Pages

Saturday, February 6, 2010

DARI AKU UNTUK AKU

DARI AKU UNTUK AKU


Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan air yang sama; dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa, dan baunya) Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang berfikir serta memahaminya.(Al-Rad:4)


Mujahadah ialah permainan kanak-kanak, dan memerhatikan yang Allah ada di mana sahaja adalah perjuangan.

Mungkin telah ramai yang telah dibukakan Allah dalam memahami dan mengamalkannya.

Berkatalah Aku kepada Aku
................Dalam memahaminya, apa yang diharapkan agar engkau menyedari mana satu permainan budak-budak kecil dan mana satu urusan orang-orang tua. Tua-mudanya pula bukan diukur pada umur atau bentuk fizikalnya tetapi bergantung kepada bakat-bakat yang terpendam di A'yan Sabitah. Yang kanak-kanak, ikutlah jalan kanak-kanak. Dengan cakap wali(penjaga/ibu-bapa)engkau. Yang tua ikutlah caranya sendiri, dengan aqal sempurna yang diberikan. Inilah jalan yang lurus, jalan yang tidak dimurkai, jalan yang tidak disesati

Jalan inilah yang kau lafazkan berulang-ulang kali terutama semasa kamu bersholat. Jalan inilah yang kau minta ditunjukkan, minta dilorongkan, minta dibimbingi, dan minta dibukakan dengan berulang-ulang pada setiap hari. Sungguhpun kau tidak nampak dengan jelas jalan itu; sungguhpun kau tidak berapa faham mengenai jalan tersebut, namun yang pastinya kau telahpun diletakkan atas jalan itu. Telahpun diluluskan jalan yang kau lalui itu. Dari dulu lagi kau bertindak, kau bergerak, kau berusaha, kau bertadbir dengan jalan yang diluluskan dan dikhaskan untuk kau.

Sesungguhnya, Ilmu Yang Qadim itu telah Menentukan dan Menetapkan jalan yang akan kau lalui kini. Mana mungkin kelulusan jalan engkau itu boleh berubah dari telah sedia Qadim itu?. Ianya mempunyai Yang Wajibal Wujud(Yang Pasti Ada) pada satu sisi dan yang mumkin pada sisi yang lain. Jika engkau melalui mana-mana sisi, engkau akan dapati WujudNya Allah. Dan ini adalah kekal dalam kekal dan fana dalam fana. Hakikat tidak dicipta oleh Yang Menjadikan; Perbuatan Si Pembuat tidak berlawanan dengan "bakat-bakat" yang terpendam itu.

"Kamu dahulunya mati, maka diberiNnya kamu hidup(Al-Baqarah:28).

Yang engkau nak ikutkan sheikh itu, sheikh ini, guru itu, guru ini,......... ikutlah mereka, tetapi jangan kacau pula urusan orang-orang tua. Mereka tidak ada syeikh yang menjadi tempat ikutan, tetapi bahkan sedang berada dalam keadaan jalan mereka. Biarkan mereka dengan urusan mereka; dengan jalan mereka yang tersendiri. . Budak-budak mana tahu urusan orang tua kerana orang tua jauh fikirannya, banyak perkiraannya dan banyak tanggungjawabnya. Engkau ada jalan yang diuntukkan untukmu tersendiri. Pergilah bermain-main dengan kawan-kawan kau itu. Rasailah keseronokkan permainan itu, tetapi jangan lupa apabila senja nanti, cuci diri dan mandi dengan air itu. Jangan mandi kerbau tahu!!!.

Kata Aku kepada Aku lagi;

Orang tua kerjanya memerhatikan Allah. Dia yakin yang Allah itu wujud dalam tiap-tiap sesuatu. Dia mengamalkan keyakinan tersebut sehingga dikatakan sebagai satu perjuangan untuk menyatukan tiap-tiap sesuatu yang dipandang. Inilah urusan perjuangan mereka. Inilah amalan mereka. Inilah maksud yang cuba di sampaikan oleh seorang Arif;

Barangsiapa menetapkan adab kepada segala waktu, maka sampailah ia kepada Maqam Al-Rijal;

Maqam lelaki yang sebenar-benarnya yakni keadaan orang -orang tua yang berjalan ikut jalannya yang lurus. Dengan menetapkan tiap-tiap sesuatu yang banyak itu menjadi satu dalam waktu itu. Menetapkan Waktu Titik itu, Waktu Tulisan itu dan Waktu Lautan Dakwat itu, semasa A'yan Saabitah dan semasa A'yan Khorijah dalam waktu yang sama, serentak dan pada satu masa jua. Inilah perjuangan, inilah kesempurnaan adab orang-orang tua yang ingin Menyatukan yang banyak menjadi Satu dan melihat Yang Satu itu hal keadaanNya banyak yang tidak terjangkau.

