Pages
▼
Thursday, January 28, 2010
Pelancong maut di Machu Picchu
AIR banjir deras dari Sungai Urubamba memukul tebing berhampiran bangunan di Machu Picchu Pueblo di wilayah Cuzco, Peru, kelmarin yang mengakibatkan tanah runtuh di kawasan purba Machu Picchu. - REUTERS
LIMA 27 Jan. - Seorang pelancong Argentina dan seorang pemandu pelancong rakyat Peru terbunuh dalam satu kejadian tanah runtuh di laluan menuju ke tapak arkeologi Inca, Machu Picchu semalam.
Pihak berkuasa sementara itu memindahkan berpuluh-puluh pelancong dengan helikopter dari kawasan banjir di mana hampir 2,000 orang masih terperangkap.
Jurucakap kerajaan wilayah Cuzco, Hernet Moscoso berkata, pelancong Argentina yang dikenal pasti sebagai Lucia Ramallo, 23, dan pemandunya, Washington Huaraya berada di dalam khemah mereka apabila lereng bukit runtuh dan menghempap khemah mereka. Tiga pelancong lain cedera dalam kejadian itu.
Pihak berkuasa menutup laluan Inca tersebut yang popular di kalangan pelancong untuk berjalan kaki dari ibu kota tamadun purba itu, Cuzco ke kubu kota Machu Picchu.
Berikutan kejadian itu, angka korban akibat hujan lebat yang menyebabkan banjir, tanah runtuh dan rumah musnah meningkat kepada lima orang, kata Moscoso.
Jabatan Pertahanan Awam melaporkan, 61 pelancong terdiri daripada mereka yang sakit, warga emas dan kanak-kanak diterbangkan dengan helikopter kerajaan kelmarin dari kampung Machu Picchu Pueblo dekat kubu kota itu.
Ratusan pelancong terkandas di kampung tersebut kerana banjir lumpur menutup landasan kereta api ke Cuzco, satu-satunya jalan keluar masuk ke kawasan Machu Picchu.
Pihak berkuasa Peru dan Amerika Syarikat (AS) menghantar empat helikopter tentera Peru dan empat helikopter operasi antidadah AS untuk membantu gerakan menyelamat semalam.
Helikopter AS itu berpangkalan di Peru dan biasanya digunakan untuk operasi antidadah dan latihan polis. - AP
No comments:
Post a Comment