Pages

Monday, February 22, 2010

KEJAHATAN IBLIS


Iblis juga makhluk, cuma ia dicipta daripada api, lebih awal daripada manusia. Disebabkan dengkinya dan berasa diri lebih mulia, ia tidak mahu mematuhi perintah Allah SWT supaya memberikan penghormatan kepada Nabi Adam a.s.

Disebabkan sikapnya yang begitu bongkak hingga mengingkari perintah Allah SWT, ia menjadi hamba yang kafir dan disediakan kepadanya neraka yang tidak terperi azabnya.
Ia menerima ketentuan itu walaupun mengetahui akan dimasukkan ke dalam neraka. Jesteru, ia mencari teman daripada keturunan Adam iaitu manusia dengan meminta dua perkara daripada Allah SWT: agar diberikan usia yang panjang iaitu tidak mati sehingga Hari Kiamat dan dibolehkan mengoda semua manusia sepanjang masa.

Perkara ini ada diceritakan dalam Al-Quran. “Setelah selesai kejadian Adam, maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali. Melainkan Iblis. Ia enggan turut bersama mereka yang sujud. Allah SWT berfirman :”Hai Iblis, apa sebabnya engkau tidak turut bersama mereka yang sujud itu?” Iblis menjawab: “Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering, berasal dari tanah lumpur yang berbentuk.”
Allah berfirman: “Kalau demikian, keluarkanlah engkau daripadanya kerana sesungguhnya engkau dari sekarang ke masa depan adalah terkutuk. “ Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknat terus-menerus hingga ke hari kiamat.”

Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan.” Allah SWT berfirman: “Maka sesungguhnya engkau daripada golongan yang diberi tempoh. Hingga ke hari masa yang termaklum.” Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menyesatkan aku, maka sungguh aku akan perhiaskan kejahatan kepada manusia di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hambaMu yang ikhlas diantara mereka.”

Allah SWT berfirman: “ Inilah satu jalan yang lurus, yang tetap Aku memeliharanya. Sesungguhnya hambaKu, tidaklah ada bagimu kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang yang sesat.” (Surah al-Hijr:30-42)

Iblis pandai memujuk rayu untuk menyesatkan manusia, datang pada setiap waktu dari pelbagai penjuru, malah dapat memasuki badan manusia, sehingga berjalan di dalamnya seperti mengalirkan darah, bersembunyi dalam hati dan tinggal dalam akal manusia. Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya syaitan(iblis) berjalan pada manusia di pembuluh darah( semua yang boleh dilalui darah).” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Apabila ia di hati, manusia akan menjadi was-was dan khuatir tidak menentu dalam perkara kebaikan dan gemar kepada yang salah. Jika ia bersarang di akal, manusia akan asyik memikirkan ke untungan peribadi sahaja tanpa memperdulikan hak dan kebajikan orang lain. Demikian juga jika ia bertempat dalam badan atau anggota badan manusia, membuatkan manusia lebih suka kemungkaran, benci kepada ketaatan, gemar kepada perkara yang bertentangan dengan kebenaran. Semua manusia termasuk rasul, nabi, ilmuan dan cendekiawan didatangi iblis, dirayu dan mahu disesatkan. Nabi Adam a.s dapat dirayu oleh iblis hingga membuatkannya terkeluar dari taman keindahan.

Iblis juga memujuk rayu putera Nabi Adam a.s, Qabil sehingga beliau membunuh saudaranya Habil. Hati Zulaikha juga dimasuki iblis hingga merayu Nabi Yusuf. Qarun yang kaya-raya juga tewas dengan pujuk rayu iblis hingga membuatkan beliau berasa sombong, tidak mahu mentaati perintah Allah SWT sehingga beliau dan kekayaannya ditelan bumi. Sehingga hari ini apabila terjumpa harta benda di perut bumi, manusia menggelarkannya harta karun sempena Qarun.
Tujuan iblis ialah supaya manusia mengikuti jejaknya, tidak mentaati Allah SWT dan melanggar segala perintahNya sehingga sama-sama memasuki neraka. “Dan sesungguhnya neraka jahanam itu, tempat yang dijanjikan bagi sekalian mereka yang menurutimu.” (Surah al-Hijr:43)

Kelicikan iblis dapat mengaburi manusia jika imannya pudar, luntur dan tidak dibajai dengan mengingati Allah SWT. Tetapi mereka yang terpedaya dengan iblis semestinya menyesal kemudian hari walaupun pada peringkat awal dibuai keseronokan. Dalam menghadapi orang beribadat misalnya, iblis berusaha dengan menampakkan perbuatan yang baik malah turut berpura-pura turut bersolat. Ia turut melakukan rukun dan perkara sunat dalam solat tetapi lama-kelamaan ia cuba bertenggek di hati orang terbabit.

Tindakan iblis itu menyebabkan orang terbabit berasa was-was terhadap ibadat yang dilakukannya malah disebabkan terpengaruh dengannya sama ada sedar atau tidak setiap pergerakan rukun dipandang remeh sehingga kadangkala tidak begitu sempurna. Bagi suami yang rajin beribadat juga iblis tidak lupa membisikkan tipu dayanya supaya hanya beribadat tanpa melakukan pekerjaan untuk menyara kehidupan keluarga, anak dan isteri. Begitu juga si isteri, dibisikkan supaya sentiasa tidak cukup dengan pemberian suami.

Si miskin ditanamkan iblis rasa kebencian dan iri hati kepada orang berharta sehingga berasa tidak yakin dengan keadilan Allah SWT. Meraka yang hartawan juga dipengaruhi kononnya semua harta terbabit adalah diri sendiri yang punya, jadi tidak perlu diagihkan kepada fakir miskin.

Kesimpulannya, semua manusia tidak terlepas daripada godaan, pujuk rayu dan pengaruh iblis. Kecuali bagi mereka yang kuat iman dapat melepasi godaan itu, manakala yang lemah iman akan terjerumus ke dalam perangkapnya.

No comments:

Post a Comment