Pages

Tuesday, February 23, 2010

45 Minit Di Culik Makhluk Asing




KEHIDUPAN normal Scott Longley dan isterinya, Wendy tiba-tiba berubah selepas kejadian aneh menimpa mereka pada awal 1996. Kejadian itu berlaku dalam tempoh 45 minit tetapi mereka gagal mengingatinya.

Bagaimanapun, mereka amat pasti mengenai satu perkara – sebelum ingatan mereka lenyap, mereka terlihat pancaran cahaya yang aneh.

Kejadian membingungkan itu berlaku ketika suami isteri itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Grafton, New South Wales, Australia. Ketika menghampiri kediaman keluarga itu, mereka terlihat cahaya aneh di dada langit dan selepas itu mereka terus tidak menyedari apa-apa.

Empat puluh lima minit berlalu pasangan berkenaan kembali tersedar dalam kebingungan. Dengan keadaan tubuh badan yang berasa begitu letih dan sengal, mereka meneruskan perjalanan menuju ke rumah.

“Pelik juga, kerana mulanya kami rasa sihat saja,” kata Wendy yang mengadu mengalami sakit perut yang begitu teruk selepas kejadian itu.

Scott, bekas pelari maraton pula berkata kakinya tidak pernah melecet tetapi jari kaki kanannya tiba-tiba bengkak sebesar bola golf dan hidungnya terasa amat gatal.

Bagaimanapun, sesuatu yang lebih misteri bagi mereka adalah – apa yang berlaku sepanjang tempoh 45 minit itu?

Bagi membongkar rahsia berkenaan, mereka menghubungi pakar hipnosis dikenali Barry dengan harapan dapat mencantumkan kembali memori yang mungkin masih tersembunyi di bawah minda separa sedar masing-masing.

Barry yang tertarik mendengar kejadian menimpa pasangan itu segera bertemu mereka. Di hadapan suami isteri terbabit, lelaki itu mula menyedari sesuatu – kedua-dua pasangan terbabit memiliki kesan tompok merah di bahagian belakang leher dan tanda itu serupa dengan laporan kes mangsa penculikan UFO di seluruh negara.

Seterusnya Scott dan Wendy setuju untuk dihipnosis bagi mengetahui di mana mereka menghilang dan apa yang berlaku sepanjang 45 minit itu.

Proses hipnosis itu dijalankan selama beberapa jam dan dirakamkan di pita video.

Ketika proses itu dijalankan, Scott yang dibawa menyelami minda di bawah sedarnya secara tiba-tiba menangis. Layar fikiran lelaki itu segera dibayangi babak demi babak yang berlaku sepanjang kejadian berkenaan:

Perjalanan mereka baru dua kilometer melepasi sebuah kasino di utara New South Wales apabila secara tiba-tiba kenderaan itu berhenti di tepi jalan dan Scott terhumban ke stering.

Kemudian pasangan itu dikelilingi oleh sekumpulan makhluk yang memiliki rupa yang aneh – mereka sangat tinggi tetapi tidak ada warna kulit manakala muka mereka kelihatan seperti semut gergasi.

Dua daripada makhluk itu membawa isteri Scott ke tengah padang manakala satu lagi makhluk asing itu bercakap dengannya.

Bagaimanapun, tiada perkataan yang terkeluar daripada mulut makhluk itu, seolah-olah mereka bercakap menggunakan telepati, apa yang ingin disampaikan makhluk terbabit terus memasuki kotak fikiran Scott dan dia memahaminya.

“Mereka mengarahkan saya supaya jangan takut kerana mereka tidak bermaksud jahat,” katanya sambil menjelaskan yang ketika itu, dia sedang meniarap di atas jalan.

Satu daripada kumpulan makhluk asing itu membawa senjata dan mengacukan ke leher Scott tetapi dirinya tidak berasa takut kerana tahu mereka hanya mahukan contoh tubuhnya sebagai uji kaji.

Scott berkata, makhluk asing terbabit memberitahu bahawa dia dan isterinya adalah orang baik-baik. Ketika itulah dia memandang ke atas dan ternampak kapal angkasa sebesar dua garaj kereta berlegar-legar di udara.

“Saya menjerit dan tiba-tiba saja sudah berada di atas meja bedah di dalam kapal angkasa itu. Puaslah saya terpekik-terlolong merayu mereka melepaskan saya tetapi mereka terus membalut plastik besar di sekeliling pinggang saya.

