Pages

Sunday, February 7, 2010

Jampi Yang Terlarang

print

Soalan:

Dengan hormat sukacita dipohonkan fatwa berhubung dengan jampi yang digunakan oleh seorang bomoh untuk mengubati pesakit, bagi kegunaan dan rujukan di Bahagian Kawalan Akidah, Jabatan Hal Ehwal Syara‘iah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam.

Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned,
Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam


Jawapan:

Apa itu jampi? Menurut kamus, jampi ialah “kata-kata tertentu yang diucapkan untuk mendatangkan kesaktian seperti boleh menyembuhkan penyakit dan lain-lain.” Jampi diertikan juga dengan mantera.

Jampi itu disebut dalam bahasa Arab sebagai ruqyah. ( )

Pendapat yang mengatakan bahawa jampi itu tidak ada dalam syara‘ atau Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah menjampi adalah dakwaan yang tidak betul, kerana terdapat hadis-hadis yang merujuk bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam pernah dijampi dan menjampi. Antaranya ialah:

Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata: “Apabila Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam mengadu sakit, maka Jibril ‘Alaihissalam akan menjampi Baginda dengan doa. Di antaranya ialah seperti hadis berikut:

Back to top | Print this page

Maksudnya: “Daripada Aisyah - isteri Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam, beliau berkata: “Biasanya apabila Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam mengadu (kesakitan), maka Jibril akan menjampinya dengan ucapan: (Dengan nama Allah, Dia menyelamatkan-mu; dan daripada segala penyakit Dia menyembuhkanmu; begitu juga daripada kejahatan pendengki ketika dia mendengki dan daripada kejahatan setiap yang punya mata).”
(Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis ini dan juga lain-lain hadis seumpamanya, maka ada ulama yang menamakan satu bab khas dalam kitab mereka dengan nama “Bab Berubat dan Menjampi.”

Jika ia dibolehkan, apakah syarat-syaratnya?

Al-Imam Fakhruddin Ar-Razi telah membahas persoalan ini ketika memberi ulasan dan tafsiran mengenai ayat-ayat yang terdapat dalam 2 surah Al-Mu‘awwidzatain (surah Al-Falaq dan An-Nâs). Di samping membentangkan hujah golongan yang mengatakan “boleh menggunakan jampi” beliau juga mengemukakan dalil-dalil daripada kumpulan yang berpendapat sebaliknya. Kemudian Ar-Razi menjawab pendapat yang membantah itu.

Inilah pendapat Ar-Razi, katanya: “Bahawa golongan yang mengharuskan jampi itu menggunakan 8 alasan:

1. Berdasarkan apa yang telah diriwayatkan, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam pernah mengadu kesakitan (kepada Jibril). Maka Jibril ‘Alaihissalam pun menjampi Baginda dengan berkata:

Maksudnya: “Dengan nama Allah aku menjampimu daripada segala sesuatu yang menyakitkanmu. Dia (Allah) menyembuhkanmu daripada segala (kejahatan) mata atau hasad dengki,” atau katanya: “Allah menyembuhkan engkau!”
(Hadis riwayat Imam Ahmad)

2. Ibnu Abbas berkata: “Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam telah mengajarkan kepada kami bagaimana hendak mengelakkan diri daripada semua jenis sakit dan demam dengan doa ini”:


Maksudnya: “Dengan nama Allah yang Mulia, aku berlindung dengan Allah Yang Maha Agung daripada kejahatan peluh yang mendidihkan darah yang keluar dari uratnya, dan daripada kejahatan panas api neraka.”
(Hadis riwayat Imam Ahmad)

3. Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda bermaksud:

“Barangsiapa yang melawat orang sakit, yang menurut pandanganmu bahawa kematian orang itu masih jauh, maka bacalah doa ini sebanyak 7 kali, nescaya dia akan sembuh:

Maksudnya: “Aku mohon kepada Allah Yang Maha Agung, Tuhan yang menguasai Arasy Yang Agung agar Allah menyembuhkan kamu.”
(Hadis riwayat Abu Daud, Al-Hakim, At-Tirmidzi dan An-Nasa’i daripada Ibnu Abbas).

