Pages

Saturday, February 20, 2010

Hukum Dedahkan Kesalahan Pemimpin

copy & paste dr blog ketayap putih

Hukum Mendedahkan Kesalahan Pemimpin
Hukum mengumpat

Mengumpat ialah mendedahkan sesuatu perkara yang betul-betul ada pada seseorang yang tidak disenangi penghebahannya oleh orang tersebut sama ada perkara tersebut adalah perbuatan atau sifat kejadian.
Hukum asal kepada mengumpat adalah haram kerana dengan mengumpat, aib seseorang muslim itu akan didedahkan kepada orang ramai sedangkan Islam mewajibkan para muslim untuk menyembunyikan aib seseorang.
Namun di dalam beberapa keadaan mengumpat dibenarkan oleh Islam.

Al-Imam Al-Ghazali dan Al-Imam Al-Nawawi[1] mendedahkan kepada kita 6 keadaan perbuatan mengumpat itu dibolehkan oleh Syarak. Kesimpulannya adalah seperti berikut

1. Orang yang dizalimi membuat aduan kepada pihak pemerintah seperti Khalifah dan hakim ataupun kepada orang yang mempunyai kemampuan berkaitan dengan individu yang menzaliminya agar kezaliman itu akan dibanteras.

2. Perbuatan mengumpat itu adalah bertujuan untuk membasmi kemungkaran seperti apabila seseorang berkata kepada orang yang mempunyai kemampuan untuk mengubah kemungkaran “Si Fulan melakukan kemungkaran maka cegahlah ia daripada kemungkaran tersebut”. Namun hendaklah niat mengumpat tadi semata-mata kerana ingin mencegah kemungkaran.

3. Meminta fatwa daripada seorang mufti yang mana orang yang bertanya terpaksa menggunakan umpatan bagi menjelaskan masalahnya kepada sang mufti. Contohnya si penanya bertanya “Ayah saya menzalimi saya kerana sebab begini dan begini. Bagaimanakah cara untuk saya mendapatkan hak saya?”

4. Memberikan peringatan kepada para muslim terhadap kejahatan seseorang agar setiap orang dapat menghindari kejahatannya.

5. Apabila seseorang itu menzahirkan kemungkaran yang dilakukannya. Maka ketika itu tidak mengapa seandainya kita menghebahkan kepada masyarakat kejahatan yang dilakukannya kerana dia sendiri telah pun menzahirkan kejahatannya secara terang-terang. Walaubagaimanapun kejahatan yang dibenarkan untuk didedahkan hanyalah perbuatan munkar yang dilakukannya secara terang-terangan. Adapun kejahatan lain yang dilakukannya secara bersembunyi maka haram hukumnya untuk didedahkan kepada masyarakat umum.

6. Mengumpat dengan tujuan mengenali seseorang. Apabila seseorang individu dikenali dengan sesuatu aib yang ada pada dirinya maka kita boleh menggunakan gelarannya yang merupakan aib tersebut atas tujuan untuk mengenali orang tersebut. Namun kebenaran ini dibolehkan dengan syarat si pemilik aib tersebut tidak merasa marah dengan gelaran aib yang disandarkan kepadanya selepas gelaran tersebut dikenali oleh orang ramai.

Kesimpulan

Hasil daripada 6 keadaan yang dibolehkan mengumpat ini, kita dapati bahawa mendedahkan kezaliman dan kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah UMNO pada hari ini adalah dibenarkan oleh Syarak atas sebab-sebab berikut:

1. Kemungkaran yang dilaksanakan oleh pemimpin UMNO pada hari ini seandainya tidak didedahkan kepada masyarakat, maka masyarakat akan tertipu dengan zahir kebaikan mereka lantas mereka akan memilih UMNO sebagai parti yang memerintah. Namun apabila penyelewengan pemimpin-pemimpin UNMO didedahkan kepada masyarakat, maka ia akan mendorong mereka untuk menggantikan pemimpin-pemimpin lain yang amanah terhadap Islam dan rakyat.

Ini bermakna tindakan mendedahkan kesalahan mereka adalah kerana ingin mengelakkan masyarakat daripada ditimpa oleh kejahatan mereka yang tidak mahu meletakkan Islam sebagai pemutus kepada setiap keputusan negara.

Al-Imam Al Nawawi menyatakan di dalam syarah Sohih Muslim contoh-contoh ghibah dan umpatan yang dibenarkan:
ومنها أن يكون له ولاية لا يقوم بها على وجهها لعدم أهليته أو لفسقه فيذكره لمن له عليه ولاية ليستدل به على حاله
فلا يغتر به ويلزم الاستقامة
Maka kalaulah pada zaman Khilafah Islamiah, seseorang rakyat boleh mendedahkan kepada Khalifah keburukan para menteri yang berada dibawahnya yang tidak amanah dengan harapan khalifah dapat menegurnya ataupun menggantikannya dengan menteri yang baru, maka kita pada hari ini boleh untuk mendedahkan kepada rakyat kezaliman pemerintah dan tidak amanahnya mereka terhadap Allah dan rakyat kerana rakyat berkuasa untuk menjatuhkan pemimpin seperti ini di dalam pilihanraya di bawah sistem demokrasi pada hari ini.

2. Kemungkaran yang dibuat oleh pimpinan UMNO pada hari ini kebanyakannya dibuat secara terang-terangan. Maka ketika itu Islam tidak melarang mana-mana individu untuk mendedahkan kejahatan yang dilakukan secara zahir tersebut kepada rakyat dan orang awam.

