Pages

Thursday, January 28, 2010

Pesara Inggeris jadi guru bahasa Inggeris


MATHILDE teruja belajar bahasa Inggerisdengan John dan Nicky.

Mathilde Berthelot sudah memandu selama sejam dari rumahnya yang terletak di bandar Saint Brieuc di Brittany, barat Perancis untuk ke kejiranan Taule. Panorama kawasan luar bandar itu diwarnai pemandangan rumah-rumah lama yang dibina daripada batu granit kelabu dan kemudahan komuniti yang asas.

Mathilde berada di sana untuk menghabiskan masa selama tiga hari untuk belajar bahasa yang menjadi permainan bibir Shakespeare di rumah pasangan berbangsa Inggeris, John Bolton dan Nicky Bolton.

"Kami tidak menggunakan bahasa Inggeris dengan kerap di sekolah. Sebab itu kami perlu belajar sendiri dan kunjungan ini benar-benar membantu saya dalam meningkatkan pertuturan bahasa Inggeris saya.

"Lebih manis saya boleh datang dan menghabiskan masa di sini selama tiga hari. Itu tidak boleh dilakukan kalau saya melawat kediaman 'guru' di England," katanya.

Mathilde merupakan pelajar ketiga yang mengikuti pembelajaran bahasa Inggeris berbayar dengan pasangan suami isteri tersebut. Pasangan pesara yang kini bermastautin di Perancis memang sangat mengalu-alukan kedatangan orang Perancis yang ingin mempelajari bahasa Inggeris daripada mereka.

"Ia adalah sesuatu yang mendatangkan kebaikan bagi kedua-dua pihak. Kami dapat membantu rakyat Perancis dan mereka pula boleh membantu kami," kata John.

Pendapatan alternatif
Demi meringankan tanggungan kos sara hidup, upah mengajar pelajar-pelajar Perancis itu
PENGGUNAAN bahasa Inggeris semakin penting dalam kehidupan harian masyarakat Perancis.

dianggap sebagai pendapatan alternatif, lebih-lebih lagi bagi keluarga yang bergantung hidup dengan wang pencen yang sedikit. Bagi pelajar tempatan pula, belajar dengan keluarga itu adalah lebih murah berbanding kos ke Britain.

"Dapat bertemu dengan orang dari kawasan lain di Perancis adalah sesuatu yang baik bagi kami. Mereka juga tidak perlu menempuh perjalanan jauh hingga ke Britain.

"Apabila pelajar-pelajar itu di sini, saya dan John akan makan lebih banyak makanan Inggeris berbanding pada hari-hari biasa," kata Nicky.

Kelas bimbingan bahasa Inggeris seperti itu di barat Perancis merupakan idea Christine Predery yang telah menubuhkan sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan bernama Bringing People Together untuk membantu rakyat Perancis mendekati keluarga Inggeris.

"Terdapat lebih kurang 50,000 isi rumah yang menggunakan bahasa Inggeris di kawasan ini. Saya rasa agak rugi dan memalukan jika tidak menghubungkan mereka dengan rakyat Perancis yang ingin belajar bahasa Inggeris," kata Predery.

Semenjak menubuhkan organisasi tersebut pada April 2009, Predery memberitahu dia telah menguruskan lebih 100 perkenalan antara keluarga dan kebanyakannya telah menjalin hubungan akrab yang berterusan.

"Terdapat beberapa keluarga yang masih berhubung dan bertemu antara satu sama lain selepas program tersebut berakhir. Mereka makan bersama di restoran atau menerima pelawaan bermalam di rumah masing-masing. Pertalian boleh bertambah erat sejak kali pertama mereka berkenalan," katanya.

PROGRAM penghantaran pelajar Perancis belajar bahasa Inggeris di Britain dilihat tidak memberi impak yang besar.

Predery berkata organisasinya bukan bertujuan menyaingi program pertukaran rasmi yang membawa pelajar Perancis berkunjung ke rumah keluarga angkat di Britain. Sebaliknya, programnya itu adalah perkhidmatan percuma.

"Dalam program rasmi kementerian pelajaran, pelajar Perancis dibawa secara berkumpulan untuk tinggal bersama sesebuah keluarga angkat terpilih di England. Walaupun mereka mengikuti kelas bahasa Inggeris pada waktu siang dan kemudian bermalam dengan keluarga angkat tersebut, ada masalah lain yang timbul.

"Apabila pelajar-pelajar itu berkumpul, mereka akan berbual sesama sendiri dalam bahasa Perancis. Maka, penguasaan dan latihan mereka menggunakan bahasa Inggeris tidak menyeluruh," katanya.

Kursus bahasa itu juga membawa manfaat kepada keluarga Inggeris yang tinggal di Perancis dan menyertai program tersebut kerana mereka dapat menjana pendapatan tambahan.

Tetamu akan tinggal selama seminggu dan membayar 450 euros (RM2,200). Tambahan pendapatan seperti itu amat bermakna khususnya dalam kalangan pesara seperti pasangan Bolton. Mereka menerima wang pencen dalam pound tetapi menerima kesan akibat kadar pertukaran mata wang euro. - A

No comments:

Post a Comment