Abu Yazid pernah berkata;

Aku sampai pada Allah dengan dua langkah. Satu kaki atas nafsu(diriku) sendiri, dan satu lagi di lorong yang Dicintai.

Kebanyakan orang berkata ini bererti berlawanan dengan nafsu dan mujahadah???????

Sebenarnya......., satu kaki itu dalam Manifestasi(Tajali) dan yang lagi satu itu dalam wujud keakuan diri. Satu dalam memahami diri dan yang lagi satu dalam memahami Allah. (Siapa yang kenal dirinya, kenallah pada TuhanNya).

Itulah jalan orang-orang tua. Yang engkau nak sibukkan diri dengan permainan kamu itu, sibuklah kerana itu adalah jalan buat kamu, tetapi jangan dikacau dan diganggu urusan orang tua dengan halnya sendiri. Jangan dikata mereka nyanyuk, mereka tidak understanding, tidak proaktif, ketinggalan zaman atau apa-apa perkataan yang kurang beradab untuk mereka hanya dengan kerana mereka tidak mahu ikut bermain-main dengan kau atau hanya kerana kau tidak memahami urusan mereka. Mereka tak pernah menganggu keseronokan engkau, malah kadang-kadang tumpang seronok dengan gelagat kau. Pergi main jauh-jauh, dan jangan diganggu diri mereka itu.

Berkata pula yang lain bagiku; "Hai anakku...jadikan akan amalmu garam dan adabmu tepung."

Si A ada garamnya sendiri dengan guru ghaibnya. Si B ada garamnya sendiri dengan ilmu diri bapak bagindo mukhtarnya, dan si C ada garamnya sendiri dengan inkisyarnya. Si D ada garamnya sendiri dengan Masyayeikhnya. Demikian jua dengan Si E, Si F dan yang lain-lainnya. Sikit sahaja sudah cukup kerana tepung yang adapun tidaklah banyak sangat untuk dibuat kuih..

Alahai, betapa bodohnya aku, betapa bebalnya aku, betapa bengongnya aku, betapa bangapnya kerana menilik-nilik dan berbimbang untuk membanyakkan garam sehingga melupakan sesuatu yang perlu diperbanyakkan. Terkejar-kejar ke sana ke mari, ke hulu ke hilir, ke bukit ke bandar mencari dan melonggokan garam sehingga lupa pada MENGISAR TEPUNG yang perlu diadun menjadikan sesuatu yang mengenyangkan.

Oooooo. begitu.........Patutlah di dalam satu majlis kenduri dulu, seorang tua yang kenyang berisi pernah berkata kepada kawan-kawan yang makan sehidangan dengannya;

Tidak ada wujud melainkan Allah. "Dia" Allah terzhohir dalam bentuk "Aku". Oleh itu memahami "Aku" sendiri adalah memahami "Dia" Allah. Yang Mengetahui dan Yang Diketahui - "Araftu Rabbi birabbi" - Aku kenal Allah dengan Allah.


Disampuk pula oleh yang lainnya;

yang mana mengikut beliau membawa pengertian; "Dan Dialah dalam diri kamu dan kamu tidak nampak Dia"(Az-Zaariyat:21)

Dan mencelah pula seorang yang lain dengan katanya;

Memahami atau mengetahui Allah lebih dulu dari mengetahui diri sendiri.
Dan sebelum beredar mereka sama-sama tersenyum sambil berkata;

• Lupa akan Allah adalah lupa akan diri sendiri.
• Lupa datang kemudian daripada tahu.


Pesan seorang kawan untuk aku;
"Jaga diri baik-baik."

Sebarang kesamaran dan kemusykilan sebaiknya dirujuk kepada mereka yang ahli dalam ilmu ini

LAA HAULAWALA QUWWATAILLA BILLAH

No comments:

Post a Comment