Al Iman Al-Ghazali berkata:

وكانوا يقولون ثلاثة لا غيبة لهم الإمام الجائر والمبتدع والمجاهر بفسقه

Maka ini dengan jelas membuktikan bahawa pemerintah yang zalim, mendedahkan kezaliman mereka adalah dibenarkan agar masyarakat dapat selamat daripada kezaliman mereka. Pemerintah yang zalim juga telah pun membuat kezaliman tersebut secara terang-terangan.

Dari konsep kenegaraan pada hari ini, menyelamatkan masyarakat daripada kezaliman pemerintah adalah dengan cara tidak memberikan undian kepada mereka pada musim pilihanraya.

3. Pendedahan kejahatan para pemerintah pada hari kepada masyarakat adalah atas sebab kita ingin meminta bantuan masyarakat untuk mengubah kezaliman pemerintah dengan cara menjatuhkan mereka di dalam sistem demokrasi yang digariskan oleh perlembagaan Malaysia.

Penutup

Walaupun kita dibenarkan mendedahkan kepada rakyat kejahatan dan kezaliman para pemimpin yang zalim, namun keharusan ini hendaklah atas dasar ingin mencegah kemungkaran iaitu membiarkan kuasa penentu adalah ditangan manusia dan bukannya Islam.

Namun, seandainya kemungkaran yang dilakukan oleh para pemimpin adalah kemungkaran yang hanya berkait antara dia dan Allah yang tidak melibatkan sebarang kezaliman kepada insan lain atau rakyat seperti berzina dan minum arak, maka haram hukumnya kita mendedahkan kejahatan yang disembunyikan oleh pemimpin tersebut kerana dengan menyebarkan kepada masyarakat umum, ini akan mendedahkan aib seseorang itu. Selagi mana kemungkaran itu tidak dilakukan secara terang-terangan maka kita tidak boleh mendedahkannya kepada masyarakat.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat kelak.” (Hadis riwayat Muslim)
Menjelaskan mengenai perbuatan mendedahkan keaiban ini, Ibn Hajar dalam Kitab Fath al-Mubin membahagikan manusia kepada dua golongan,
pertama ialah orang yang tidak pernah disebut melakukan kejahatan atau kemungkaran; jika terdengar atau diketahui bahawa mereka melakukan sesuatu kemungkaran, maka tidaklah harus didedahkan atau diperkatakan.Jika tetap diperkatakan atau didedahkan juga kemungkaran yang didengari itu, maka ia menjadi umpat yang hukumnya haram dan amat berat dosanya.
Kedua , orang yang sudah terkenal dengan kejahatan atau kemungkarannya secara terang-terangan, malahan tidak mempedulikan sebarang nasihat diberikan dan tidak malu melakukan kejahatan secara terbuka; harus didedahkan keaibannya. Mendedah dan bercakap mengenai kejahatan mereka dalam situasi ini tidak lagi dianggap mengumpat.
Malah ada kalanya wajib didedahkan kejahatannya kepada orang ramai, supaya mereka sentiasa berwaspada dengan tingkah lakunya kerana jika didiamkan tentulah ia bermaharajalela dan kejahatannya semakin hari akan bertambah sehingga membahayakan masyarakat.
[1] Nas Al-Imam Al-Nawawi adalah seperti berikut:
قال الإمام النووي في شرح مسلم باب تحريم الغيبة:

“والغيبة ذكر الانسان في غيبته بما يكره واصل البهت أن يقال له الباطل في وجهه وهما حرامان لكن تباح الغيبة لغرض شرعي وذلك لستة أسباب

أحدها التظلم فيجوز للمظلوم أن يتظلم الي السلطان والقاضي وغيرهما ممن له ولاية أو قدرة علي انصافه من ظالمه فيقول ظلمني فلان أو فعل بي كذا

الثاني الاستغاثة على تغيير المنكر ورد العاصي إلى الصواب فيقول لمن يرجو قدرته فلان يعمل كذا فازجره عنه ونحو ذلك

الثالث الاستفتاء بأن يقول للمفتي ظلمني فلان أو أبي أو أخي أو زوجي بكذا فهل له ذلك وما طريقي في الخلاص منه ودفع ظلمه عني ونحو ذلك فهذا جائز للحاجة والاجود أن يقول في رجل أو زوج أو والد وولد كان من أمره كذا ومع ذلك فالتعيين جائز لحديث هند وقولها أن أبا سفيان رجل شحيح

الرابع تحذير المسلمين من الشر وذلك من وجوه
· منها جرح المجروحين من الرواة والشهود والمصنفين وذلك جائز بالاجماع بل واجب صونا للشريعة
· ومنها الاخبار بعيبه عند المشاورة في مواصلته
· ومنها اذا رأيت من يشتري شيئا معيبا أو عبدا سارقا أو زانيا أو شاربا أو نحو ذلك تذكره للمشتري اذا لم يعلمه نصيحة لا بقصد الايذاء والافساد
· ومنها اذا رأيت متفقها يتردد إلى فاسق أو مبتدع يأخذ عنه علما وخفت عليه ضرره فعليك نصيحته ببيان حاله قاصدا النصيحة
· ومنها أن يكون له ولاية لا يقوم بها على وجهها لعدم أهليته أو لفسقه فيذكره لمن له عليه ولاية ليستدل به على حاله فلا يغتر به ويلزم الاستقامة

الخامس أن يكون مجاهرا بفسقه أو بدعته كالخمر ومصادرة الناس وجباية المكوس وتولي الامور الباطلة فيجوز ذكره بما يجاهر به ولا يجوز بغيره الا بسبب آخر

السادس التعريف فاذا كان معروفا بلقب كالاعمش والاعرج والازرق والقصير والاعمى والاقطع ونحوها جاز تعريفه به ويحرم ذكره به تنقصا ولو أمكن التعريف بغيره كان أولى والله اعلم”
Ustaz Nasrudin Tantawi

No comments:

Post a Comment