Back to top | Print this page

4. Dalam sebuah hadis daripada Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha menceritakan bahawa apabila Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam menziarahi orang sakit, maka Baginda (menjampi) dengan membaca doa ini:

Maksudnya: “Hilangkanlah segala kesusahan wahai Tuhan yang menjaga manusia. Sembuhkanlah (dia). Engkaulah Penyembuh, tiada penyembuh selain penawarMu. Penawar yang tidak meninggalkan (saki-baki) penyakit.”
(Hadis riwayat Bukhari)

5. Berdasarkan hadis riwayat daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhu beliau berkata “Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam itu sentiasa memper-lindungkan cucu Baginda, Hasan dan Husain dengan membaca doa ini:


Maksudnya: “Aku berlindung kamu berdua dengan semua kalimah Allah yang sempurna daripada kejahatan tiap-tiap syaitan dan binatang yang melata dan daripada pandangan yang bermaksud jahat (penyakit ‘ain).”
(Hadis riwayat Bukhari)

Doa yang sama juga telah dibacakan oleh Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam untuk melindungi kedua-kedua anak Baginda Nabi Ismail dan Nabi Ishak.

6. Utsman bin Abu Al-‘Ash As-Saqqafi berkata: “Saya telah pergi bertemu Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam, sedang pada masa itu saya mengalami suatu penyakit yang agak berat, maka Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Usapkan tangan kananmu pada tempat yang sakit itu dan jampilah dengan doa ini sebanyak 7 kali.


Maksudnya: “Dengan nama Allah, aku berlindung dengan kemuliaan Allah dan kekuasaanNya daripada kecelakaan yang aku alami.”
(Hadis riwayat Nasâ’i)

Maka saya pun melakukan seperti yang diajarkan oleh Rasulullah itu, lalu Allah Ta’ala menyembuhkan saya.”

7. Diriwayatkan dalam Shahîh Ibnu Huzaimah, Sunan An-Nasa’i dan Sunan Abu Daud bahawa apabila Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam musafir, ketika bertemu dengan malam, Baginda menjampi dengan berkata:


Maksudnya: “Wahai bumi, Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah, aku berlindung kepada Allah daripada kejahatanmu dan kejahatan yang ada padamu, kejahatan yang dijadikan padamu, serta kejahatan apa yang melata di atasmu, aku berlindung dengan Allah daripada kejahatan-kejahatan singa, ular, kala jengking, dan daripada kejahatan penghuni negeri serta apa-apa juga kejahatan iblis dan syaitan.”

8. Dalam hadis yang diriwayatkan dari-pada Sayyidatina Aisyah Radhiallahu ‘anha menyebutkan bahawa: “Apabila Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam duduk di tempat tidurnya pada setiap malam, Baginda menadah tangan dengan menghimpunkan kedua tangannya dan meludah padanya serta membaca:


kemudian Baginda menyapu kedua tangan Baginda ke seluruh badannya dengan memulai dari kepala dan muka Baginda. Baginda melakukan sebanyak tiga kali.”

Pengarang kitab At-Tadâwi bi Al-Qur’ân berkata: “Para ulama telah sepakat mengatakan tentang harusnya melakukan jampi apabila berhimpunnya tiga syarat berikut ini:

• Kalimat-kalimat jampi itu mestilah terdiri daripada perkataan-perkataan Allah Ta‘ala, nama-namaNya ataupun sifat-sifatNya.

• Sebaik-baiknya ialah dalam bahasa Arab, ataupun sebarang bahasa yang boleh difahami maksudnya.

• Hendaklah diingat dan disedari dari segi aqidah bahawa jampi itu tidak memberi apa-apa kesan. Kesan yang berlaku itu adalah daripada ketentuan dan takdir Allah Ta‘ala jua.

Perubatan dengan menggunakan jampi-jampi adalah diharuskan selama mana ia tidak bertentangan dengan kehendak syara‘.

