Pages

Sunday, February 21, 2010

Ringankan beban kanak-kanak, keluarga mangsa ISA

Azamin Amin
Tue | May 26, 09 | 11:00:54 am MYT

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Hrkh) - Harakah dan Gerakan Mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (GMI) sedang giat mengumpulkan dana untuk disalurkan kepada keluarga mangsa ISA yang ditahan di Kamunting sejak bertahun lamanya.
Iklan




"Ayah dikurung di Kamunting, ibu terpaksa mencari nafkah, lebih malang anak-anak tercicir dari sekolah malah ada yang tidak mengenal huruf."

Begitulah antara 'rangkap' keperitan yang dilalui oleh mereka khususnya kanak-kanak tidak berdosa yang tidak mengerti apa-apa tentang kezaliman akta tersebut terhadap ayah mereka.

Justeru, Ketua Pengarang Harakah dan Harakahdaily Ahmad Lutfi Othman memohon jasa baik dan simpati orang ramai untuk sama-sama membantu, paling tidak sedikit untuk meringankan beban perbelanjaan persekolahan kanak-kanak ini yang perlu diberi perhatian oleh seluruh masyarakat di negara ini yang prihatin terhadap tanggungjawab meneruskan pelajaran demi masa depan mereka.

"Yuran, buku sekolah, pakaian dan bayaran pengangkutan menjadi beban besar kepada keluarga mangsa ISA kerana ketua keluarga, ayah mereka tidak dapat melaksanakan tanggungjawab itu. Ada yang tiada sumber pendapatan malah, terpaksa mencari sesuap nasi dengan pelbagai cara yang menyulitkan.

"Demi masa depan mereka, saya meminta jasa baik orang ramai supaya dapat menghulurkan bantuan dana untuk diagihkan kepada mereka yang tidak bernasib baik," kata Ahmad Lutfi yang menghubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Ahmad Lutfi berharap dengan sumbangan dana dan apa jua bantuan orang ramai itu dapat mengembalikan dan menyuntik semangat keluarga mangsa ISA untuk meneruskan persekolahan anak-anak mereka sekaligus matlamat untuk melihat kanak-kanak tidak berdosa ini berjaya dalam pelajaran dan mengubah masa depan keluarga tercapai.

Bagi yang ingin menghulurkan bantuan,bolehlah dimajukan dana tersebut ke HARAKAHDAILY DOT COM akaun Maybank 564070000336.

Segala simpati dan sumbangan diberi, hanya Allah yang membalasnya. - azm _

No comments:

Post a Comment