembelih.

Kajian terbabit jelas membuktikan bahawa penyembelihan menurut kaedah Islam
adalah cara yang terbaik bukan saja untuk kebaikan haiwan itu sendiri tetapi
juga memberi manfaat kesihatan kepada manusia.

Selain itu, Islam mengenakan beberapa langkah lain bagi memastikan penyembelihan
ini dapat disempurnakan dengan lebih baik.

Dalam aspek ini, Nabi Muhammad SAW pernah mengarahkan supaya sentiasa belas
kasihan terhadap haiwan dengan memastikan pisau yang digunakan benar-benar tajam
bagi mengurangkan rasa sakit.

Islam menjelaskan, proses menyembelih perlu dilakukan dengan pantas bagi
memutuskan salur darah ke saraf otak kerana saraf ini yang menghantar mesej
kesakitan kepada otak.

Dengan itu, haiwan tidak akan berasa sakit ketika disembelih. Pergerakan dan
kekejangan yang berlaku selepas haiwan itu disembelih, bukan akibat kesakitan
tetapi akibat denyutan diikuti keadaan tenang.

Proses itu menyebabkan darah dikeluarkan dari badan sepenuhnya, kata Dr Aisha
El-Awady, yang menulis dalam Islamonline pada 2003.

Selain itu, Sunnah Nabi Muhammad SAW juga menegaskan, adalah tidak wajar
seseorang penyembelih, menajamkan pisaunya di depan haiwan yang akan disembelih
atau menyembelih seekor haiwan itu di depan haiwan lain.

Menjelaskan lagi proses penyembelihan Islam, Dr Aisha menyatakan, kaedah Islam
juga memastikan saluran udara, kerongkong dan dua urat leher dipotong tanpa
menjejaskan saraf tunjang.

Kaedah ini membolehkan darah keluar membuak-buak dari badan haiwan dan
menghasilkan daging yang bersih.

“Jika saraf tunjang terputus, fiber saraf ke jantung akan rosak menyebabkan
jantung terhenti dan darah akan terkumpul di dalam daging. Darah perlu
dikeluarkan sepenuhnya sebelum kepala dicerahkan. Keadaan ini akan membersihkan
daging itu kerana darah bertindak sebagai perantara kepada mikro organisma,”
kata Aisha dalam kajiannya.

Dengan bukti ini, seharusnya aktivis hak asasi Barat berkempen supaya
menggunakan kaedah Islam ketika proses penyembelihan serta mensasarkan kecaman
mereka terhadap kaedah selain daripada Islam yang terbukti kejam dan tidak
berperikemanusiaan. "

Al Anbiyaa’ ayat 105
Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan
sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: "Bahawasanya bumi itu akan diwarisi
oleh hamba-hambaKu yang soleh".

No comments:

Post a Comment