Pages

Sunday, February 7, 2010

Mari belajar pasal penyakit

Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya:
"Sejahat-jahat hamba adalah seorang hamba yang sombong dan melupai Tuhan yang Maha Tinggi."

Rasulullah SAW bersabda lagi:
Maksudnya:
" Sejahat-jahat hamba ialah hamba yang mengikut hawa nafsunya."


Dari dua hadis ini, dapat kita lihat ada tiga perkara penting iaitu:
1. sombong
2. lupa dengan Tuhan yang Maha Tinggi
3. ikut hawa nafsunya.

Inilah penyakit-penyakit masyarakat, penyakit dunia, penyakit individu, penyakit rumahtangga, penyakit keluarga, penyakit bangsa, penyakit etnik dan penyakit semua manusia. Yang menjadikan dunia huru hara, menjadikan manusia pecah belah, hilang kasih sayang, jatuh menjatuhkan, menjadikan manusia selalu . Bergaduh berkelahi, fitnah menfitnah dan kemuncaknya berlaku peperangan demi peperangan. Maka jadilah dunia ini neraka sebelum Neraka di Akhirat. Manusia tidak mahu ini semua sebab ia menyusahkan, mengharu-birukan, menghilangkan bahagia dan ketenangan, menjadikan manusia takut dan bimbang, tetapi manusialah yang mencetuskan peperangan itu.

Rupanya apa yang manusia tidak mahu, manusia juga yang melakukannya. Apa yang manusia takut, itulah yang dibuat oleh manusia. Apa yang manusia tidak hendak, itulah yang dilakukan mereka setiap hari. Manusia tidak tahu macam mana hendak menyekat keadaan ini. Benda yang terjadi pada kita, kita tidak tahu bagaimana hendak menghentikannnya. Perbuatan manusia telah menjerat manusia sendiri.Rupanya semua itu berlaku kerana tiga penyakit tadi iaitu ego,lupakan Tuhan dan ikutkan nafsu. Bila ada ego dan lupakan Tuhan, maka nafsulah yang menjadi Tuhan .Penyakit ego adalah pokok, bukannya buah.Sebab itu Rasulullah SAW kata sejahat-jahat hamba adalah yang sombong. Dari pokok sombong ini, lahirlah buah pemarah, hasad, lahir fitnah menfitnah dan sifat payah hendak menerima kebenaran. Lahirlah sifat tidak mampu memberi maaf, tidak suka meminta maaf dan prejudis dengan orang lain. Ini adalah buah-buahnya.


Orang ego tak layak berada di bumi Allah



Apabila seseorang itu pada dirinya ada ego yakni pokok mazmumah atau sifat-sifat keji, maka bila ada pokok, ia akan membuahkan berbagai jenis buah mazmumah. Sama ada besar atau kecil. Sama ada dia sedar atau tidak. Ego ini adalah penyakit pertama yang lahir di dunia . Ia dari iblis . Siapa yang ada pokok sombong, ertinya dia bukan ikut kepada Tuhan tapi ikut iblis. Dahsyatnya pokok sombong yang boleh melahirkan bermacam-macam mazmumah, yang sangat menyusahkan hidup manusia. Bila sudah ikut iblis kerana ada sifat sombong maka iblislah Tuhannya.

Maka apa yang hadis nyatakan, yang lupa Tuhan yang Maha Tinggi, itu sifat iblis. Bila iblis jadi Tuhan, walaupun hatinya tidak katakan iblis itu Tuhannya, hakikatnya dia sudah bertuhankan iblis maka dengan sendirinya dia lupakan Tuhan yang sebenar. Dia besarkan iblis, dia agungkan iblis dan lupa mengagungkan Allah SWT. Begitulah bila pokoknya sudah wujud, lahirlah macam-macam buah mazmumah.

Kalau tidak ada pokok, mungkin hanya ada satu-satu bentuk mazmumah sahaja, tetapi kalau pokok yang tumbuh, ia melahirkan buah yang banyak iaitu buah yang merosakkan kehidupan manusia, merosakkan sesama kawan dan merosakkan negara. Bila ada pokok ini maka sempurnalah mazmumahnya. Maka iblis jadi Tuhannya. Kalau iblis yang dia ingat, tentulah dia lupakan Tuhan. Jadi bila iblis sudah ada, dia lupakan Tuhan maka nafsu pulalah menjadi tuhannya.

Apa kata Allah SWT tentang nafsu di dalam Al-Quran:
Maksudnya:
"Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak orang berbuat jahat." (Yusuf 53)

Nafsu itu bukan sahaja ia jahat bahkan ia sangat mengajak orang buat kejahatan. Sudahlah nafsu itu sendiri jahat, ia juga sangat mengajak orang buat kejahatan. Jadi bila orang sudah bertuhankan nafsu, di samping bertuhankan iblis tadi maka lahirlah faham individualisma . Orang yang faham individu ini, dia fikir, "Aku nak senang, orang tidak senang dia punya pasal. Aku fikir aku, jiran mati, itu dia punya pasal." Dahsyatnya bila ada ego, lupa Tuhan maka nafsu memainkan peranan. Nafsu bukan sahaja jahat bahkan sangat mengajak orang buat kejahatan. Nafsu itu sifatnya berkehendak dan merangsang sama ada yang halal atau haram. Apa yang dia hendak itu dibawa pada diri, hanya untuk dirinya, tidak dibawa pada keluarga, apatah lagi jiran dan masyarakat.

sumber:http://kawansejati.ee.itb.ac.id/node/14752

No comments:

Post a Comment