Pages

Sunday, February 21, 2010

Luahan Hati Isteri Mangsa ISA - Kekejaman Pak Lah

Mar 19, '08 6:35 PM
for everyone
Category: Other
Seruan kepada Menteri Dalam Negeri yang baru: Bebaskan semua tahanan ISA
Isteri Tahanan ISA
Wed | Mar 19, 08 | 4:21:52 pm MYT

"Pak Lah dah tak tahan kena kutukan orang yang dia zalimi (tahanan ISA). Bagi peluang kat Syed Hamid pulak.." Begitulah tajamnya kata-kata dari salah satu SMS yang saya terima, sebagai respons terhadap pengumuman kabinet baru Perdana Menteri Abdullah Badawi, semalam.

Rasanya kita semua masih belum lupa bahawa Perdana Menteri Abdullah Badawi @ Pak Lah adalah Menteri Dalam Negeri, sebelum Pilihan raya Umum Ke-12, baru-baru ini. Pak Lah memang seorang menteri yang suka mencipta rekod baru dalam pemerintahannya. Sebelum PRU ke-12, beliau telah mencipta rekod sebagai seorang Menteri Dalam Negeri yang paling lama "menyimpan" Tahanan ISA di Kem Kamunting, bagi abad ke-20 ini. Buktinya, ketika ini, masih ada seramai hampir seratus rakyat Malaysia berbilang bangsa, Melayu, Cina dan India, ditahan tanpa dibicarakan di Kem itu, termasuk 20 orang yang penahanan mereka sudah masuk tahun keenam!

Rekod zalim Abdullah dicipta pada pada bulan Februari tahun 2008 ini, bila beliau telah melanjutkan penahanan 5 orang tahanan ISA yang sudah cukup enam tahun, kepada dua tahun berikutnya, untuk mencukupkan lapan tahun pada tahun 2010 nanti. Lima orang tahanan itu ialah Yazid Sufaat, Dr Abdullah Daud, Suhaimi Mokhtar, Shahrial Sirin dan Abdullah Minyak Silam. Mereka berlima yang ditahan pada akhir tahun 2001, dituduh sebagai ahli Jemaah Islamiyyah (JI) dan kesemuanya tidak pernah dihadapkan di mahkamah untuk mendapat perbicaraan di hadapan hakim yang adil dan berwibawa.

Gangguan SB dan Pegawai Penyiasat

Enam tahun bukanlah satu jangka masa yang pendek. Jika nak disebutkan satu persatu, terlalu banyak kesusahan dan kejahatan yang telah dilakukan atas ihsan Pak Lah @ Menteri Dalam Negeri, ke atas Tahanan ISA dan keluarga mereka. Bukan sekadar membuat penahanan tanpa bicara, Pak Lah, semasa beliau menjadi Menteri Dalam Negeri dulu, merestui perbuatan Pegawai Penyiasat (IO) membuat siksaan dan deraan di luar batas kemanusiaan, semata-mata untuk mendapatkan pengakuan dari Tahanan ISA, seperti di bogelkan dan dipukul hingga lebam. Bukan itu saja, Pak Lah @ Menteri Dalam Negeri dulu, membenarkan @ membiarkan saja polis-polis cawangan khas- Special branch (SB) yang merupakan kakitangan beliau, mengganggu anak isteri yang ditinggalkan oleh Tahanan ISA itu. Isteri sering diganggu SB tanpa mengira masa, siang atau malam. SB turut bertindak memporak perandakan rumah tangga tahanan, hingga ada tahanan yang terpaksa menceraikan isteri masing-masing!

Doa Orang Yang Dizalimi

"Suhaib selalu doa, biarlah semua SB yang selalu mengganggu kita tu, kena langgar lori dan mati hancur..." itulah yang pernah dituturkan oleh beliau, untuk menunjukkan betapa geram, benci dan kecewanya beliau terhadap SB yang selalu mengganggu kehidupannya sekeluarga. Tetapi ayah Suhaib, yang juga Tahanan ISA Mat Sah Mohd Satray, yang akan cukup tempoh penahanannya enam tahun bulan Jun ini, hanya berkata "tak perlulah kita doa macam itu. Allah lebih tahu, apakah balasan dan ganjaran yang paling sesuai ditujukan pada semua mereka yang jahat, tidak berperikemanusiaan dan sedang menzalimi kita".

Rekod baru Pak Lah pada 2008

Siapalah dapat menyangka, dalam masa sepuluh hari semenjak PRU12, Perdana Menteri Abdullah rupanya turut mencipta beberapa rekod baru dalam arena politik di Malaysia terkini, iaitu selain dari rekod beliau melanjutkan penahanan Tahanan ISA yang sedang menghuni Kem Kamunting sekarang dari enam tahun kepada lapan tahun!

Berikut adalah senarai rekod baru yang dicipta beliau selepas PRU12.

Barisan Nasional hanya memenangi majoriti mudah iaitu sekadar 50 peratus saja.

PM Abdullah kehilangan 5 buah negeri kepada pembangkang. Adakah penciptaan rekod baru ini sebahagian dari manifestasi doa orang-orang yang sedang dizalimi oleh Pak Lah? Tidak mustahil.

Aluan untuk Syed Hamid Albar

Sebagai salah seorang yang masih menjadi mangsa Akta Keselamatan Dalam Negeri, ISA, saya juga ingin mengalu-alukan perlantikan Menteri Dalam Negeri yang baru ini dengan doa dan harapan agar ada sesuatu yang berubah terhadap nasib semua Tahanan ISA yang masih ditahan di Kem Kamunting kini.

Saya berharap, menteri yang baru dilantik ini, tidak akan mempunyai sikap yang sama seperti Pak Lah. Ketika Pak Lah menjadi Menteri Dalam Negeri dulu, beliau tidak pernah memberi peluang kepada kami untuk bertemu dan berbincang tentang nasib semua tahanan ISA. Walaupun berpuluh-puluh memo dan faks telah dihantar, pelbagai panggilan telah dilakukan, namun tidak pernah sekali pun semua tindakan itu mendapat jawapan dari pejabat beliau, jauh sekali dari beliau sendiri.

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) satu-satunya badan bukan kerajaan yang diwakili oleh 82 pelbagai NGO dan Parti Politik Barisan Alternatif, masih menyimpan semua rekod dan dokumen mengenai urusan untuk bertemu Pak Lah.

Pak Lah tidak pernah bertemu dengan para Tahanan ISA, tetapi hanya menerima laporan saja dari SB beliau tentang kehidupan semua tahanan tersebut. Kerja Pak Lah hanyalah menandatangani surat lanjutan penahanan. Pak Lah memang seorang yang tidak berperikemanusiaan, tidak berhati perut dan sangat zalim pada rakyatnya sendiri. Tahanan ISA yang sudah ditahan selama enam tahun adalah bukti yang jelas tentang kejahatan dan kezaliman paling dahsyat yang dilakukan oleh beliau.

Saya harap, Menteri Dalam Negeri yang baru dilantik ini, akan berusaha untuk memperbaiki imej jahat dan zalim kementerian itu sama ada mendakwa semua tahanan di Mahkamah atau membebaskan kesemua mereka yang sedang ditahan..

Norlaila Othman, Isteri Tahanan ISA
Pusat Sokongan Keluarga Gerakan Mansuhkan ISA
Taman Keramat KL
19 Mac 2008

No comments:

Post a Comment