Dengan berpandukan syarat-syarat menjampi yang disebutkan di atas, maka mudahlah bagi kita menilai jampi yang diharuskan dan jampi yang ditolak mengikut sukat-sukat hukum syara‘.

Setelah meneliti kandungan catatan tawar-tawar atau jampi-jampi sebagaimana yang dikemukakan, saya mendapati sebahagian besar daripadanya tidak dapat difahami dan bahkan mengandungi kata-kata yang tidak selaras dengan jalan aqidah. Misalnya:

(i) Puku Tawar:

“Aku lazat Allah, terdiri daripada Allah
Muliaku Mulia Allah,
Kayaku Kaya Allah
Kuatku Kuat Allah”

Ulasan:

Perkataan ‘lazat’ bererti sedap atau enak atau seronok. Lazat dalam bahasa Minangkabau bermakna teruk atau penyakit berat atau penyakit raja singa.

Apabila dihubungkan makna-makna ‘lazat’ itu dengan “Aku lazat Allah”, tidak boleh difahami maksudnya, apabila dilanjutkan lagi ungkapan: “Terdiri daripada Allah” juga tidak

dapat difahami. Pada dasarnya ungkapan-ungkapan seperti ini dan banyak lagi yang terdapat di dalam buku catatan jampi berkenaan tidak memberikan makna jampi atau doa bahkan lebih jauh sudah menyangkut perkara-perkara aqidah yang terlarang.

Dalam tawar di atas juga menyebut:

“Muliaku mulia Allah

Kayaku kaya Allah
Kuatku kuat Allah”

Ungkapan-ungkapan seperti ini boleh membawa makna bahawa si penjampi berkenaan menyifatkan kemuliaannya, kekayaannya serta kekuatannya adalah sebanding atau sama dengan kemuliaan, kekayaan serta kekuatan Allah Subhanahu wata‘ala. Jika benar begitu, maka kata-kata sedemikian ini tidak syak lagi membawa kepada syirik, menyekutukan Allah Subhanahu wata‘ala. Wal ‘iyâdzubillâh.

(ii) Doa Nabi Allah Yusuf (hal. 4)

“Bismillah, Nor Allah, Mani Allah Menikam di dadaku
Jika kau ...... Malam nampak kau berbandam,
Jika kau ...... Siang nampak kau bercahaya
Berkatku Memakai doa’ Allah Yusuf
Berkat la ela ha Allah(3x)”

Ulasan

Dalam doa di atas ada tersebut perkataan “mani Allah”. Dalam kamus, “mani” itu bererti air dan benih yang terpancut keluar daripada alat kelamin lelaki atau haiwan jantan ketika bersetubuh (mengawan) atau apabila mencapai puncak syahwat. Jika itulah yang dimaksudkan, maka bererti si penjampi telah menyandarkan kepada Allah itu sesuatu perkara yang dianggap bertentangan dengan aqidah, iaitu perkara yang hanya berlaku ke atas atau untuk makhluk sahaja. Sayugia diingat bahawa salah satu sifat wajib bagi Allah Subhanahu wata‘ala itu ialah: Tiada sesuatu yang serupa atau menyamai Allah Ta‘ala sebagaimana firmanNya:


Tafsirnya: “Tiada sesuatupun yang sebanding atau serupa denganNya (dzatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya), dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
(Surah Asy-Syûra: 11)


Tafsirnya: “Dan tidak ada sesiapapun yang setara denganNya.”
(Surah Al-Ikhlâsh: 4)

Menilai kepada zahir ungkapan, doa yang dikatakan sebagai doa Nabi Allah Yusuf ‘Alaihissalam di sini, adalah amat meragukan.

Kemudian dari segi ungkapan-ungkapannya juga didapati seolah-olah ada interaksi atau perhubungan dua hala antara bomoh (penjampi) dengan pihak lain, tetapi siapakah dia tidaklah diketahui, seperti contoh ini:

(i) Doa Nabi Allah Yusuf (hal. 4):

“Jika kau… Malam nampak kau berbandam”.

