Pages

Friday, January 22, 2010

Polis minta rakyat jangan panik

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Polis Diraja Malaysia kesal dengan kejadian dua buah surau di Muar, Johor yang mengalami kebakaran kecil awal pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu dilakukan oleh individu yang cuba menimbulkan suasana tidak tenteram di negara ini.

Dengan nada tegas, beliau turut memberi jaminan bahawa polis akan membuat siasatan terperinci dan mengheret individu yang tidak bertanggungjawab itu ke muka pengadilan.

Beliau berkata, orang ramai diminta bertenang mengenai insiden itu dan dinasihati agar tidak bertindak mengikut emosi berhubung kejadian berkenaan.

"Insiden itu (membakar) adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab, khianat dan boleh menimbulkan suasana tidak tenteram.

"Oleh itu, orang ramai diminta bertenang dan biar pihak polis menjalankan siasatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Awal pagi ini, dua buah surau di Muar mengalami kebakaran kecil dipercayai akibat perbuatan khianat.

Kejadian pertama berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi di Surau Silaturahim di Jalan Ismail Omar, manakala kejadian kedua di Surau Parit Beting di Jalan Salleh.

Berikutan jarak antara kedua-dua surau kurang dari satu kilometer dan berlaku hampir serentak, polis percaya kedua-dua kebakaran berkenaan dilakukan individu sama.

Tambah Ismail, setakat ini, pihaknya masih lagi menyiasat dan belum menemui petunjuk mengenai individu yang tidak bertanggungjawab itu.

No comments:

Post a Comment