“Saya memandang ke luar dan ternampak sebuah bangunan tinggi. Ketika itu mereka meletakkan sekeping getah di atas muka saya dan ada makhluk dengan leher besar yang berkedut memberitahu saya akan rasa sakit sedikit dalam proses itu,” katanya.

Satu silinder keluli kemudian dicucuk di mata Scott tetapi dia tidak berasa sakit sebaliknya cuma suatu perasaan aneh.

Tubuh lelaki itu kemudian diangkat daripada meja dan terawang-awang di udara. Satu wayar panjang dimasukkan ke tubuhnya sehingga dia boleh rasa yang wayar itu menyentuh tulang belakangnya.

Scott berkata, sepanjang ditahan, contoh kulit dan darah mereka diambil ketika mereka terbaring di atas sebuah meja bedah.

Dalam keadaan itu, dia menyedari terdapat empat jenis makhluk asing, antaranya makhluk yang menyerupai ET sehinggalah makhluk seperti cicak dengan kulit berkedut.

Seterusnya, giliran Wendy pula untuk dihipnosis. Melalui proses sama, wanita itu dibawa menyingkap kejadian yang masih tersimpan di minda bawah sedarnya.

Wanita itu teringat satu corak ganjil di dalam kapal angkasa itu. Dirinya terbaring di meja dan ada banyak wajah ganjil memandang ke arahnya. Mereka kelihatan seperti memakai topeng. Diperhatikan yang ada siling tinggi dan banyak tingkap di sekeliling mereka.

“Ada satu alat yang dikawal komputer dekat meja itu. Saya rasa sejuk dan keadaan amat sunyi. Saya juga tidak dapat bau atau melihat apa-apa warna. Perkara terakhir yang saya ingat ialah dibawa masuk ke dalam kereta yang tersadai di tepi jalan.” katanya.

Selepas mengetahui kejadian yang berlaku sepanjang 45 minit yang hilang itu, pasangan terbabit mula menyedari yang mereka adalah antara ribuan mangsa penculikan makhluk asing di seluruh dunia.

Anehnya pasangan terbabit berasa seolah-olah ingin ‘bersatu’ dengan makhluk asing terbabit. Bagi mereka, masih banyak perkara yang belum terjawab – dari mana makhluk itu datang, apa misi mereka dan apa yang boleh manusia pelajari daripada makhluk asing itu.

Kisah penculikan Scott dan Wendy didedahkan secara hipnosis itu segera mendapat perhatian ramai pengkaji dan peminat UFO serta makhluk asing lebih-lebih lagi jarang kejadian seperti itu yang berlaku di Australia.

“Saya rasa seperti baru menonton wayang. Saya tahu ia benar-benar berlaku dan mereka akan kembali menculik saya. Ketua makhluk asing itu memberi amaran tugas mereka belum selesai dan mereka akan kembali.

“Ramai orang tidak percayakan cerita saya tetapi saya tak kisah, saya tak bohong. Lagipun, buat apa saya mereka-reka cerita dan biar semua orang persendakan keluarga saya?” kata Scott mengakhiri kisah mengenai pengalamannya menjadi antara ribuan yang mengaku diculik makhluk asing, di seluruh dunia.

INFO:

Dakwaan Scott Longley dan isterinya, Wendy

* Diculik makhluk asing berhampiran rumah mereka di New South Wales, Australia.
* Diculik selama 45 minit
* Dia ternampak cahaya serta kapal angkasa sebesar dua garaj kereta berlegar-legar di udara.
* Terdapat empat jenis makhluk asing, antaranya makhluk yang menyerupai ET sehinggalah makhluk seperti cicak dengan kulit berkedut.
* Makhluk asing memiliki rupa aneh, sangat tinggi tetapi tidak ada warna kulit manakala muka mereka kelihatan seperti semut gergasi.
* Makhluk asing bercakap dengan Scott secara telepati.
* Satu silinder keluli dicucuk di mata Scott dan satu wayar panjang dimasukkan ke tubuhnya sehingga dia boleh rasa yang wayar itu menyentuh tulang belakangnya. Contoh kulit dan darah mereka diambil ketika mereka terbaring dan tidak mampu bergerak di atas sebuah meja bedah.

No comments:

Post a Comment