(ii) Kehendak Diri (hal. 9):

“Hie…… Malaikat kasi bin,
Sasatkan hati si anau kepada diaku”

(iii) Pesan Mimpi (hal. 7):

“Ya Roh ku Ya Rohmu
Aga olehmu Roh se…”

(iv) Doa menundukkan hati orang yang panas/marah (hal. 12):

“Aku pesuruh Allah kau pesuruh Adam.”

(v) Tawar Burut (hal. 16):

“Lucu luci batang bertambah-tambah
Aku yang bersalah aku yang kau sambah,
Aku yang berdosa aku yang kau puji,”

Ungkapan-ungkapan ini tidak dapat difahami dengan jelas di samping menimbulkan kewahaman ianya bertentangan dengan aqidah umat Islam. Misalnya ungkapan ini:

“Aku pesuruh Allah kau pesuruh Adam”

Walaupun sesetengah jampi berkenaan ada diselitkan beberapa ayat al-Qur’an, namun ianya (jampi-jampi itu) tidaklah boleh diterima, kerana ayat-ayat yang diselitkan itu tidak tepat sebutannya serta salah ejaan dan ditulis pula dengan huruf Rumi. Di samping itu ungkapan-ungkapannya banyak yang tidak difahami dan meragukan. Contohnya:

(i) Jampi Penumbuk (hal. 8):

“Ja lika luman as iara ban”.

Kemungkinan ia diiqtibâs daripada:
( )

surah Al-Baiyinah, ayat 8.

(ii) Berjalan di dalam air (hal. 2):

“Bismillah…cumum bekumun ummuyun”.

Kemungkinan ia diiqtibâs daripada:
( )
surah Al-Baqarah, ayat 18.

Dalam keadaan ini pastinya si penjampi sekali-kali tidak akan dapat mencapai maksud dan hikmat ayat-ayat tersebut kerana kesalahan-kesalahan yang dijelaskan di atas.

Ada juga ungkapan yang merujuk kepada ayat-ayat al-Qur’an, dan ayat-ayat itu diiringi perkataan-perkataan yang mengelirukan yang tidak sewajarnya dikaitkan dengan ayat-ayat tersebut, seperti contoh ini:

(i) Amatan sangkil tidur (hal. 10):

“Kulala ( ) sungsang Fatiha
( ) sungsung”.

(ii) Penutup nafsu (hal. 36):

“Alif mati Fatiha ( ) Mati”.

Lebih menyimpang lagi apabila Allah dijadikan objek seperti makhluk, padahal Dia (Allah) itu adalah sunyi daripada sebarang kekurangan seperti makhluk itu, contohnya:

(i) Tawar mati pucuk (hal. 25):

“Allah yang dikunci”.

(ii) Pemutu Allah (hal. 20):

“Allah terbunuh baru aku terbunuh”.

Selain daripada contoh-contoh yang disebutkan ini, banyak lagi ungkapan-ungkapan yang terang-terang salah serta menyalahi aqidah. Perkara itu boleh disabitkan dengan mengenalpasti pendapat-pendapat ulama mengenai jampi. Daripada syarat-syarat jampi yang ditetapkan oleh mereka itu, maka jelaslah jampi-jampi yang ada ini tidak dapat diterima tetapi wajib ditolak dan dicegah.

Maka atas asas ini, bomoh berkenaan tidaklah harus dibiarkan begitu saja, tetapi hendaklah dinasihati dan dihalang daripada terus bergiat mengamalkan jampi-jampi berkenaan, lebih-lebih lagi jika terdapat usaha untuk menyebar dan mengembangkannya kepada orang lain.

Langkah pencegahan dan pembanterasan itu ialah semata-mata bagi memelihara orang-orang Islam daripada turut terjebak mempercayai dan memakai jampi-jampi yang salah ini. Yang penting dan bahkan utama ialah melindungi aqidah umat Islam, termasuklah pengamal jampi-jampi ini sendiri.

No comments:

Post a Comment